Sekurang-kurangnya 80,000 unit perumahan awam dan privet baru dijangka dibina di lebih 10 kawasan perumahan baru di seluruh Singapura sepanjang 10 hingga 15 tahun akan datang.
Ini didedahkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang mengumumkan Draf Pelan Induk 2025 pada 25 Jun.
Pelan tersebut memberi perincian pembangunan dan penggunaan tanah Singapura bagi 10 hingga 15 tahun akan datang, lapor The Straits Times (ST).
Bagi menawarkan lebih banyak peluang kepada penduduk untuk tinggal di dalam dan berhampiran pusat bandar, sekitar 5,000 rumah privet baru dijangka dibina di kawasan Newton, manakala Paterson – yang terletak berdekatan Orchard Road – dijangka mempunyai 1,000 rumah privet baru.
Pembangunan di kawasan kejiranan Newton – merangkumi tiga kelompok di Newton Circus, Scotts Road dan Monk’s Hill – akan dibangunkan sebagai sebuah perkampungan bandar pelbagai kegunaan, dengan rumah privet baru yang akan diperkenalkan secara berperingkat.
Sebuah Dataran Kampung (Village Square) baru dengan pembangunan berkepadatan tinggi dan pelbagai kegunaan akan dibina di sebelah stesen MRT Newton dan Pusat Makanan Newton, manakala Monk’s Hill Road akan ditukar kepada sebuah taman.
Sebuah koridor hijau akan turut menghubungkan stesen MRT Newton ke Emerald Hill.
Di samping itu, kawasan kejiranan Paterson akan diubah menjadi sebuah hab pelbagai kegunaan, dengan pembangunan bersepadu baru yang merangkumi kedai runcit, kedai makanan dan minuman, pejabat dan kediaman, dirancang dibina di atas stesen MRT Orchard.
Sebagai sebahagian usaha memberi nafas baru kepada kawasan Paterson, tapak bekas Institut Pendidikan yang berusia 70 tahun – yang dipindahkan ke Bukit Timah pada 1981 – akan dibangunkan semula, kata URA.
Kampus tersebut kemudiannya digunakan oleh sekolah lain, termasuk Maktab Rendah Raffles.
Selain itu, terdapat juga ruang awam mesra pejalan kaki dan pengayuh basikal.
Ruang tersebut menyediakan laluan berbasikal yang menghubungkan Paterson ke koridor Inner Ring, di sepanjang jalan Tiong Bahru, Scotts, Balestier dan Lavender Street.
Lebih banyak perumahan awam dan privet, serta pelbagai kemudahan dan ruang riadah, juga sedang dirancang untuk kawasan kejiranan baru Dover-Medway di kawasan One-North yang lebih luas.
Sekitar 6,000 rumah awam dan privet baru dijangka dibina dalam fasa pertama pembangunan tersebut, di bahagian timur berhampiran stesen MRT One-North dan Kent Ridge.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg