Sebanyak 85.8 peratus lulusan baru daripada Kelas 2024 Kolej Yale-NUS (Universiti Nasional Singapura) dalam tenaga buruh telah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat peperiksaan akhir mereka.
Gaji bulanan kasar median lulusan Yale-NUS yang bekerja tetap sepenuh masa pada 2024 ialah $4,786.
Ini berdasarkan Tinjauan Pekerjaan Lulusan Bersama Universiti Autonomi 2024, yang dijalankan bersama oleh NUS dan Universiti Autonomi (AU) lain di Singapura.
Menurut tinjauan itu, gaji kasar bulanan median lulusan Yale-NUS dengan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian yang bekerja tetap sepenuh masa ialah $5,043, manakala lulusan dengan ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian memperolehi $4,557.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Yale-NUS pada 25 Februari, 149 daripada keseluruhan 231 lulusan baru menyertai tinjauan bersama itu.
Lulusan Yale-NUS telah diambil bekerja dalam pelbagai perusahaan, termasuk kewangan dan insurans, perundingan perniagaan dan pengurusan, maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan saintifik serta pendidikan.
Profesor Joanne Roberts, Presiden Yale-NUS, berkata, “Kami sangat berbangga dengan lulusan kami yang menyumbang secara aktif kepada masyarakat mereka, menggunakan kemahiran yang telah mereka pelajari semasa mereka di sini.
“Keupayaan mereka untuk memanfaatkan perspektif berbeza, membuat perkaitan merentas bidang dan bekerja secara kolaboratif adalah kemahiran yang sangat dicari di tempat kerja, dan saya yakin bahawa lulusan kami akan terus cemerlang dalam laluan berbeza mereka.”
Mahasiswa Yale-NUS menerima pendidikan antara disiplin yang luas – memerlukan mereka melibatkan diri dengan disiplin akademik berbeza, pelbagai tradisi serta cara berinteraksi dengan pengetahuan.
Mereka dibimbing untuk membuat perkaitan antara pelbagai bidang merentasi sains semula jadi dan sosial serta kemanusiaan, temui pautan merentasi domain dan mengaitkan penemuan ini kepada topik dan masalah masyarakat kontemporari.
Kepakaran yang diperolehi melalui jurusan mereka dan pembelajaran antara disiplin yang mereka didedahkan di kolej itu membolehkan mahasiswa mengembangkan pemikiran kritis, kecekapan bersilang dan kemahiran diperlukan untuk menangani isu sejagat.
Empat tahun kehidupan mereka di kampus juga melengkapkan mereka dengan keupayaan untuk berinteraksi merentasi budaya, mengurus perbezaan dan menghargai pelbagai perspektif, lantas mengasah kemahiran komunikasi dan interaksi sosial mereka.
Ini membolehkan mereka cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja tempatan dan sejagat.
Cik Nicole Lim menyertai Program Bersekutu Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) Singapura selepas menamatkan pengajian daripada Yale-NUS pada 2024 dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam Ekonomi.
Semasa berada di Yale-NUS, Cik Lim mengambil bahagian dalam pelbagai latihan amali, termasuk dengan EDB di mana beliau mengusahakan strategi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, memetakan peluang ekonomi selaras dengan langkah Singapura ke arah kesihatan pencegahan.
Tugasnya sebagai Pelatih Pembangunan Masyarakat di Bettr Group juga membolehkannya menerajui usaha jangkauan, bekerjasama dengan pertubuhan khidmat masyarakat, serta membantu dalam program yang memberi impak kepada masyarakat terpinggir.
“Saya amat menghargai perjalanan transformatif yang Yale-NUS berikan kepada saya.
“Ia telah memberi saya peluang mendalam untuk mengembangkan pengalaman saya dari segi intelek dan budaya. Cabaran akademik yang saya hadapi telah mendorong saya untuk berkembang, menggalakkan saya berfikir secara kritis dan kreatif,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg