Kepimpinan di bawah Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam telah menyaksikan masyarakat Islam Singapura kekal yakin, berpandangan ke hadapan dan dapat bersepadu dengan baik dalam masyarakat berbilang agama, sementara institusi agama pula telah diperkukuh, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Dalam kenyataannya kepada Berita Harian pada 23 Mei, Muis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Masagos, sambil turut mengalu-alukan pelantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam pengumuman barisan Kabinet baru pada 21 Mei, telah menyatakan bahawa Encik Masagos akan melepaskan portfolionya selaku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan digantikan oleh Dr Faishal selaku Pemangku Menteri.
Encik Masagos akan kekal sebagai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
“Muis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Masagos Zulkifli atas khidmat berdedikasinya, bimbingan dan sumbangan yang tidak ternilai selama bertahun-tahun, kepada pembangunan masyarakat Islam Singapura,” kata Muis.
Ia berkata sokongan Encik Masagos adalah penting dalam beberapa inisiatif utama yang telah ditubuhkan untuk memperkukuh masyarakat Islam.
Ini termasuk dalam meneruskan rancangan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dalam usaha mempertingkat pendidikan Islam dan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) demi memastikan pendanaan yang mampan untuk pendidikan agama dan pembangunan masyarakat.
Di bawah kepimpinan Encik Masagos, Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) dan Program Masyarakat Gemilang (COSP) turut diperkenal untuk memupuk dialog dan kerjasama dalam kalangan masyarakat minoriti Islam di peringkat sejagat.
Sektor masjid turut diperkukuh, dengan pengumuman pembinaan dua masjid baru di Tampines North dan Tengah.
Di samping itu, Muis menambah bahawa pembentukan rangkaian M Kuasa Tiga (M³) telah menyelaraskan usaha mereka dengan Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) untuk mempertingkatkan masyarakat ke arah mencapai visi sebuah Masyarakat Gemilang.
Dalam pada itu, Muis menambah bahawa Dr Faishal juga telah lama terlibat dengan Muis dan masyarakat Islam dan telah menerajui beberapa program sokongan keluarga yang penting.
Ini termasuk program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) yang menyediakan bantuan agama dan sosial untuk pesalah dan keluarga mereka, selain Bersamamu, sebuah inisiatif oleh kadi dan naib kadi untuk menyokong pasangan daripada sebelum mereka mendirikan rumah tangga sehingga dua tahun pertama perkahwinan mereka.
“Pemahaman mendalam beliau tentang keperluan masyarakat akan terus membimbing pengukuhan program tersebut sambil membangunkan pendekatan baru untuk berkhidmat kepada masyarakat,” kata Muis.
Dengan perubahan kepimpinan itu, Muis berkata tumpuan mereka tidak berubah, iaitu untuk mempertingkat kehidupan beragama, menyokong pembangunan masyarakat dan membina daya tahan.
“Kami berharap dapat bekerja rapat dengan pasukan kepimpinan untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg