Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanmugam: Skala tragedi dadah amat besar, rentas generasi

Bekas penagih dedah pengalaman ketika ketagihan untuk larikan diri dari realiti
May 16, 2025 | 8:17 PM
Singapore, Singapura, dadah, drugs, K. Shanmugam
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (kanan), berkata ketagihan dadah bukan sahaja memusnahkan masa depan dan potensi insan, bahkan meninggalkan trauma psikologi dan fizikal yang berpanjangan, sering kali merentas generasi. Bersama beliau dalam gambar ialah bekas pesalah guna dadah (dari kiri), Encik Kim Whye Kee dan Encik Shaun Yeo. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi Encik Kim Whye Kee, penyalahgunaan dadah bukanlah satu tindakan memberontak, tetapi satu cara untuk merasakan rasa berharga dalam kehidupan yang dibentuk oleh ketidakstabilan dan pengabaian emosi. 

Dibesarkan dalam rumah tangga yang bermasalah dan dikelilingi budaya samseng, Encik Kim dalam usia belianya terjerumus dalam kancah dadah sebagai cara untuk melarikan diri daripada realiti dan mendapatkan keyakinan.

Pengalamannya mencerminkan kos ketagihan manusia yang mendalam – impak yang melampaui penagih, seperti yang dikatakan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam ucapannya semasa Acara Sambutan Hari Peringatan Mangsa Dadah pada 16 Mei.

Encik Shanmugam berkata dadah memusnahkan masa depan, memecah-belahkan keluarga dan meninggalkan luka emosi yang sering menjangkau generasi, dengan akibatnya tidak mudah diterjemah dalam bentuk angka, namun amat dirasai dalam kehidupan mereka yang terkesan.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), Encik Kim, 46 tahun, berkata:

“Dadah memberi saya keyakinan apabila dunia membuat saya berasa seperti saya ini tiada apa-apa. Ia bukan soal khayal, tetapi usaha untuk merasa seperti seorang manusia semula.”

“Pada masa itu, saya tiada hala tuju selepas ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), tiada masa depan... Itu membuatkan saya rasa status saya lebih rendah daripada orang lain.”

Meniti kembali kisah silamnya, Encik Kim ketika itu beliau hanya mahu mempunyai wang yang mencukupi untuk mendapatkan dadah, “untuk melarikan diri daripada realiti”.

Beliau, yang dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun, turut mengakui bahawa tindakannya itu memberi kesan mendalam terhadap keluarganya.

“Sepanjang terlibat dengan kumpulan samseng dan dadah, selepas sekian lama... saya langsung tidak melakukan apa-apa untuk keluarga.

“Saya merasa rindu pada keluarga kerana kehilangan banyak masa bersama mereka ketika saya mengambil dadah dan semasa di penjara,” ujar Encik Kim, yang dibebaskan pada 2008.

Kesan yang beliau lalui sejajar dengan inti ucapan Encik Shanmugam.

Bercakap di Pusat Konvensyen Suntec City, beliau berkata:

“Apabila seseorang menjadi ketagih, dia akan mengutamakan pembelian dadah bagi memenuhi ketagihannya, berbanding keperluan keluarga dan anak-anaknya.

“Skala tragedi manusia sangat besar. Kita bercakap tentang nyawa yang hilang, potensi manusia yang disia-siakan, keluarga yang hancur serta trauma psikologi dan fizikal yang berpanjangan, selalunya merentas generasi.”

Menurut beliau, seorang penagih yang pernah terlibat hanya sekali boleh mengalami kerugian hampir $620,000 dari segi kos langsung – termasuk perbelanjaan untuk dadah dan pendapatan yang hilang.

Penagih berulang pula menanggung kerugian yang lebih besar.

Walaupun Singapura berpendirian keras menentang dadah, Encik Shanmugam mengakui bahawa masih terdapat cabaran, termasuk lebih ramai golongan muda terlibat dalam jenayah itu.

Menurut beliau, lebih separuh daripada penagih dadah yang ditangkap dalam dua tahun kebelakangan ini berusia di bawah 30 tahun, dengan yang termuda berusia 13 tahun (ditangkap pada 2024).

“Apa yang sepatutnya menjadi kehidupan yang penuh dengan janji dan peluang sebaliknya boleh menjadi perjuangan dan ketagihan seumur hidup,” tambahnya.

Turut hadir dalam acara itu ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang; Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg