Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Huraian pantas kunci kurangkan kesan kandungan bahaya dalam talian

Tindakan pantas perlu diambil lebih-lebih lagi dalam landskap digital yang kian berkembang
Nov 1, 2024 | 5:30 AM
Penyelesaian segera adalah kunci mengurangkan kesan kandungan bahaya dalam talian daripada menjadi lebih teruk terhadap mangsa bahaya dalam talian, kata pakar dan badan bukan mencari untung (NPO) yang dihubungi Berita Harian (BH). Ini lebih-lebih lagi dalam landskap digital yang kian berkembang, tambah mereka.
Penyelesaian segera adalah kunci mengurangkan kesan kandungan bahaya dalam talian daripada menjadi lebih teruk terhadap mangsa bahaya dalam talian, kata pakar dan badan bukan mencari untung (NPO) yang dihubungi Berita Harian (BH). Ini lebih-lebih lagi dalam landskap digital yang kian berkembang, tambah mereka. - Foto REUTERS

Gambar dan dakwaan tidak menyenangkan terhadap ‘Jane’ (bukan nama sebenar) tersebar luas secara dalam talian.

Tidak cukup di situ, si pelaku menawarkan untuk menjual maklumat alamat kediamannya dan menyiarkan nombor telefon beliau di media sosial.

Bimbang dengan keselamatan dan reputasinya kerana ia mungkin menjejas cara kenalan berhubungan dengannya, Jane menghubungi pusat SHECARES@SCWO pada awal 2024 untuk mendapatkan bantuan dan disalurkan kepada kaunselor pusat tersebut, Cik Saira Sultanah.

Pusat tersebut dilancarkan pada Januari 2021 hasil kerjasama badan bukan mencari untung (NPO) SG Her Empowerment (SHE) dan Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO).

Ia menyediakan khidmat di bawah satu bumbung bagi wanita dan remaja perempuan yang menghadapi bahaya dalam talian, seperti pembulian siber dan gangguan lain.

Di samping memberi kaunseling dan sokongan emosi, Cik Saira melaporkan kandungan itu kepada penyedia khidmat media sosial, yang kemudian segera menurunkan dan memadamkan kandungan itu.

Kisah Jane yang ditukil daripada Laporan Negara Bijak 2.0 terbitan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada Oktober memaparkan realiti kepentingan penyelesaian pantas bagi kurangkan kesan kandungan bahaya dalam talian.

Malah, penyelesaian segera adalah kunci mengurangkan kesan kandungan bahaya dalam talian daripada menjadi lebih teruk terhadap mangsa bahaya dalam talian, kata pakar dan NPO yang dihubungi Berita Harian (BH).

Ini lebih-lebih lagi dalam landskap digital yang kian berkembang, tambah mereka.

Mereka menyatakan sedemikian sebagai respons kepada BH mengenai kepentingan usaha mencari penyelesaian dalam masa tepat bagi membantu mangsa sebegini.

Menurut Pengarah Lembaga SHE, Cik Kwek Poh Heok, kepantasan penyelesaian merupakan perkara penting disebabkan sifat Internet dan media sosial hari ini.

Beliau menjelaskan kandungan bahaya dalam talian kini boleh tersebar luas dengan pantas, wujud menerusi berbilang wadah dan si pelaku boleh bersembunyi di sebalik akaun tanpa nama atau akaun palsu.

Ini di samping pencarian kandungan bahaya dalam talian yang lebih mudah melalui Internet, tambahnya.

“Dengan kandungan atau tatalaku bahaya dalam talian yang dapat diturunkan tepat pada masa, ia dapat mengurangkan kerosakan (seperti kerosakan reputasi) yang boleh dialami mangsa, serta kesan mental, fizikal dan emosi bahaya dalam talian (terhadap mangsa),” jelas Cik Kwek.

Penyelesaian dalam masa tepat ini merupakan antara tujuan satu agensi baru yang bakal ditubuhkan kelak bagi menyokong mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian, seperti pembulian siber dan gangguan, mendapatkan bantuan undang-undang.

Penubuhan agensi itu diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 1 Oktober dalam majlis pelancaran Negara Bijak 2.0.

MDDI dalam satu kenyataan pada 1 Oktober berkata agensi itu akan diberi kuasa penguatkuasaan melalui rang undang-undang baru yang akan diperkenalkan pada 2025 dan ia sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) bagi memperhalusi butiran operasi agensi ini.

Maklumat lanjut bakal diumumkan dalam beberapa bulan akan datang, tambah MDDI lagi.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menjelaskan bahawa undang-undang baru ini diharap dapat menyokong mangsa bahaya dalam talian dengan lebih baik.

Beliau, yang juga pengerusi bersama Perikatan Untuk Bertindak (AfA) Sunlight, berkata:

“Agensi baru ini akan membantu mangsa mendapatkan ganti rugi dengan mengarahkan pelaku dan penyedia perkhidmatan dalam talian, termasuk perkhidmatan media sosial, untuk menghentikan (kandungan) bahaya dalam talian dengan pantas.”

Ditubuhkan pada Julai 2021, AfA Sunlight merupakan satu gabungan rentas sektor yang membincangkan huraian bagi isu bahaya dalam talian.

Cik Rahayu menambah penubuhan agensi dan undang-undang baru ini “memberi jaminan tambahan” di samping rejim kawal selia sedia ada dan proses mahkamah yang tersedia hari ini.

Beliau pernah berkongsi pada September 2023 dalam simposium Kemudaratan Dalam Talian bahawa satu bidang yang kurang adalah peranan undang-undang sivil.

Bahaya dalam talian di Singapura merupakan satu isu serius, lebih-lebih lagi apabila jumlah kes atau kejadian sebenar yang tidak dilaporkan tidak diketahui, kata Profesor Madya, Jabatan Komunikasi dan Media Baru, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat.

Ini khususnya apabila bahaya dalam talian boleh berlaku secara langsung kepada individu secara peribadi melalui peranti peribadi – hal sedemikian tidak akan diketahui melainkan sekiranya mangsa melaporkan atau berkongsi pengalaman sedemikian, tambahnya.

Dr Elmie berkata: “Situasi ini adalah serius jika ia berlaku kepada belia atau kanak-kanak, yang lebih cenderung untuk berdiam diri tentang pengalaman mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak tahu siapa untuk berkongsi pengalaman mereka mengenai bahaya dalam talian.”

Menurut Ketua Pusat SHECARES, Cik Lorraine Lim, pembulian siber dan perkongsian gambar tanpa disepakati (NCII) merupakan jenis bahaya dalam talian yang biasanya dilihat di pusat itu.

“Kebanyakan kes mengambil tiga hingga enam bulan, tetapi beberapa kes rumit boleh berlarutan menjangkau setahun,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg