850,000 warga emas bakal terima $200-$300 dari Pakej Jaminan pada Feb
850,000 warga emas bakal terima $200-$300 dari Pakej Jaminan pada Feb
Warga S’pura berusia 20 tahun ke bawah dan 55 tahun ke atas terima tokokan MediSave Pakej Jaminan $150
Sekitar 850,000 warga emas Singapura bakal menerima $200 hingga $300 daripada Pakej Jaminan Bonus Warga Emas pada Februari.
Bayaran tunai itu akan diberikan kepada warga emas yang tidak memiliki lebih daripada satu rumah.
Golongan warga emas yang layak menerima wang tunai tersebut juga merupakan mereka yang menginap di Singapura, dan tinggal di hartanah dengan nilai tahunan sehingga $31,000, serta mempunyai pendapatan taksiran tidak melebihi $34,000.
Bayaran tunai itu akan diberikan kepada mereka melalui PayNow-NRIC seawal 5 Februari, bergantung kepada kaedah penerimaan bayaran masing-masing.
Sementara itu, warga Singapura berusia 20 tahun ke bawah dan 55 tahun ke atas akan menerima tokokan MediSave di bawah Pakej Jaminan bernilai $150 ke dalam akaun CPF mereka.
Sejumlah dua juta warga Singapura akan menerimanya, tidak kira nilai tahunan rumah ataupun pendapatan taksiran mereka.
Bayaran itu akan dimasukkan ke dalam akaun CPF mereka yang layak, mulai 11 Februari.
Seorang suri rumah, Cik Rosnani Anan, 65 tahun, merupakan antara warga emas yang bakal menerima Bonus Warga Emas ($300) dan tokokan MediSave ($150) Februari ini di bawah Pakej Jaminan.
Disebabkan masalah otot, beliau telah berhenti kerja selama tiga hingga empat bulan.
Suaminya, Encik Mohamad Zakuan Abd Wahab, 72 tahun, bekerja sebagai seorang anak kapal, namun tidak tetap.
Justeru pendapatan bulanannya baru-baru ini juga turut terjejas.
Apabila ditanya bagaimana Pakej Jaminan itu dapat memanfaatkannya, Cik Rosnani berkata:
“Dengan bayaran tunai ini, saya dapat simpan lebih wang kalau ditimpa keadaan darurat. Pendapatan suami saya juga tidak tetap dan kian bertukar setiap bulan.
“Memandangkan kami berdua menghadiri beberapa sesi pemeriksaan perubatan setiap bulan, saya harap wang tunai ini akan tolong meringankan beban kos perubatan kami.”
Warga Singapura yang tidak mempunyai kaedah bayaran PayNow-NRIC boleh memuat naik maklumat akaun bank mereka di laman govbenefits (govbenefits.gov.sg) selewat-lewatnya 27 Januari untuk menerima bayaran tunai melalui Giro mulai 13 Februari.
Mereka yang tidak mempunyai kaedah bayaran PayNow-NRIC atau akaun bank yang sah, akan mendapat bayaran tunai melalui GovCash.
Penerima bayaran tunai akan dihubungi melalui SMS setelah bayaran diberikan pada Februari 2025.
Surat mengikut alamat kad pengenalan akan dihantar kepada penerima yang tidak mempunyai nombor telefon berdaftar Singpass dan mereka yang tidak menerima SMS.
Semua penerima tokokan MediSave di bawah Pakej Jaminan berusia 16 tahun ke bawah akan menerima surat yang ditujukan kepada ibu bapa mereka.
Menerusi Belanjawan 2024, penambahbaikan $1.9 bilion kepada Pakej Jaminan telah diumumkan bagi membantu meringankan kos harian isi rumah warga Singapura.
Ia ditujukan untuk menyokong keluarga berpendapatan rendah, melalui bayaran tunai.
Sebagai perlindungan daripada penipuan, pemberitahuan SMS daripada ‘gov.sg’ akan menjelaskan penerima tentang manfaat mereka, dan tidak akan meminta jawapan balas, mengunjungi pautan ataupun memberi sebarang maklumat kepada penghantar.
Warga Singapura boleh menentukan kelayakan mereka di laman govbenefits (govbenefits.gov.sg) menggunakan Singpass, ataupun menghubungi talian 1800-2222-888 dan go.gov.sg/apcontactus.

