Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abdullah Tarmugi pengerusi Lembaga Pengelola SCIS

Nov 13, 2024 | 7:30 PM
Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS). - Foto fail

Mantan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi, telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengelola (BOG) Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Beliau, yang merupakan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, akan memimpin lembaga itu untuk meneliti perihal gaji, kos, yuran dan urusan pentadbiran lain yang diperlukan dalam mengendalikan sebuah kolej.

Mengumumkan demikian dalam wawancara bersama media pada 13 November, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata lembaga itu akan turut mempunyai anggota yang dapat menyumbang kepakaran dalam bidang seperti undang-undang, audit dan kewangan.

“Kami gembira Encik Abdullah Tarmugi telah setuju untuk mempengerusikan lembaga ini bagi penggal pertama selama tiga tahun. Kami berharap selepas tempoh itu, kami akan ada prosedur dan peraturan yang mantap yang akan mentadbir pengendalian universiti ini,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya pada 13 November berkata BOG akan mengemudi SCIS ke arah misi dan visinya, mengekalkan kewibawaannya, memastikan pematuhan dan memastikan kemampanannya dalam menggapai matlamat penyelidikan dan pendidikan kolej itu.

Encik Abdullah berkata beliau amat berbesar hati dapat membantu mengukuhkan pendidikan Islam di Singapura.

“Bersama BOG kami dan bimbingan bernas mereka tentang tadbir urus dan standard akademik, kami akan meneruskan kecemerlangan pendidikan pengajian Islam Singapura.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan BOG dan pasukan SCIS yang berdedikasi untuk mewujudkan perjalanan pembelajaran yang diperkaya untuk asatizah kita. Visi bersama kita adalah untuk memupuk kecendekiawanan agama yang seiring dengan cabaran kontemporari, mengukuhkan daya tahan keagamaan masyarakat kita dan menyumbang secara bermakna kepada masa depan kepimpinan agama serta kehidupan sosioagama umat Islam yang bertenaga di Singapura,” katanya.

Encik Masagos sendiri akan mempengerusikan Panel Penasihat SCIS, yang akan bersidang buat kali pertama pada 2026.

Panel itu akan mempunyai sembilan anggota lain yang termasuk pemimpin dari institusi tempatan dan antarabangsa.

Ini termasuk Universiti Jordan, Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi, Universiti Al-Azhar di Mesir dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Menurut Muis, panel itu akan memberi tumpuan kepada memberi pandangan tentang peluang penyelidikan antarabangsa dan pembangunan pendidikan yang sejajar dengan keperluan SCIS dan masyarakat Islam Singapura.

“Panel itu akan bersidang satu atau dua kali setahun untuk kami mendengar perkongsian mereka tentang pembangunan dalam Dunia Islam dan ilmu Islam yang perlu disertakan sedang kami menyemak kurikulum dalam tahun-tahun akan datang.

“Pada masa sama, kami dapat meraih manfaat daripada bimbingan dan pengetahuan mereka dalam penerapan pengajian agama dalam fatwa kita di Singapura. Kedatangan mereka juga akan memberi manfaat kepada pemimpin agama kita kerana mereka dapat menyampaikan pengetahuan luas dan pengalaman mendalam mereka dalam kerja yang mereka lakukan,” kata Encik Masagos.

SCIS, yang akan menerima kumpulan pertama 60 pelajar pada 2028, juga mempunyai Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Jawatankuasa itu terdiri daripada wakil dari institusi tempatan dan individu yang akan memantau proses perancangan dan melakar pembangunan masa depan SCIS, kata Muis dalam kenyataannya sebelum ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg