LOS ANGELES: Luka Doncic bertekad untuk membawa Los Angeles Lakers merangkul kejuaraan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) semasa pelancaran rasminya pada 4 Februari, berikutan perpindahan beliau dari Dallas Mavericks.
Bintang Slovenia berusia 25 tahun itu mengakui beliau masih menyesuaikan diri dengan perpindahan itu.
Sebelum ini beliau berasakan seluruh kerjayanya adalah bersama pasukan Mavericks.
Namun, beliau juga berkata bahawa peluang untuk bermain bersama bintang bola keranjang, LeBron James dianggapnya bak “impian menjadi kenyataan”.
Bercakap tentang saat beliau mengetahui akan perpindahannya itu, Doncic berkata bahawa beliau pada mulanya tidak percaya akan berita tersebut.
“Semua orang terkejut, jadi anda boleh bayangkan betapa terkejutnya saya,” katanya.
“Saya tidak begitu percaya pada mulanya, dan ia adalah satu kejutan besar.
“Tetapi seperti yang saya katakan, saya boleh bermain bersama kelab terhebat di dunia, dan saya teruja untuk perjalanan baru ini.”
Perpindahan Doncic ke Lakers, dan bintang pertahanan Lakers, Anthony Davis ke pasukan Mavericks, secara meluas dianggap sebagai perpindahan yang paling mengejutkan dalam sejarah NBA.
Difahamkan terdapat laporan bahawa Dallas yang akan melepaskan Doncic selepas timbul kebimbangan mengenai kecergasan pemain itu.
Doncic enggan menjawab secara langsung laporan itu tetapi beliau akan menggunakan kritikan mengenai kecergasannya sebagai pendorong apabila memulakan kerjayanya di Lakers.
Ditanya sama ada beliau merasakan dirinya mempunyai sesuatu untuk dibuktikan di Los Angeles, Doncic menambah:
“Sudah tentu. Untuk memenangi kejuaraan. Anda tidak datang ke sini untuk perkara lain.
“Saya mempunyai segala-galanya untuk dibuktikan dan matlamatnya adalah untuk memenangi kejuaraan.”
Sementara itu, beliau juga mendedahkan bahawa James adalah antara orang pertama yang menghubunginya berikutan berita mengenai perpindahan itu.
Doncic percaya bahawa bermain bersama James yang sudah berusia 40 tahun akan menjadi peluang untuk dirinya meningkatkan kebolehannya.
“Ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Saya sentiasa memandang tinggi kepadanya. Banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada beliau.
“Saya fikir kami berdua akan menjadi rakan sepasukan yang amat baik. Saya rasa corak (permainan) kami cukup baik, maka saya fikir itu akan membantu semua.
“Saya hanya teruja untuk bekerja sama dengannya.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg