Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara basikal WGS galak masyarakat perkukuh hubungan

May 25, 2025 | 7:44 PM
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada penunggang basikal yang mengambil bahagian dalam acara berbasikal masyarakat, Cyclation 2025: Jom Berbasikal! anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) dengan kerjasama kumpulan berbasikal tempatan, Temasek Goat Riders.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) memberikan kata-kata semangat kepada penunggang basikal yang mengambil bahagian dalam acara berbasikal masyarakat, Cyclation 2025: Jom Berbasikal! anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) dengan kerjasama kumpulan berbasikal tempatan, Temasek Goat Riders. - Foto BH oleh SHIQIN RAMADAN

Sedang Singapura mengharungi masa yang mencabar di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan, masyarakat perlu kekal bersatu supaya dapat mengatasinya bersama, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau berkata demikian kepada media semasa menghadiri acara berbasikal masyarakat pertama Wisma Geylang Serai (WGS), ‘Cyclation 2025: Jom Berbasikal!’, pada 25 Mei.

Dr Faishal berkata inisiatif seperti acara berbasikal masyarakat itu bertujuan untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai segmen bersama supaya mereka dapat saling mengenali dan memupuk hubungan yang lebih erat antara satu sama lain.

Inisiatif di bawah usaha ‘SG60 Bersama’ itu juga merupakan sebahagian daripada rancangan WGS untuk mendekati masyarakat sepanjang tahun.

Menarik perhatian bagaimana Singapura berupaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 60 tahun hasil usaha rakyat bersama, Dr Faishal berkata:

“Dengan kestabilan politik dan sosial di Singapura, ia memberi ruang kepada kami untuk membuat perancangan demi kemaslahatan masyarakat, serta untuk melayari perubahan dalam landskap kehidupan.

“Sempena ‘SG60 Bersama’, kami ingin mendekati pelbagai segmen masyarakat dan meluaskan pendekatan tersebut supaya kita rasa bersyukur hidup bersama di Singapura.”

Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) berkata beliau akan terus memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam melalui pendekatan yang baru dan penglibatan yang lebih meluas.

“Ia penting kerana kami berada dalam era pembangunan yang sangat mencabar dan lebih-lebih lagi dengan kepelbagaian yang ada di negara ini dan dunia.

“Kami ingin melihat bagaimana untuk terus membentuk masyarakat Melayu/Islam gemilang yang merasakan mereka juga mempunyai kepentingan dan peranan dalam pembangunan masyarakat kita,” ujarnya.

Bermula di Anjung di WGS, seramai 90 penunggang basikal telah berkayuh sepanjang 15 kilometer melalui Rangkaian Penghubung Taman (PCN) Marine Parade dan East Coast Park.

Antara mereka yang ikut serta ialah pentadbir kanan Temasek Goat Riders, Encik Mohammad Faisal Hassan.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), beliau berkata acara berbasikal ini merupakan salah satu cara untuk mendekati masyarakat.

Meskipun berpengalaman menganjur acara berbasikal secara kecil-kecilan, kerjasama dengan WGS merupakan satu pengalaman baru di skala lebih besar bagi kumpulan yang ditubuhkan pada 2017 itu.

“Mungkin kerana kami aktif di media sosial, kami mendapat perhatian WGS dan kami mulakan perancangan sejak Januari lagi bagi acara ini.

“Bukan mudah rancang kerana kami perlu pastikan keselamatan semua penunggang basikal, sambil mematuhi peraturan,” kata Encik Faisal, 48 tahun, yang bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat minyak dan gas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg