Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

90,000 warga S’pura daftar dalam projek peta DNA untuk cegah penyakit

Aug 21, 2024 | 5:38 PM
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, di Persidangan Precise-IHCC di Hotel One Farrer pada 21 Ogos.
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, di Persidangan Precise-IHCC di Hotel One Farrer pada 21 Ogos. - Foto KONSORTIUM PENYELIDIKAN KLINIKAL DAN INOVASI SINGAPURA

Satu projek untuk memetakan genom – atau set lengkap gen – rakyat Singapura bagi menangani soal kesihatan dan penyakit dengan tepat hampir mencapai sasaran mendapatkan 100,000 peserta, dengan hampir 90,000 individu telah berdaftar di bawah fasa kedua Program Perubatan Jitu Kebangsaan.

Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary, semasa berucap di Persidangan Precise-IHCC di Hotel One Farrer pada 21 Ogos.

Tambahan lagi, Penyelidikan Kesihatan Jitu Singapura (Precise), entiti yang ditubuh bagi memacu fasa kedua program tersebut, berkata genom lebih 75,000 peserta – daripada hampir 90,000 orang yang telah berdaftar itu – telah disusun sejauh ini.

Peserta di bawah kajian itu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan memberikan sampel biologi seperti darah, air liur, najis dan air kencing, untuk membantu membangunkan pangkalan data kesihatan penduduk yang meluas.

Fasa kedua Program Perubatan Jitu Kebangsaan itu, yang berlangsung dari 2021 hingga 2025, bertujuan merekrut 100,000 rakyat Singapura yang sihat untuk memahami hasil kesihatan mereka dari masa ke masa.

Dengan adanya pangkalan data sedemikian, pakar perubatan, antara lain, akan dapat mengenal pasti punca penyakit kronik dan sesetengah jenis barah dalam populasi Asia dan membangunkan alat lebih baik untuk meramal dan mengelakkan penyakit kronik di Singapura dan populasi Asia lain.

Fasa pertama, yang bermula pada 2017 dan berakhir pada 2021, telah mewujudkan pangkalan data genom 10,000 rakyat Singapura – maklumat genomik paling terperinci di Asia Tenggara sejauh ini.

Dr Janil berkata apabila fasa kedua selesai kelak, “ia akan meletakkan kita dalam kedudukan kukuh untuk menangani soalan utama mengenai kesihatan dan penyakit dengan jitu”.

“Perubatan jitu menandakan peralihan daripada pendekatan tradisional ‘satu saiz sesuai untuk semua’ dalam mendiagnosis dan merawat. Ia menyepadukan faktor genetik, gaya hidup dan persekitaran untuk menyediakan rawatan khusus untuk pesakit.

“Jika dilakukan dengan baik, ia mempunyai potensi mempertingkat kesihatan keseluruhan penduduk melalui pencegahan penyakit dan campur tangan awal,” kata beliau.

Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, beban penyakit kronik semakin bertambah dan perbelanjaan penjagaan kesihatan semakin meningkat, Dr Janil menambah bahawa perubahan asas diperlukan dalam sistem penjagaan kesihatan untuk mempertingkat kesihatan penduduk dalam cara yang boleh dimampui dan mampan.

Beliau berkata Program Perubatan Jitu Kebangsaan sudah pun memberi manfaat, dengan para klinisian kini boleh merujuk kepada data genomik daripada populasi Asia untuk membuat perbandingan, mentafsirkan varian genetik yang membimbangkan dengan lebih yakin dan berkongsi pandangan penting tentang keadaan genetik yang lazim dalam penduduk negara.

Misalnya dalam ujian farmakogenomik (kajian tentang peranan kesemua gen di dalam genom ke atas ubat-ubatan), data daripada fasa pertama mendedahkan sekitar seorang dalam empat rakyat Singapura memiliki varian genetik yang meningkatkan risiko kesan sampingan kepada sekurang-kurangnya satu ubat.

Satu kajian tempatan pula mendapati sekitar 30 peratus reaksi buruk daripada ubat yang memerlukan pesakit dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) boleh dicegah.

Melihat jurang tersebut, Dr Janil berkata Program Perubatan Jitu Kebangsaan telah memberikan pembiayaan bagi Hospital Universiti Nasional (NUH) dan syarikat pemula Nalagenetics merintis pelaksanaan ujian farmakogenomik dalam amalan klinikal.

“Sejauh ini, hampir 400 nasihat amalan terbaik telah dikeluarkan, secara langsung mempengaruhi keputusan preskripsi doktor, dan memastikan ubat-ubatan betul diberikan kepada pesakit yang berkemungkinan besar mendapat manfaat, sementara mencegah reaksi buruk ubat pada orang lain,” kata beliau.

“Perubatan jitu menandakan peralihan daripada pendekatan tradisional ‘satu saiz sesuai untuk semua’ dalam mendiagnosis dan merawat. Ia menyepadukan faktor genetik, gaya hidup dan persekitaran untuk menyediakan rawatan khusus untuk pesakit. Jika dilakukan dengan baik, ia mempunyai potensi mempertingkat kesihatan keseluruhan penduduk melalui pencegahan penyakit dan campur tangan awal.”
Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg