Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 anggota baru Majlis Muis ke-20 dilantik

Majlis baru gabung pengalaman bertauliah bersama perspektif baru
Aug 7, 2025 | 4:23 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (depan, empat dari kanan) bersama Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang ke-20 yang merangkumi (dari kiri, depan) Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat; Encik Azriman Mansor; Ustaz Fathurrahman Dawoed, Presiden Muis, Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Ustaz Pasuni Maulan; Encik Imran Rahim; (dari kiri, belakang) Encik Ahmed Basir Amir Sultan; Syed Jaafar Syed Alwi Madihi; Dr Djoni Huang Sian Wei; Ustazah Dr Rohana Ithnin; Cik Zulaifah Abdul Ghani; Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid; Dr Nurhidayati Mohamed Suphan; Cik Zarina Begam Abdul Razak, dan Dr Norham Erlyani Abdul Hamid.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (depan, empat dari kanan) bersama Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang ke-20 yang merangkumi (dari kiri, depan) Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat; Encik Azriman Mansor; Ustaz Fathurrahman Dawoed, Presiden Muis, Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Ustaz Pasuni Maulan; Encik Imran Rahim; (dari kiri, belakang) Encik Ahmed Basir Amir Sultan; Syed Jaafar Syed Alwi Madihi; Dr Djoni Huang Sian Wei; Ustazah Dr Rohana Ithnin; Cik Zulaifah Abdul Ghani; Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid; Dr Nurhidayati Mohamed Suphan; Cik Zarina Begam Abdul Razak, dan Dr Norham Erlyani Abdul Hamid. - Foto Muis

Sembilan anggota baru telah dilantik ke Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang ke-20, di samping tujuh lagi anggota yang telah dilantik semula bagi penggal tiga tahun yang akan bermula 7 Ogos.

Menurut kenyataan Muis yang dikeluarkan pada 7 Ogos, seramai 19 anggota Majlis Muis telah dilantik oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di bawah Seksyen 7 Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Ini termasuk Presiden Muis, Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir yang akan meneruskan khidmat menerajui majlis tersebut.

Pelantikan anggota-anggota lain turut dicadangkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Encik Saat menerusi senarai pencalonan oleh pelbagai pertubuhan Islam.

Peguam dan rakan kongsi, Eldan Law LLP, Encik Imran Rahim, 37 tahun, merupakan anggota baru termuda yang dilantik, manakala tokoh agama mapan dan mantan pendaftar Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Pasuni Maulan, 80 tahun, merupakan anggota paling kanan yang dilantik semula.

Selain Encik Imran, anggota baru termasuk, antara lain, Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, 42 tahun; Konsultan Pendidikan, Anise Consultancy & Services, Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid, 44 tahun; dan pensyarah, Ustazah Dr Rohana Ithnin, 62 tahun.

Muis berkata majlis baru ini menggabungkan “pengalaman bertauliah bersama perspektif baru” dari pemimpin-pemimpin kanan dan yang baru dari sektor pendidikan, perkhidmatan awam, korporat, agama dan sosial.

Mengulas tentang pelantikan majlis ini, Dr Faishal berkata kepimpinan yang berpengalaman serta perspektif yang inovatif amat diperlukan bagi memacu masyarakat ke hadapan dan memastikan keperluan sosio-agama dijaga dengan baik.

Ini berlatarbelakangkan persekitaran dunia yang semakin berubah dengan pesat pada hari ini, katanya.

“Majlis Muis ke-20 merangkumi keseimbangan ini. Secara kolektif, kepakaran mereka yang pelbagai mencerminkan komitmen berterusan kita untuk membentuk dasar yang berkesan dan menyampaikan program yang disasarkan, sejajar dengan keperluan masyarakat kita yang semakin berkembang.

“Saya yakin majlis baru ini akan membawa pandangan baru yang akan memberi manfaat kepada Muis dan masyarakat, dan saya menggalak Muis untuk terus mengukuhkan perkongsiannya dengan masyarakat dan rakan kongsi utamanya,” kata Dr Faishal.

Dalam kenyataan Facebook pada hari yang sama, Dr Faishal turut merakamkan penghargaan kepada anggota Majlis Muis ke-19 yang akan mengundur diri atas sumbangan mereka membimbing perkembangan Muis dan masyarakat.

Mereka adalah Cik Zuraidah Abdullah, Cik Rahayu Mohamad, Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, Cik Nur Liyana Mohamed Sinwan, Encik Mohamed Ismail Abdul Gafoor, Encik Sultan Mohamed Ghouse, Encik Wasim Abdul Majeed, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, dan Encik D’Cruz Firdaus Lionel Wilfred.

Encik Kadir berkata: “Kami mengucapkan terima kasih kepada ahli majlis yang telah tamat tempoh atas kepimpinan dan perkhidmatan berdedikasi mereka.

“Pencapaian mereka telah meletakkan asas yang kukuh, yang akan dibina oleh majlis yang akan datang untuk membangunkan penyelesaian inovatif bagi cabaran semasa dan masa depan.”

Selain Ustaz Pasuni, anggota lain yang dilantik semula termasuk Encik Abu Bakar Mohd Nor, Encik Azriman Mansor, Ustaz Fathurrahman Dawoed, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat dan Cik Zarina Begam Abdul Razak.

Anggota Majlis Muis Ke-20

Kepimpinan

  1. Presiden, Encik Mohd Saat Abdul Rahman
  2. Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen
  3. Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir 

Pelantikan Semula

  1. Ustaz Pasuni Maulan, mantan pendaftar, Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM)
  2. Encik Abu Bakar Mohd Nor, Pengerusi dan Pengarah, M Capital Holdings Pte Ltd
  3. Encik Azriman Mansor, Pengawal Kewangan Kumpulan, Times Publishing Limited
  4. Ustaz Fathurrahman Dawoed, Pengarah Eksekutif Andalus Corporation
  5. Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pacific Healthcare Holdings
  6. Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat, Naib Presiden Persatuan Muhammadiyah
  7. Cik Zarina Begam Abdul Razak, Pengarah Urusan, Bio Dew Management & Institute

Pelantikan Baru

  1. Ustazah Dr Rohana Ithnin, Pensyarah
  2. Dr Djoni Huang Sian Wei, Pengarah Perkhidmatan Klinikal, Hospital Mount Alvernia
  3. Dr Norham Erlyani Abdul Hamid, Penolong Pengarah, Strategi Program dan Operasi Perniagaan, Hillleman Laboratories
  4. Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Presiden Pergas
  5. Cik Zulaifah Abdul Ghani, anggota lembaga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
  6. Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid, Konsultan Pendidikan, Anise Consultancy & Services
  7. Encik Imran Rahim, peguam dan rakan kongsi, Eldan Law LLP
  8. Syed Jaafar Syed Alwi Madihi, pengurus perkhidmatan kewangan, Professional Investment Advisory Services Pte Ltd
  9. Encik Ahmed Basir Amir Sultan, Timbalan Presiden, IM.PROF
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg