Sekitar $900 juta dalam bentuk Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dijangka dibelanjakan di gerai penjaja dan kedai di kawasan perumahan jelang akhir 2024.
Setakat ini, sejak Disember 2021, skim Baucar CDC telah menggalak perbelanjaan hampir $650 juta di gerai penjaja dan kedai di kawasan perumahan.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, semasa Sidang Kemuncak Perusahaan Kawasan Perumahan Singapura yang diadakan pada 27 Jun.
Cik Low menambah bilangan penjaja dan pegerai kawasan perumahan yang mengambil bahagian dalam skim Baucar CDC itu juga telah meningkat.
Hari ini, lebih 23,000 penjaja dan pegerai kawasan perumahan mengambil bahagian dalam skim itu.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, melancarkan pengagihan baucar CDC kelima pada 25 Jun lalu.
Dalam masa kurang daripada dua hari, lebih 650,000 isi rumah – iaitu lebih 50 peratus daripada 1.31 juta isi rumah Singapura – telah menebus Baucar CDC Jun 2024 mereka.
Lebih $1.1 bilion Baucar CDC – merentasi keempat-empat pengagihan Baucar CDC – telah dibelanjakan di pusat penjaja, gerai kawasan perumahan dan pasar raya yang mengambil bahagian, kata Cik Low.
Beliau berkata saban tahun, perniagaan di kawasan perumahan telah mencapai kemajuan yang ketara dalam transformasi, terutama dalam pendigitalan.
“Hari ini, sebanyak lebih sembilan daripada 10 gerai kawasan perumahan di Singapura menawarkan sekurang-kurangnya satu penyelesaian e-pembayaran, manakala kira-kira dua pertiga menggunakan alat dan platform digital seperti Profil Perniagaan Google, Carousell dan Shopback,” ujarnya.
Pemacuan ke arah transformasi digital juga dipercepat dengan penggunaan baucar CDC secara meluas, yang ditebus secara digital, tambahnya.
“Ramai penjaja dan peniaga yang mengambil bahagian telah berkongsi dengan kami sepanjang dua tahun lalu melalui dialog dan acara yang dianjurkan bahawa Baucar CDC telah mendorong mereka ke platform digital, dan menyertai skim ini telah meningkatkan perniagaan dan jangkauan pelanggan mereka,” kata beliau pada sidang yang diadakan di Auditorium Pusat Konvensyen Hab HDB.
Namun, selain transformasi, perniagaan kawasan perumahan juga patut meningkatkan inovasi untuk terus menangani perubahan pilihan pengguna dan trend baru muncul.
Ini boleh dilakukan dengan mencipta produk dan perkhidmatan baru atau kembangkan konsep perniagaan baru, jelas Cik Low.
Untuk menggalak perusahaan kawasan perumahan menginovasi produk atau model perniagaan mereka, pemerintah telah melancarkan Program Inovasi dan Transformasi Kawasan Perumahan (HIT) pada 2023, jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg