Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abdullah Tarmugi: Banyak jasa SM Lee kepada masyarakat Melayu/Islam S’pura

May 20, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri Lee Hsien Loong
Mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang kini menyandang jawatan selaku Menteri Kanan, tidak sesekali canggung semasa beramah mesra dengan masyarakat Melayu/Islam dan sentiasa memikirkan cara untuk menyokong kemajuan kaum minoriti di sini. - Foto fail

Mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, adalah pemimpin yang telah banyak berjasa kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura, dan sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian masyarakat Muslim di sini, kata mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi.

Dalam satu temu bual yang diterbitkan di laman web sosiopolitik Parti Tindakan Rakyat (PAP), Petir.sg, untuk mendapat pandangan beliau mengenai legasi Encik Lee, yang kini menyandang jawatan sebagai Menteri Kanan (SM), Encik Abdullah berkata:

“Beliau (SM Lee) terus memperkukuh dan menambah baik usaha pendahulunya, Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Chok Tong, dalam memperbaiki keadaan masyarakat.

“Kini semakin ramai orang Melayu berpendidikan tinggi. Semakin ramai dalam kalangan masyarakat Melayu yang mempunyai pekerjaan bergaji lebih tinggi, dan lebih ramai kini tinggal di rumah yang lebih baik.”

Terkini, daya usaha terbaru pemerintah yang membenarkan pekerja penjagaan kesihatan Islam memakai tudung adalah langkah yang amat dialu-alukan dan dihargai, tambah Encik Abdullah, yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Encik Abdullah yang bersara daripada politik dan pernah berkhidmat sebagai Speaker Parlimen dari 2002 hingga 2011, berkata Encik Lee sentiasa berusaha meningkatkan pencapaian masyarakat Islam.

Malah, peratusan pelajar Melayu yang meraih ijazah telah naik seganda daripada 5.5 peratus kepada 10.8 peratus sepanjang sedekad lalu.

Kini, siswazah Melayu menikmati pekerjaan dengan pendapatan menarik, termasuk dalam sektor penting seperti teknologi maklumat (IT), sains kesihatan dan sains kejuruteraan.

Pekerja penjagaan kesihatan yang berhijab – daripada doktor hingga ke jururawat dan atendan – kini menjadi satu pemandangan biasa di klinik dan wad hospital di Singapura, kata beliau.

Hargai dan lindungi rakyat Singapura yang pelbagai

Encik Abdullah adalah anggota tetap Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti (PCMR) yang berusaha menentang diskriminasi kaum, buat sekian lamanya.

Beliau juga pakar dalam bidang perbandaran dan kota.

“Singapura adalah antara negara paling berbilang budaya, etnik dan agama di dunia.

“Kepelbagaian ini adalah sesuatu yang kita hargai, terima dan raikan,” kata Encik Abdullah, yang aktif berinteraksi dan mendengar kebimbangan penduduk di kawasan undi Siglap selama lebih suku abad dari 1984 hingga 2011.

“Tetapi ia mempunyai tuntutan dan masalah tersendiri. Sekarang dan dulu, negara kota yang (pencapaiannya) sukar dipercayai ini sering, tanpa diingini, terjejas atau terlibat dalam konflik agama atau etnik di rantau ini, malah di tempat yang lebih jauh dari negara kita.”

Sehinggakan Encik Lee secara tekal menjadikan keharmonian kaum sebagai isu utama dalam pentadbirannya, tambah Encik Abdullah.

Malah dalam ucaptama terakhirnya sebagai Perdana Menteri Singapura, Encik Lee menggesa rakyat Singapura daripada setiap kaum dan etnik supaya mengingati bahawa “walau apa pun perbezaan kita, kita pertama sekali adalah rakyat Singapura”.

“Mereka yang mentadbir Singapura sentiasa mengambil berat tentang perlunya mengekalkan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

“Encik Lee memastikan bahawa dasar dan institusi kita tidak membenarkan sebarang diskriminasi terhadap masyarakat minoriti atau mana-mana agama di Singapura,” tambah Encik Abdullah.

Contohnya, Encik Lee mengambil keputusan muktamad untuk membenarkan pekerja penjagaan kesihatan memakai tudung, dan kini memperkenalkan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum yang baru bagi memupuk fahaman sederhana dan sikap toleransi dalam kalangan rakyat Singapura.

“Dasar dan institusi pemerintah kita juga berusaha mengekalkan dan meluaskan ruang bersama untuk memastikan tiada sesiapa yang berasa terpinggir disebabkan bangsa, agama atau budayanya,” kata Encik Abdullah.

Keyakinan dan kecekapan

Menjawab soalan mengenai pengalaman beliau bekerja dengan Encik Lee, Encik Abdullah berkata:

“Encik Lee adalah ketua yang mengharapkan yang terbaik daripada anda, seperti pemimpin baik yang lain.

“Pada masa sama, beliau bukan seseorang yang tiada rasa empati atau timbang rasa terhadap apa jua kekurangan atau kesukaran yang anda hadapi, dan bersedia memberi nasihat atau alternatif yang boleh memperbaiki hasil kerja, walaupun (ia mungkin disampaikan) secara tegas,” ujar Encik Abdullah.

“Saya menyifatkan Encik Lee dengan kata-kata berikut: Seorang pemimpin yang ada bakat semula jadi, dari segi penampilan, naluri dan kebolehannya.

“Beliau bijak, petah berkata-kata dalam bahasa Inggeris, Cina dan Melayu, dan yakin ketika berucap dan berinteraksi dengan pemimpin dunia dalam setiap keadaan politik (yang berbeza). Encik Lee kelihatan yakin dan cekap di mana-mana,” tambah beliau.

Walaupun begitu, apabila beliau berinteraksi dengan penduduk lelaki atau wanita dalam masyarakat, contohnya di GRC Ang Mo Kio, Encik Lee adalah seorang yang menikmati setiap detik bersama mereka, tidak kira latar belakang mereka.

“Beliau juga bersikap lemah lembut apabila berinteraksi dengan rakyat Singapura, terutama dengan penduduk dan anggota akar umbinya.

“Dalam acara sedemikian, Encik Lee adalah seorang Anggota Parlimen (AP) yang mudah tersenyum (malah kadangkala suka bergurau) dan sering gelak ketawa,” tambah Encik Abdullah.

Walaupun Encik Lee melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa beliau akan kekal dalam pemerintah dan terus berkhidmat sebagai AP bagi GRC Ang Mo Kio, serta membantu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan pasukannya mencapai kejayaan lebih baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg