Membesar dalam keluarga yang serba sederhana, Leftenan Muda (2LT) Muhammad Amali Mohd Kamal, 22 tahun, tidak sangka dipilih menyertai Kursus Pegawai Kadet (OCC) selepas menjalani latihan ketenteraan asas (BMT).
“Bapa saya tidak berpendidikan tinggi dan ibu saya seorang suri rumah.
“Tidak ada sesiapa dalam keluarga saya yang pernah memasuki OCC. Saya dan abang kembar saya adalah yang pertama dalam keluarga kami,” ujar anak bongsu daripada keluarga lima beradik itu.
Pada 30 November, 2LT Amali merupakan antara 441 kadet Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang diberi pentauliahan di Perbarisan Pentauliahan di Institut Tentera Safti (Safti) dekat Jurong.
Perbarisan tersebut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam selaku Pegawai Pemeriksa.
Mengenang kembali sewaktu diterima sertai OCC, 2LT Amali akui beliau rasa kurang yakin dan telah meminta ditukarkan ke bahagian logistik semasa berkhidmat dalam OCC.
“Saya sedar mendapat tempat di OCC adalah satu penghormatan, dan saya bangga diterima tetapi saya juga bimbang.
“Saya kemudian ditempatkan di bahagian logistik, menjaga inventori dan tidak mengambil bahagian dalam latihan selama lebih kurang tiga bulan,” kata 2LT Amali yang juga mempunyai Diploma Sains Farmaseutikal dari Politeknik Republic.
Namun apabila abang kembarnya, Muhammad Jazlan, turut menyertai OCC beberapa bulan selepasnya, 2LT Amali rasa lebih bersemangat menyambung latihannya.
“Kembar saya memberi saya galakan untuk sambung latihan dalam OCC dan jangan berputus asa, dan dari situ, saya terpanggil untuk meneruskan latihan, setelah melihatnya bersungguh-sungguh dan kini sudah pun bergelar Pegawai,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Tuan Presiden menarik perhatian landskap keselamatan dunia yang mencabar dengan konflik berterusan di Ukraine dan Timur Tengah, pertikaian Laut China Selatan dan ancaman pengganasan yang terus wujud.
“Anda (lulusan OCC) menyertai perkhidmatan ini ketika ketertiban dunia berdasarkan peraturan amat tegang.
“Konflik dan ancaman keselamatan ini mengingatkan kita betapa rapuhnya keamanan dan keselamatan. Walaupun kita tidak dapat meramalkan apakah cabaran keselamatan pada masa akan datang, asasnya tetap sama.
“Penakatan Singapura serta kebebasannya untuk menetapkan masa depannya sendiri bergantung pada kestabilan SAF yang kukuh, yang menggabungkan langkah pencegahan dengan diplomasi.”
Selain memainkan peranan sebagai pasukan tentera, Tuan Presiden berkata SAF juga memainkan peranan aktif dalam masyarakat sejagat, dengan mewakili Singapura menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan keselamatan antarabangsa dengan profesional dan cemerlang.
Turut hadir di perbarisan itu ialah Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.
Perbarisan itu menandakan selesainya latihan intensif selama 38 minggu di Sekolah Pegawai Kadet (OCS).
Menurut 2LT Amali, selain disiplin, latihan OCC telah mengembangkan kemahiran kepimpinannya dan meningkatkan daya tahan dalam menghadapi cabaran.
Baginya, sebagai seorang pemimpin, penting untuk berfikiran terbuka dan bekerjasama dengan semua orang.
“Kalau dulu, saya lebih suka menangani masalah sendiri, tetapi latihan sebagai pegawai mengajar saya agar tidak malu untuk bertanya dan meminta bantuan jika perlu,” kata 2LT Amali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg