Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kolej Islam S’pura dibuka pada 2028 di Bencoolen, terima 60 pelajar

Kolej jalankan program sarjana muda pengajian Islam serta sains kemasyarakatan
Nov 11, 2024 | 7:30 PM
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkongsi tentang Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bersama asatizah di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 11 November.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkongsi tentang Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bersama asatizah di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 11 November. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan menerima kumpulan 60 pelajar pertamanya pada 2028, bagi melanjutkan pengajian sepenuh masa dalam program sarjana muda dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan.

Berkongsi demikian dalam satu wawancara bersama media pada 11 November, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata pelajar kolej itu akan mengikuti kuliah dan kelas di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Bencoolen Street, dekat Masjid Bencoolen.

Mufti mengetuai Jawatankuasa Pemandu kolej itu.

Kampus lima tingkat itu dilengkapi kemudahan seperti dewan kuliah, bilik seminar dan perpustakaan. Jumlah pelajar yang disasarkan itu adalah separuh daripada purata 120 lulusan madrasah tempatan yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara setiap tahun.

Kolej itu akan menjadi alternatif bagi pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran agama peringkat pengajian tinggi tanpa perlu ke luar negara seperti Malaysia, Jordan atau Mesir.

Pelajarnya perlu memenuhi kriteria tertentu, seperti keupayaan memahami bahasa Arab dan mempunyai pemahaman asas pengajian Islam.

Ini bermakna kolej itu mengutamakan lulusan madrasah tempatan tetapi tidak mustahil bagi pelajar lain yang memenuhi kriteria kemasukan mengikuti programnya.

“Sedang kami bersiap sedia bagi penubuhan kolej ini, ada banyak perkara perlu kami bentang asasnya. (Ini termasuk) membangunkan anggota fakulti, terutama dalam kalangan asatizah tempatan kita yang layak.

“Kami perlu meneliti pendanaan dan juga mempersiapkan pelajar bagi kemasukan ke program ini. Pada masa sama, kami sedar kami tidak boleh mengambil masa yang terlalu lama kerana ada keperluan semasa untuk membolehkan pelajar kita menuntut di kolej ini,” kata Dr Nazirudin.

Beliau berkongsi butiran mengenai kolej yang diusulkan pada 2016 itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, tentang program yang bakal ditawarkan di SCIS dalam ucapannya di Forum M Kuasa Tiga (M³) pada 10 November.

Kolej itu bertujuan membangunkan asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks kepada masyarakat Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.

Ia akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya. Ini termasuk Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi pengajian sains kemasyarakatan, dan institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi pengajian Islam.

Mengenai dua jurusan itu, Dr Nazirudin berkata ia bertujuan melengkapkan asatizah masa kini dan akan datang dengan kemahiran dalam pelbagai bidang sedang isu yang dihadapi melibatkan pelbagai dimensi – bukan hukum sahaja, bahkan hukum yang berkait dengan situasi dalam masyarakat atau keadaan individu.

“Ini bermakna beberapa aspek menjadi kritikal dalam pembentukan seseorang guru agama dan asatizah pada masa akan datang.

“Pertama, kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang tradisi Islam seperti mata pelajaran fikah, syariah, akidah dan sebagainya dan pada masa sama, kemahiran dalam aspek sains kemasyarakatan.

“Oleh itu, kami rasa sangat penting dan kritikal untuk memberi pendidikan Islam bersifat lebih menyeluruh bagi asatizah, yang membolehkan mereka mempelajari tradisi Islam dan pada masa sama terdedah kepada disiplin yang berkait atau di bawah sains kemasyarakatan,” katanya.

Dua laluan itu juga bertujuan memberi pilihan kepada asatizah, yang hari ini memberi sumbangan dalam pelbagai bidang – sektor keagamaan mahupun sektor yang berkaitan, seperti kerja sosial atau kaunseling.

“Kita melihat asatizah kita sekarang ada sebahagian mereka menceburi bidang di luar lingkungan pendidikan agama sahaja. Sebahagian mereka bertugas dalam kerja sosial, memberi kaunseling dan nasihat kepada individu dan keluarga dan sebagainya.

“Kami menghargai keinginan dan kemahuan mereka menceburi bidang-bidang berkaitan dan dalam peranan mereka sebagai asatizah yang diiktiraf yang dapat memberi sumbangan dalam bidang-bidang sedemikian adalah sesuatu yang perlu kita raikan.

“Oleh yang demikian, kolej ini bertujuan memberi pilihan-pilihan tersebut bagi asatizah.

“Walaupun mereka mungkin tidak memilih untuk mengambil pengkhususan dalam sains kemasyarakatan, sekurang-kurangnya sebagai asatizah yang mengajar dan mendidik masyarakat, mereka sangat memahami aspek kemasyarakatan, sebagai contoh.

“Dan jika mereka terlibat dalam pengeluaran fatwa, mereka lebih bersedia berbincang dengan mepertimbangkan aspek penting dalam perbincangan dan perbahasan fatwa,” tambah Dr Nazirudin.

Selepas pengajian selama empat tahun, lulusan program itu akan menerima ijazah yang dianugerahkan oleh SCIS.

Lulusan SCIS tidak perlu mengikuti program Sjil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), yang dijalankan Muis bagi pelajar Singapura yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara untuk mereka memahami prinsip Islam dalam konteks Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg