Skim pelaburan baru bantu pencarum CPF tingkat wang simpanan
Skim pelaburan baru bantu pencarum CPF tingkat wang simpanan
PM Wong: Skim dipermudah, kos rendah, beri pencarum peluang imbangi risiko jelang usia tua
Satu skim pelaburan sukarela baru untuk pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) meningkatkan simpanan mereka akan ditawarkan, kata Perdana Menteri merangkap Menteri kewangan, Encik Lawrence Wong.
Berucap di Parlimen semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari, Encik Wong berkata skim pelaburan kos rendah itu akan membolehkan warga Singapura mengambil lebih banyak risiko ketika mereka masih muda dan mengimbanginya semula apabila umur mereka meningkat.
“Satu keperluan utama ialah bayaran dikekalkan rendah. Kami akan memilih dua atau tiga penyedia yang boleh dipercayai untuk memastikan pilihan mudah untuk pencarum.
“Pemerintah juga akan bersedia, secara prinsip, untuk menyediakan sokongan dalam masa terhad bagi memulakan skim ini,” kata Encik Wong.
Dalam satu kenyataan pada 12 Februari, Lembaga CPF berkata ia akan memperkenalkan skim pelaburan baru itu pada separuh pertama 2028.
Ini sebagai respons kepada cadangan Panel Penasihat CPF untuk Skim Pelaburan Persaraan Sepanjang Hayat (LRIS) yang diumumkan pada 2016.
Lembaga CPF juga akan melibatkan industri mulai Mac 2026 mengenai perincian produk tersebut dan mengundang mereka yang berminat untuk menawarkan produk tersebut, sebelum mengumumkan senarai penyedia khidmat pada separuh pertama 2027.
LRIS, yang dicadangkan sebelum ini, merupakan pendekatan pelaburan kitaran hayat, dengan pelaburan yang disusun mengikut usia.
Ia disasarkan untuk warga yang ingin melabur wang simpanan CPF tetapi merasakan mereka kekurangan kepakaran kewangan, masa dan sumber untuk mengurus pelaburan mereka secara aktif.
Dalam skim itu, seorang pencarum boleh mengambil lebih banyak risiko dengan pendedahan yang lebih besar kepada ekuiti apabila mereka lebih muda.
Pada usia tua kelak, pelaburan mereka akan diselaraskan secara automatik ke arah aset yang lebih selamat apabila mereka menghampiri usia persaraan.
Namun, Encik Wong berkata skim seperti itu sudah ada di dalam pasaran dan secara lazimnya mengenakan kadar bayaran yang tinggi.
Justeru, dalam memperkenalkan skim pelaburan baru itu, beliau berkata pemerintah akan membantu membentuk dan membangunkan produk sedemikian dan tidak akan menyerahkan sepenuhnya kepada pasaran.
Beliau berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Lembaga CPF sedang meneliti beberapa butiran dan akan berkongsi lebih lanjut apabila ia sudah sedia.
Setelah dilancar, pemerintah juga akan membantu pencarum memahami sama ada pilihan itu sesuai untuk mereka, khususnya, bagi mereka yang lebih muda dan mempunyai landasan yang panjang untuk bersara, tambahnya.
Selain skim pelaburan baru itu, Encik Wong juga mengumumkan beberapa langkah lain untuk memperkukuh sokongan persaraan.
Ini termasuk tokokan CPF sehingga $1,500 untuk rakyat Singapura berumur 50 tahun dan ke atas, yang tidak mencapai simpanan Jumlah Persaraan Asas (BRS).
Bagi memastikan sokongan disasarkan bagi golongan yang paling diperlukan, Encik Wong berkata warga emas yang mempunyai simpanan yang lebih rendah akan menerima tokokan lebih besar.
Tokokan akan dimasukkan ke Akaun Persaraan (RA) atau Akaun Khas (SA) CPF rakyat Singapura yang layak pada Disember 2026.
Pemerintah juga akan meneruskan kenaikan seterusnya dalam kadar caruman CPF pekerja warga emas untuk pekerja yang berumur atas 55 tahun hingga 65 tahun pada 1 Januari 2027.
Warga emas berumur atas 55 tahun hingga 60 tahun akan melihat jumlah kadar caruman CPF meningkat kepada 35.5 peratus (Majikan: 16.5 peratus; Pekerja: 19 peratus), bertambah daripada 34 peratus sekarang.
Mereka yang berumur atas 60 tahun hingga 65 tahun akan melihat jumlah kadar caruman CPF mereka meningkat kepada 26 peratus (Majikan: 13 peratus; Pekerja: 13 peratus), bertambah daripada 25 peratus sekarang.
Bagi mengurangkan kenaikan kos perniagaan akibat peningkatan ini, Encik Wong berkata pemerintah akan menyediakan majikan dengan Imbangan Peralihan CPF selama setahun, yang meliputi separuh daripada peningkatan caruman majikan untuk 2027.
“Matlamat kami adalah jelas – rakyat Singapura yang bekerja dan menyumbang kepada CPF secara konsisten sepatutnya dapat memenuhi keperluan persaraan asas mereka dengan yakin,” kata Encik Wong.

