Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

82 diberkas dalam serbuan antidadah, lebih $132,000 nilai dadah dirampas

Jun 21, 2025 | 12:16 PM
CNB menyatakan dadah yang dirampas itu cukup untuk menampung ketagihan 640 penagih selama seminggu.
CNB menyatakan dadah yang dirampas itu cukup untuk menampung ketagihan 640 penagih selama seminggu. - Foto CNB

Seramai 82 individu telah ditangkap selepas dadah bernilai lebih $132,000 dirampas dalam operasi antidadah selama lima hari di seluruh Singapura.

Dalam kenyataan pada 21 Jun, Biro Narkotik Pusat (CNB) memaklumkan bahawa operasi tersebut dijalankan dari 16 hingga 20 Jun dan merangkumi kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Merah, Changi, Punggol dan Woodlands, lapor The Straits Times (ST).

Jumlah rampasan termasuk 1,307 gram ganja, 739 gram heroin, 196 gram Ice atau methamphetamine, 52 biji benih ganja, dua pil Ekstasi, dua gram resin ganja dan satu gram pil berisi ganja. 

CNB menyatakan dadah yang dirampas cukup untuk menampung ketagihan 640 penagih selama seminggu.

Pada 14 Jun, polis menerima panggilan bantuan di sebuah unit kediaman di Punggol Central. 

Seorang lelaki warga Singapura berusia 35 tahun ditangkap selepas bahan disyaki dadah dan peralatan berkaitan dadah ditemui di premis tersebut. CNB telah dimaklumkan dan mengambil alih siasatan.

Dalam insiden berasingan pada 16 Jun, CNB menjalankan serbuan di Yishun Avenue 6 selepas siasatan lanjut.

Seorang lelaki warga Singapura berusia 34 tahun ditangkap selepas 29 gram ganja dan peralatan dadah dijumpai di kediamannya.

Pada malam yang sama, dua lelaki warga asing ditahan dalam operasi susulan di Moonstone Lane, Bendemeer – seorang berusia 31 tahun disyaki terlibat dalam pengedaran dadah, dan seorang lagi berusia 37 tahun disyaki mengambil dadah. 

Pemeriksaan ke atas basikal elektrik dan tempat persembunyian suspek 31 tahun itu menemui sekitar 1,095 gram ganja, 19 gram Ice, peralatan dadah dan wang tunai sebanyak $3,944.

Pada 18 Jun, dua lelaki Singapura, 59 dan 69 tahun, ditangkap di Bukit Merah atas kesalahan dadah. 

Sebanyak 209 gram heroin dan 17 gram Ice dirampas dari kediaman suspek berusia 59 tahun itu.

Seorang lagi lelaki, warga Singapura berusia 62 tahun, telah diberkas di Yishun Avenue 4 kerana disyaki mengedar dadah. Pegawai CNB terpaksa memecah masuk ke unit kediamannya selepas lelaki itu enggan membuka pintu.

Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 247 gram heroin dan sedikit Ice

Siasatan terhadap semua suspek yang ditangkap masih dijalankan.

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 15 gram diamorfin atau “heroin tulen”, 250 gram Ice, atau 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Menurut laporan tahunan statistik CNB bertarikh 12 Februari, seramai 126 penagih dadah baru berusia bawah 20 tahun ditangkap pada 2024 – termasuk yang termuda berumur 13 tahun.

Jumlah ini meningkat hampir 30 peratus berbanding 97 orang pada 2023.

Penagih baru keseluruhan pada 2024 adalah 966 orang, meningkat berbanding 952 orang pada 2023.

Namun, bilangan pesalah berulang menurun kepada 2,153 pada 2024, berbanding 2,170 pada 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg