Sembilan daripada 10 mangsa bahaya dalam talian adalah wanita, dengan separuh daripadanya berusia 35 tahun ke bawah, menurut panduan SG Her Empowerment Panduan Ringkas mengenai Bahaya dalam Talian yang dikeluarkan pada 24 Februari.
Kajian itu mendapati seorang daripada tiga individu mengalami serangan dalam talian dan di dunia nyata secara serentak, sementara separuh daripada responden melaporkan mengalami beberapa bentuk bahaya dalam talian pada masa yang sama.
Selain itu, seorang daripada tiga individu telah menjadi sasaran merentasi pelbagai platform.
Dapatan itu adalah hasil tinjauan melibatkan 257 individu yang dijalankan oleh SheCares@SCWO, satu inisiatif kerjasama antara badan tidak mencari untung (NPO) SG Her Empowerment (SHE) dengan Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), dari 19 Januari 2023 hingga 31 Disember 2024.
Panduan itu diterbitkan susulan peningkatan kes kemudaratan dalam talian, termasuk pembulian siber, gangguan, fitnah, serta penipuan seperti catfishing (menyamar sebagai individu lain), sextortion (pemerasan berbentuk seksual), dan deepfake (palsu mendalam).
Deepfake adalah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Panduan tersebut telah dilancarkan semasa Simposium Tahunan SHE 2025 di YWCA Singapura, Outram Road, yang bertujuan menangani kesan kecerdasan buatan (AI) dan norma jantina terhadap keselamatan serta maruah wanita, baik dalam mahupun luar talian.
Ia dihadiri oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan) Cik Rahayu Mahzam dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Semasa acara pelancaran itu, Cik Rahayu berkata meskipun teknologi digital membawa banyak manfaat kepada masyarakat dan ekonomi, ia juga menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan kesejahteraan ramai, khususnya wanita serta kanak-kanak dan belia perempuan.
“Kajian antarabangsa dan tempatan, termasuk kajian bahaya dalam talian SHE pada 2023 dan tinjauan Sunlight Alliance for Action pada 2022 mendapati, berbanding lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan berasa kurang selamat dalam talian, dan lebih terdedah kepada bahaya dalam talian berasaskan jantina seperti gangguan seksual dan penyalahgunaan imej intim.
“Maka tidak mengejutkan bahawa wanita lebih kerap menjadi mangsa deepfake.
“Dianggarkan sekitar 95 peratus kandungan deepfake pornografi tanpa persetujuan melibatkan wanita.
“Kita perlu mengambil pendirian tegas terhadap deepfake seperti ini kerana kesannya boleh menjadi teruk dan berpanjangan terhadap mangsa, yang mungkin mengalami trauma emosi, kesan fizikal, serta kerosakan reputasi dan kewangan,” ujar beliau.
Bagi mewujudkan ruang dalam talian yang lebih selamat dan bertanggungjawab, pemerintah telah berusaha memperkukuh undang-undang untuk mengawal selia persekitaran digital dengan lebih baik, kata Cik Rahayu.
Langkah ini termasuk pemindaan Akta Penyiaran 2023 untuk mengawal selia perkhidmatan komunikasi dalam talian serta pengenalan Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) 2023 bagi menangani kandungan dan kegiatan jenayah dalam talian secara lebih berkesan.
“Walau bagaimanapun, kami sedar bahawa lebih banyak yang perlu dilakukan kerana bahaya dalam talian masih berleluasa walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan.
“Langkah-langkah sedia ada perlu diperkukuh bagi melindungi mangsa dengan lebih baik serta memberikan bantuan yang lebih tepat pada masanya dan berkesan,” tambah beliau.
Untuk membantu mangsa yang berdepan masalah dalam talian, panduan ini menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil, termasuk:
– Memerhatikan perubahan tingkah laku seperti penyisihan diri dan kegelisahan selepas menerima mesej.
– Bertanya dengan sensitiviti untuk mengenal pasti sama ada mangsa mengalami kemudaratan dalam talian.
– Menyimpan bukti seperti gambar profil, nama pengguna, alamat Protokol Internet (IP) dan nombor telefon pihak yang melakukan gangguan.
Panduan itu diharapkan dapat memberi sokongan kepada mangsa serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dalam talian, agar keselamatan wanita dan gadis lebih terjamin di ruang digital.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg