Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) sedang menyiasat pelanggaran antara kapal tangki berdaftar Singapura, Marine Dynamo, dengan kapal pengangkut berdaftar di Malta, Flag Gangos, pada 1 September.
MPA, dalam satu kenyataan, berkata kapten Marine Dynamo melaporkan kejadian itu berlaku pada 9.25 pagi, di perairan yang terletak kira-kira lapan kilometer ke selatan Tanah Merah.
Namun, kedua-dua kapal itu dilaporkan stabil, kata MPA.
The Straits Times (ST) memetik MPA sebagai menyatakan bahawa seorang anak kapal Marine Dynamo dilaporkan mengalami lebam ringan dan terseliuh.
Kru berkenaan sedang dirawat di atas kapal, tambah MPA.
Menurut penguasa itu lagi, semua anak kapal kedua-dua kapal dilaporkan dalam keadaan selamat.
Kilauan tumpahan minyak ringan dapat dilihat di sekitar Marine Dynamo, katanya, sambil menambah bahawa kapten kapal itu telah melaporkan bahawa minyak gas marin (MGO) daripada tangki servis tertumpah ke laut.
MGO digunakan sebagai daya penggerak kapal berkenaan.
Menurut MPA, MGO ialah bahan api ringan yang serupa dengan diesel, dan dijangka mudah menyejat dan dengan semula jadi berlaku pecah minyak dalam persekitaran.
Akibat pelanggaran tersebut, kapal peronda dan kapal tindak balas tumpahan minyak dikerahkan oleh MPA untuk menyiasat kejadian itu dan membantu dalam menangani masalah yang berlaku.
Ini termasuk memecahkan tumpahan minyak. Dron juga digunakan untuk memantau keadaan.
Kapal yang belayar di perairan itu dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh siaran pengemudian, kata MPA, sambil menambah bahawa tiada kesan kepada keselamatan pelayaran.
Pada 9 Februari lalu, sebuah kapal yang berdaftar di Greece, MV Pireas, sedang dalam perjalanannya dari Singapura ke pelabuhan seterusnya di Tanjung Pelepas di Johor apabila ia berlanggar dengan kapal kerajaan Malaysia, Polaris.
Tiada kecederaan atau limpahan minyak berlaku akibat kejadian tersebut.
Kapal asal Greece itu kemudian dibenarkan meneruskan perjalanannya ke Tanjung Pelepas.
MPA, dalam satu kenyataan selepas kejadian itu, menyatakan pelanggaran antara kapal Pireas dengan Polaris, adalah disebabkan kesilapan yang dibuat kapal Pireas semasa ingin membelok di perairan berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg