9 perkara yang anda perlu tahu mengenai Belanjawan 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

9 perkara yang anda perlu tahu mengenai Belanjawan 2026

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari, berikut rumusannya
Feb 12, 2026 | 7:24 PM

9 perkara yang anda perlu tahu mengenai Belanjawan 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong tiba di bangunan Parlimen pada 12 Februari.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong tiba di bangunan Parlimen pada 12 Februari. - Foto ZAOBAO

1. Belanjawan 2026 merupakan yang terbesar sejauh ini

Secara keseluruhannya, perbelanjaan yang dianggarkan bagi 2026 ialah $154.7 bilion, meningkat daripada $143.3 bilion pada 2025.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menjelaskan bahawa keperluan perbelanjaan ini akan merentasi pelbagai bidang utama: keselamatan dah perhubungan luar, ekonomi, keperluan sosial seperti penjagaan kesihatan, dan cabaran jangka panjang.

“Justeru kami menjangka kedua-dua pendapatan dan perbelanjaan untuk terus meningkat. Pemerintah akan menangani kenaikan ini dengan berhati-hati, memastikan bahawa perbelanjaan kekal disokong oleh pendapatan, dan konsisten dengan objektif kami iaitu mengekalkan belanjawan yang seimbang sepanjang jangka masa sederhana,” ujarnya.

2. AI beri manfaat, tapi adakah ia akan ‘curi’ pekerjaan saya?

Walaupun kecerdasan buatan (AI) membangkitkan keprihatinan, antaranya ia akan menggantikan pekerjaan, Encik Wong memberi jaminan bahawa manfaatnya akan dikongsi secara meluas oleh seluruh masyarakat.

Singapura akan menggubal peraturan jelas untuk memastikan AI digunakan secara bertanggungjawab dan selamat, katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari.

Majlis AI Kebangsaan akan ditubuhkan untuk memacu usaha negara ini.

Pekerja yang mengambil kursus AI tertentu juga akan mendapat akses percuma selama enam bulan kepada ciri AI versi premium.

“Ia boleh membantu kita mengatasi kekangan struktur kita – sumber semula jadi kita yang terhad, penduduk yang menua dengan pesat, serta pasaran buruh yang ketat,” ujarnya.

3. Melindungi pekerjaan bagi warga tempatan

Menurut Encik Wong, Singapura telah mencatat kemajuan ketara sepanjang sedekad lalu, menyaksikan kenaikan gaji yang meluas dan jurang pendapatan yang kian mengecil.

“Setiap rakyat Singapura, tidak kira dari mana mereka bermula dalam hidup, harus mendapat peluang adil untuk mengejar aspirasi mereka dan merealisasikan potensi penuh mereka,” katanya.

Antara langkah yang akan diambil termasuk memperkukuh sokongan kepada pekerja bergaji rendah.

Sebagai contoh, bagi firma yang menggajikan pekerja asing, gaji minimum bagi pekerja tempatan sepenuh masa akan dinaikkan kepada $1,800 sebulan mulai Julai 2026.

4. Sokongan bagi warga S’pura

Walaupun inflasi telah berkurangan, ramai warga Singapura masih merasai tekanan kos sara hidup, kata Encik Wong.

Justeru, Bayaran Khas Kos Sara Hidup antara $200 hingga $400 – secara tunai – akan diagihkan pada 2026 kepada warga dewasa yang bergaji sehingga $100,000 dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Selain itu, kesemua 1.4 juta isi rumah Singapura bakal menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $500 pada Januari 2027.

Rebat U-Save yang membantu menampung sebahagian bil api air juga ditambah.

Isi rumah yang layak boleh menerima sehingga $570 pada tahun kewangan ini.

5. Sokongan tambahan bagi yang lebih memerlukan

Encik Wong menyatakan Singapura akan terus mendukung keluarga berpendapatan rendah, terutama yang mempunyai anak kecil, untuk mencapai kestabilan, berdikari, dan meningkatkan taraf hidup.

Antaranya ialah mempertingkat Pakej Kemajuan ComLink+.

Contohnya, keluarga yang mempunyai dua anak kecil di bawah ComLink+ boleh menerima kira-kira $10,000 setahun dalam bentuk wang tunai dan tokokan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sedang anak-anak mereka di dalam prasekolah.

Selain itu, bantuan akan diperluas untuk golongan kurang upaya, serta keluarga dan penjaga mereka.

“Ini termasuk meluaskan kapasiti dalam kemudahan berasaskan masyarakat, memastikan perkhidmatan kekal dimampui, serta menyokong lulusan sekolah pendidikan khas (Sped) untuk mendapatkan pekerjaan yang bermakna dan hidup dengan baik dalam masyarakat,” kata Encik Wong.

6. Sokongan persaraan tambahan supaya warga emas menua dengan baik

Dengan jangka hayat yang lebih panjang, kecukupan persaraan merupakan keprihatinan besar buat ramai warga Singapura, kata Encik Wong.

Tokokan CPF sehingga $1,500 akan diberikan kepada warga Singapura berusia 50 tahun dan ke atas yang belum memenuhi Jumlah Persaraan Asas.

Selain itu, pemerintah juga akan menawarkan skim pelaburan baru buat pencarum yang ingin mengembangkan simpanan dengan lebih pantas dan pada harga lebih dimampui.

“Sesetengah anggota CPF, terutamanya mereka yang masih mempunyai tempoh lebih panjang sebelum bersara, bersedia untuk mengambil lebih risiko bagi menjana pulangan yang berpotensi lebih tinggi,” kata Encik Wong.

7. Memperkukuh keupayaan keselamatan siber untuk tangani ‘pertempuran digital’

Konflik kebelakangan ini telah menekankan bagaimana sifat peperangan sedang berubah, kata Encik Wong.

Melebihi pertempuran fizikal, ruang digital kini menjadi medan persaingan yang semakin sengit, dengan Singapura sendiri menjadi “sasaran menarik” yang berdepan serangan daripada pelaku siber berniat jahat.

“Sejarah telah mengajar kita satu pengajaran pahit: tiada siapa yang akan datang menyelamatkan kita jika Singapura menghadapi krisis. Kita sendiri bertanggungjawab atas pertahanan dan kelangsungan hidup kita.

“Oleh itu, kita harus sentiasa berwaspada dan bersiap sedia bagi menghadapi pelbagai cabaran keselamatan yang lebih luas,” ujar Encik Wong.

8. Memperkukuh semangat kerakyatan Singapura

Sikap memberi, melakukan kerja sukarela dan kerja kebajikan merupakan perbuatan yang merapatkan hubungan sesama masyarakat dan membentuk asas ‘Kita Dahulu’, kata Encik Wong.

Justeru, antara lain, pemerintah akan melancarkan Dana Kerjasama SG bernilai $50 juta untuk menggalak usaha dalam masyarakat untuk membantu satu sama lain.

“Jika kita terus melabur ke atas satu sama lain – memperkukuh jalinan kita, prihatin terhadap orang di sekeliling, dan mendahulukan kebajikan bersama, kita boleh menghadapi masa depan dengan keyakinan, dan membina Singapura yang bertahan dan berkembang maju buat generasi akan datang,” katanya.

9. Perokok perlu berbelanja lebih untuk kekalkan tabiat

Rokok, cerut dan produk tembakau lain kini dijual dengan harga lebih tinggi selepas cukai tembakau dinaikkan 20 peratus mulai 12 Februari.

Langkah ini diambil untuk mengekang penggunaan produk sedemikian, kata Encik Wong.

Perokok kini perlu membayar 58.9 sen bagi setiap rokok, berbanding 49.1 sen sebelum ini, kata Menteri Kewangan (MOF).

Ini bermakna harga purata sekotak rokok 20 batang akan bertambah daripada $15.60 kepada $17.74.

Tambahan cukai ini dijangka menghasilkan sekitar $150 juta pendapatan tambahan setahun, kata MOF.

Perangkaan daripada 2022 hingga 2024 menunjukkan pendapatan tahunan daripada cukai tembakau melebihi $1 bilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg