Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 lelaki asing didakwa jual minyak gas haram di perairan S’pura

Oct 13, 2025 | 6:13 PM
foreign nationals, suspected illegal, marine gas oil transactions
Lapan lelaki warga Indonesia ditahan dan didakwa atas penglibatan dalam penjualan minyak gas marin (MGO) secara haram selepas pemeriksaan rutin Polis Pengawal Pantai (PCG) mendedahkan kegiatan urus niaga bahan api secara tidak sah di perairan Singapura. - Foto ST

Seramai lapan lelaki telah diberkas dan didakwa atas penglibatan mereka dalam penjualan minyak gas marin (MGO) secara haram.

Kesemua individu, yang merupakan warga Indonesia, ditahan selepas anggota Polis Pengawal Pantai (PCG) melakukan pemeriksaan rutin terhadap sebuah kapal berdaftar di Singapura pada 10 Oktober.

PCG mendapati beberapa anak kapal itu disyaki terlibat dalam urus niaga bahan api marin sulingan secara tidak sah.

Penemuan itu membawa kepada tindakan pihak polis memintas sebuah kapal tunda asing dan menahan beberapa anak kapal dari kededua kapal berkenaan.

Pada 11 Oktober, Ahmad Fairus, 36 tahun; Fajar Seeng, 41 tahun; dan Achmad Junaedi, 29 tahun; masing-masing dikenakan satu pertuduhan kerana menyalahgunakan 8,000 liter MGO yang disimpan di atas kapal berdaftar Singapura pada 11 Oktober.

Menurut polis, nilai MGO tersebut dianggarkan sekitar $6,917.

Kertas pertuduhan menunjukkan bahawa Fairus, Junaedi dan Seeng bekerja dengan syarikat, Hiap Shing Shipping.

Sementara itu, Sutrisno Bogimin, 61 tahun; Heriadi, 33 tahun; Mion Gosjen James, 54 tahun; Satria Mahardika, 24 tahun; dan Suriyanto, 49 tahun; didakwa menerima MGO yang disalahgunakan ketika berada di atas kapal berdaftar Tanzania dalam perairan Singapura.

Mereka masing-masing didakwa atas kesalahan menerima harta curian secara tidak jujur.

Siasatan awal menunjukkan kesalahan itu berlaku kira-kira 8 malam pada 4 Oktober, di kawasan perairan berhampiran Tuas.

Kapal asing tersebut telah dirampas sebagai sebahagian daripada siasatan.

Kesemua lapan lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan akan kembali ke mahkamah pada 17 Oktober.

Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah jenayah oleh pekerja boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Mereka yang didapati bersalah kerana menerima harta curian secara tidak jujur pula boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, atau kededuanya sekali.

Dalam kenyataan pada 11 Oktober, pihak polis mengambil pendirian tegas terhadap urus niaga haram MGO dalam perairan Singapura.

“Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan dan keselamatan bagi mencegah, menghalang dan mengesan kegiatan haram seperti ini di perairan Singapura,” kata polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg