Sembilan individu yang disyaki terlibat mengatur perlawanan bola keranjang dalam Liga Bola Keranjang Nasional K. Star Divisyen 1 2025, telah ditahan.
Menurut kenyataan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) yang dikeluarkan pada 19 Ogos, kesembilan individu tersebut terdiri daripada lapan warga Singapura dan seorang penduduk tetap (PR), berusia antara 19 dengan 35 tahun.
Sebahagian daripada mereka adalah pemain pasukan bola keranjang yang menyertai pertandingan itu.
Salah satu perlawanan yang dipercayai telah diatur adalah antara pasukan Tagawa yang menentang Tong Whye pada 1 Ogos 2025.
Siasatan sedang dijalankan terhadap individu yang ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah, kata CPIB.
“Singapura mengamalkan pendekatan sifar toleransi yang tegas terhadap rasuah, dan pengaturan perlawanan dalam apa jua bentuk tidak diterima sama sekali di Singapura.
“CPIB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sebarang pihak yang terlibat, sekiranya mereka memberi, menerima atau menawarkan rasuah untuk mengatur keputusan sesuatu perlawanan,” tambah CPIB.
Liga Bola Keranjang Nasional K. Star Divisyen 1 2025 terdiri daripada 10 pasukan – Adroit, SBA, Tagawa, Chong Ghee, Eng Tat Hornets, Bola Keranjang SG, Kelab Bola Keranjang Siglap, Xin Hua, Tung San dan Tong Whye.
Perlawanan pertama musim tersebut telah berlangsung pada 14 Julai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg