Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 boya pintar di perairan S’pura mulai 2026 pertingkat keselamatan laut

Jul 15, 2025 | 7:18 PM
Pelampung pintar, Murali Pillai, MPA, keselamatan laut
Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, berucap pada Minggu Keselamatan Laut Antarabangsa pada 15 Julai. Beliau berkata boya pintar tersebut bertindak sebagai pengawal digital yang membantu memastikan navigasi yang selamat. - Foto ST

Lapan boya pintar akan dipasang di perairan Singapura mulai 2026, sebagai sebahagian daripada usaha Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) menggunakan teknologi bagi meningkatkan keselamatan di laut.

Menurut MPA, boya itu akan mempunyai sensor yang mengumpul maklumat tentang keadaan laut, seperti arus, dan menghantar data secara langsung kepada MPA untuk membantu memantau perairan Singapura, lapor The Straits Times (ST).

“Boya pintar ini bertindak sebagai pengawal digital yang membantu memastikan navigasi yang selamat,” kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, pada 15 Julai.

Beliau mengumumkan rancangan MPA dalam ucapan pembukaannya pada Minggu Keselamatan Laut Antarabangsa yang diadakan di hotel Conrad Singapore Marina Bay.

MPA menyatakan data yang dikumpul daripada boya pintar akan digunakan untuk pengurusan trafik marin, perancangan tindak balas kejadian dan pemantauan serta pemodelan alam sekitar.

“Data ini juga boleh dikongsi dengan agensi pemerintah, institusi pengajian tinggi dan institut penyelidikan untuk menyokong pelbagai kegunaan yang memberi manfaat kepada Singapura,” tambah agensi itu.

Boya pintar akan dipasang di perairan pelabuhan Singapura yang mempunyai trafik marin tinggi dan di lokasi di mana data tersebut berguna untuk pemodelan alam sekitar.

Pada masa hadapan, boya pintar itu juga mungkin digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada kapal dan memberi amaran tentang keadaan cuaca buruk, kata Encik Murali.

Menurut beliau, penggunaan boya pintar menunjukkan bagaimana industri maritim boleh menyokong keupayaan manusia dalam meramalkan, mencegah dan bertindak pantas terhadap bahaya di laut.

Beliau turut menyentuh cabaran yang semakin rumit dalam industri, seperti ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.

Serangan kapal kargo di Laut Merah awal Julai menegaskan keperluan segera melindungi keselamatan pelaut, kata Encik Murali. 

Kapal Liberia itu tenggelam selepas diserang militan Houthi selama dua hari.

Sepuluh anak kapal dan tiga pengawal diselamatkan, manakala 15 lagi hilang termasuk lima dipercayai terkorban.

Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Encik Arsenio Dominguez, mengucapkan terima kasih kepada Encik Murali “atas pengiktirafan cabaran yang kita hadapi dari segi keselamatan, terutamanya di Laut Merah.”

Dalam ucapannya di persidangan yang sama, Encik Dominguez mengecam serangan tersebut dan menegaskan bahawa pelaut tidak seharusnya menjadi mangsa konflik geopolitik.

Beliau menyeru usaha berterusan untuk melindungi dan melabur dalam tenaga kerja maritim.

Sementara itu, Encik Murali berkata perubahan iklim, termasuk corak cuaca yang tidak menentu dan kejadian ekstrem, menjadikan pengemudian semakin mencabar.

Beliau menyeru kerjasama dalam latihan tenaga kerja maritim, perkongsian dalam sektor itu, serta penggunaan teknologi untuk meningkatkan keupayaan sedia ada.

Salah satu cara Singapura menyokong latihan berterusan tenaga kerja maritim adalah melalui Kemudahan Latihan Tenaga Maritim (METF) yang menyediakan kemahiran kepada pekerja maritim untuk mengendalikan bahan api marin bersih.

Sejak April 2024, kemudahan itu telah melatih lebih 600 pelaut dan karyawan maritim.

Sasaran mereka adalah melatih lebih 10,000 pelaut menjelang 2030-an.

MPA juga sedang membangunkan wadah digital untuk METF yang akan memudahkan individu dan syarikat mengakses kursus latihan.

Encik Murali berkata wadah digital itu dijangka siap pada akhir 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg