Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program aLIVE beri kesan positif kepada kanak-kanak, belia

Faishal: Program beri kemahiran praktikal tangani isu kontemporari daripada perspektif Islam
Jul 27, 2025 | 8:46 PM
Program aLIVE, kepimpinan generasi muda, Muis
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, menggesa agar usaha pendidikan Islam terus diperkukuh. - Foto MUIS

Kelas madrasah mingguan ataupun program aLIVE telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan merentasi pelbagai peringkat umur, dengan kanak-kanak menjadi lebih berdisiplin dalam menunaikan solat harian serta semakin yakin dalam meluahkan keimanan mereka.

Kesan positif juga dilihat dalam kalangan peserta belia yang antaranya, didapati memperoleh kemahiran praktikal untuk menangani isu kontemporari daripada perspektif Islam dan memainkan peranan kepimpinan dalam keluarga, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 27 Julai. 

Beliau berkongsi hasil dapatan satu kajian bebas yang diketuai Profesor Dr Mohamad Johdi Salleh, pakar Pendidikan Islam dan Pembangunan Kurikulum dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semasa acara dua hari Festival LearnIslam 2025 yang berlangsung di Singapore Expo, yang berakhir pada 27 Julai.

Berdasarkan dapatan positif tersebut, Dr Faishal menggalak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk terus mempertingkatkan kurikulum aLIVE di samping memperkukuh kerjasama dengan Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) bagi meluaskan jangkauan program.

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata: “Dalam kalangan kanak-kanak dan praremaja, kita lihat nilai-nilai murni semakin kukuh. Pelajar menjadi lebih berdisiplin dalam menunaikan solat, lebih yakin dalam meluahkan keimanan mereka, dan berusaha menjadi Muslim yang lebih baik setiap hari.

“Dalam kalangan remaja dan belia pula, kesannya juga sangat memberangsangkan. Mereka memperoleh kemahiran praktikal untuk menangani isu kontemporari daripada perspektif Islam, mengaplikasikan prinsip Islam dalam kehidupan harian, serta memainkan peranan kepimpinan dalam keluarga dan masyarakat.”

Menyifatkan dapatan tersebut sebagai “hasil benih iman yang kini mula berbuah”, Dr Faishal menggesa Muis agar terus mempertingkatkan kurikulum aLIVE dengan mengambil kira maklum balas daripada asatizah dan pelajar, di samping memperkukuh kerjasama dengan IECP untuk meluaskan jangkauan program.

“Kami mahu pastikan benih iman yang ditanam hari ini akan terus mekar subur dan membuahkan hasil untuk generasi akan datang,” tambahnya yang turut menekankan peranan bersama yang diambil ibu bapa, keluarga, asatizah, pemimpin keagamaan dalam bimbangan tersebut. 

Ilmu agama semakin penting, khususnya dalam era digital masa kini yang dipenuhi dengan maklumat. 

Justeru, menurut beliau, umat Islam perlu bijak menilai kandungan dan memastikan ilmu diperoleh daripada sumber yang sahih.

“Wadah dalam talian mungkin memudahkan, tetapi maklumat yang diperoleh boleh disalah tafsir jika tiada bimbingan. Inilah sebabnya mengapa peranan asatizah bertauliah sangat penting — mereka memahami tradisi Islam yang kaya dan mampu menyesuaikannya dalam konteks masyarakat Muslim kita yang hidup dalam persekitaran majmuk dan moden,” jelas beliau.

Beliau turut memuji 10 penyedia IECP utama yang hadir di festival itu atas komitmen teguh mereka dalam membentuk individu Muslim yang seimbang dan mampu mengharungi kehidupan moden dengan yakin.

Rancangan Pelajar dan Pendidik Pendidikan Islam (ILEM) yang diperkenalkan pada 2023 turut memainkan peranan penting dalam membantu IECP menambah baik kurikulum dan pembangunan profesional asatizah. 

Melalui kolaborasi rapat antara Muis dan IECP, usaha memperkukuh pendidikan Islam kini lebih menyeluruh dan bersepadu.

Sejak ditubuhkan pada 2004, program aLIVE telah menyantuni lebih 20,000 pelajar berumur lima hingga 20 tahun setiap tahun, merentas 36 pusat di seluruh negara. 

Muis akan terus mempertingkatkan kurikulum aLIVE sambil bekerjasama rapat dengan IECP bagi mewujudkan lebih banyak laluan pembelajaran untuk umat Islam di Singapura mendalami ilmu agama pada setiap peringkat kehidupan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg