Penuntut program sarjana muda yang ditawarkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan dapat meraih manfaat daripada kurikulum yang menggabungkan sains kemasyarakatan dengan pengajian Islam.
Mereka juga berpeluang mencedok ilmu, kepakaran dan pengalaman tenaga pengajar yang terdiri daripada asatizah setempat yang disokong cendekiawan luar negara yang membawa sudut pandangan mereka kepada kurikulum dan pengajaran.
Berkongsi butiran tentang program dengan dua laluan dalam jurusan pengajian Islam atau sains kemasyarakatan yang akan ditawarkan kolej itu mulai 2028, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata semua pelajar SCIS akan dilatih dalam pengajian Islam.
Tahun-tahun asas akan terdiri daripada latihan dalam pengajian Islam yang mantap dan menyeluruh.
Kemudian pelajar boleh memilih untuk terus pengkhususan dalam pengajian Islam dan pelbagai disiplin yang diminati mereka, atau memilih laluan sains kemasyarakatan.
“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk menawarkan laluan sains kemasyarakatan. Akan ada modul yang bakal diambil daripada rakan kongsi kami, tapi pada masa sama - dan inilah perbezaan kolej kami - apabila kami bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk rakan kongsi antarabangsa, kami mahu menggabungkan sains kemasyarakatan dengan pengajian Islam,” kata Dr Nazirudin yang akan ketuai Jawatankuasa Pemandu SCIS.
“Jadi mereka yang tidak jalani pengkhususan dalam laluan sains kemasyarakatan pun, apabila mereka melihat masalah, isu dan cabaran dalam masyarakat, mereka dapat sesuaikannya dengan selesa antara sudut pandangan sains kemasyarakatan dan tradisi Islam,” tambahnya.
Kemahiran atau keupayaan itu telah terbukti penting dalam perbincangan isu fatwa yang berkait dengan banyak cabaran masa kini dan akan datang, yang mana kesan ke atas masyarakat, dalam jangka pendek dan panjang, amat bergantung kepada cara bimbingan dan huraian yang diberikan, kata Dr Nazirudin.
“Kami mahu semua lulusan kami mempunyai (keupayaan) itu,” katanya.
SCIS, yang akan menerima kumpulan pertama seramai 60 orang itu, bertujuan membangunkan asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran memberi bimbingan agama mengikut konteks kepada masyarakat Islam yang hidup dalam masyarakat pelbagai seperti Singapura.
Ketika mengumumkan tentang program yang bakal ditawarkan SCIS pada 10 November, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata kolej itu akan bekerjasama dengan institusi tempatan dan antarabangsa yang mapan untuk menyampaikan programnya.
Ini termasuk Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi laluan sains kemasyarakatan, dan institusi Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan, dan Universiti Al-Qarawiyyin di Maghribi bagi laluan pengajian Islam.
Dalam ucapannya di Forum M Kuasa Tiga (M³) itu, Encik Wong berkata pemimpin institusi-institusi tersebut, dan universiti lain seperti Al-Azhar di Mesir, akan menganggotai Panel Penasihat SCIS dan menyumbang perspektif berharga mengenai isu-isu kontemporari yang memberi kesan kepada masyarakat minoriti Islam.
Dr Nazirudin berkata dalam memilih rakan kongsi bagi SCIS, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah meneliti institusi dan cendekiawan yang berkongsi keprihatinan dan pendekatan yang sama dalam menangani isu moden dan kontemporari.
“Walaupun mereka berpangkalan dalam sekitaran dan konteks berbeza, mereka berkongsi banyak visi penerapan Islam dalam cara yang unik kepada konteks masyarakat tertentu. Mereka biasa dengan masyarakat kita di Singapura dan masyarakat berbilang agama kita juga. Dan mereka memberi pengesahan dan sokongan terhadap pendekatan yang Singapura telah ambil,” kata Dr Nazirudin.
“Terdapat cendekiawan yang memimpin beberapa institusi ini dan berkongsi visi ini. Oleh itu, kami fikir, akan ada banyak peluang yang baik untuk melibatkan mereka sebagai sebahagian daripada fakulti pengajaran juga, untuk membawa perspektif mereka kepada kurikulum dan dalam pengajaran pelajar kami, dan juga menambah kepakaran dan perspektif antarabangsa yang kaya yang pastinya akan menambah nilai kepada pengalaman pelajar kita di Singapura,” tambahnya.
Dr Nazirudin tidak memberi nisbah tenaga pengajar setempat dan dari luar negara yang akan membimbing penuntut di SCIS, tetapi menyatakan keinginan bagi fakulti dan asatizah setempat menjadi teras dan mengajar kebanyakan modul.
Ini kerana Singapura mempunyai ramai asatizah yang, dengan pengalaman, kepakaran atau ilmu yang ditimba, berkebolehan mengajar penuntut SCIS disebabkan pendekatan gunaan kolej itu.
“Ia bukan hanya mengenai teori atau konsep. Ia mengenai bagaimana menyatukan semuanya daripada segi menawarkan huraian dan bimbingan yang berkesan untuk masyarakat kita. Kami percaya kami mempunyai kumpulan asatizah yang terlatih dan dapat berkhidmat dalam peranan ini, sambil pada masa sama memanfaatkan kepakaran dan pengetahuan rakan kongsi antarabangsa dan cendekiawan luar negara,” katanya.
Dr Nazirudin akur dalam memilih institusi pengajian untuk melanjutkan pelajaran, pelajar akan mempertimbangkan reputasi dan kredibiliti institusi itu.
Tetapi pelajar juga melihat pelbagai perkara lain apabila membuat keputusan, dan salah satu kriteria yang dipertimbangkan ialah kesediaan untuk berkhidmat dalam konteks Singapura, dan ini merujuk kepada kemahiran dan keupayaan termasuk dalam penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Satu lagi perkara yang dipertimbangkan ialah daripada segi daya kerja dan peluang pekerjaan yang ada bagi lulusan institusi luar negara dan SCIS.
“Sedang institusi asing, yang telah wujud selama lebih 1,000 tahun dengan reputasi yang luar biasa, sudah tentu dalam pelbagai cara, kekal sangat menarik, tetapi saya fikir kami juga mempunyai kelebihan untuk lulusan kami sambil membolehkan mereka meraih manfaat daripada institusi asing ini melalui kerjasama kami dengan mereka. Jadi dalam erti kata lain, mutu pendidikan di kolej Islam di peringkat pengajian tinggi adalah amat penting, dan cara kita boleh mengukuhkan mutu adalah dengan membawa yang terbaik daripada institusi yang berbeza,” kata Dr Nazirudin.
“Jadi jika anda pergi ke satu universiti, anda hanya akan mendapat apa yang ditawarkan oleh universiti itu kepada anda. Tetapi jika anda pergi ke institusi yang bekerjasama dengan pelbagai institusi bereputasi di seluruh dunia, maka anda akan mendapat yang terbaik daripada setiap satu. Ini disatukan dalam program kami yang akhirnya akan membantu penuntut berkhidmat dalam konteks kita dengan baik, sambil memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan institusi lain dan cendekiawan dari luar negara ini. Saya rasa ini akan menjadi sesuatu yang akan diharapkan dan sangat dihargai oleh pelajar kami,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg