Lebih $95 juta telah diperuntukkan pemerintah bagi menaik taraf beberapa kawasan kediaman di Singapura di bawah edisi terbaru Program Pembaharuan Kejiranan (NRP).
Sebanyak 23 projek NRP di sekitar 11 majlis bandaran telah dikenal pasti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), meliputi blok yang dibina sehingga 1995.
Sebanyak 15,600 isi rumah dijangka akan meraih manfaat di bawah edisi ke-15 NRP.
Mengumumkannya semasa acara Learning Fest@Clementi pada 1 Jun, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata blok HDB yang dipilih untuk menjalani kerja naik taraf ini termasuk di Hougang Central, Clementi Avenue dan Pasir Ris.
Kerja naik taraf bagi setiap projek disesuaikan berdasarkan maklum balas penduduk mengenai ciri-ciri yang mereka harap dapat dilihat di kawasan kejiranan mereka yang bukan hanya dapat memberi manfaat kepada penduduk, malah juga mengukuhkan semangat kemasyarakatan.
Kerja-kerja peningkatan itu “dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah” dan “dilaksanakan oleh majlis bandaran masing-masing yang akan melibatkan perunding reka bentuk dan kontraktor bangunan mereka sendiri serta memantau kemajuan projek”, menurut HDB.
Antara contoh penambahbaikan ini termasuk menyediakan sudut penduduk, ruang tempat duduk, laluan sambungan berbumbung, sudut kecergasan dengan trek joging berdekatan, serta ruang masyarakat seperti taman permainan dan taman masyarakat.
Sehingga April 2024, sebanyak 120 projek – terdiri daripada sekitar 172,000 flat – telah dinaik taraf sejak NRP diperkenalkan pada 2007.
Lebih $1.5 bilion telah diperuntukkan untuk 14 edisi NRP yang lalu.
Memandangkan peningkatan kos, HDB juga akan menyediakan majlis bandaran dengan peruntukan lebih besar untuk kumpulan projek baru serta projek yang layak dan sedang berjalan kini.
Justeru, jumlah yang diperuntukkan bagi edisi NRP terbaru ini akan dinaikkan daripada $4,700 setiap flat kepada $6,100 setiap flat, kata Encik Lee.
“Kami berharap ini menyokong majlis bandaran kami untuk menyampaikan kerja naik taraf yang bermakna di peringkat blok dan kawasan untuk penduduk,” ujar beliau.
Dengan usia masyarakat yang semakin menua, Encik Lee turut berkongsi bahawa pemerintah sedang melakukan usaha yang lebih besar dan lebih bersepadu untuk menangani keperluan warga emas di sini.
Selaras dengan program nasional Sihat Menua SG atau Age Well SG, projek masa depan di bawah NRP akan merangkumi kemudahan lebih mesra warga emas yang membolehkan golongan ini kekal aktif serta dapat menjalankan kegiatan harian mereka dengan selamat.
Ciri mesra warga emas ini termasuk taman terapeutik yang mesra kerusi roda, laluan kecergasan yang menghubungkan kemudahan serta papan tanda untuk memudahkan perjalanan warga emas.
Lebih 20 kawasan yang pernah dinaik taraf sebelum ini akan juga dilengkapi dengan ciri mesra warga emas kerana mempunyai lebih ramai penduduk berusia.
Lebih 21,000 isi rumah di Ang Mo Kio, Bukit Merah, Queenstown dan Toa Payoh dapat meraih manfaat daripada kerja peningkatan mesra warga emas ini, menurut Encik Lee lagi.
Butiran tentang projek terbaru di bawah NRP akan dikongsi dalam beberapa bulan mendatang.
“Adalah penting untuk kita terus menaik taraf bandar dan kawasan kejiranan kita, dan melakukannya dengan cara yang bertimbang rasa dan mengutamakan penduduk.
“Sebagai penduduk, anda paling mengenali kawasan kejiranan anda. Dalam beberapa bulan akan datang, pihak akar umbi dan majlis bandaran tempatan akan menghubungi anda untuk mendapatkan pandangan dan cadangan anda.
“Saya menggalakkan semua orang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam penglibatan ini dan berkongsi maklum balas mengenai peningkatan yang anda ingin lihat di kawasan kejiranan anda,” kata Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg