Meskipun dengan ‘hilangnya’ dua menteri yang cukup berpengalaman – persaraan Dr Mohamad Maliki Osman dan pelepasan jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam oleh Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad – pengumuman Kabinet dan pemegang jawatan politik (POH) baru telah mengukuhkan barisan pelapis kepimpinan politik Melayu/Islam.
Sehubungan itu, tiga POH – Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Dr Syed Harun Alhabsyi yang baru dilantik, dan Anggota Parlimen (AP) penggal ketiga, Cik Rahayu Mahzam – akan membentuk nadi kepimpinan Melayu/Islam masa depan.
Perancangan penggantian kepimpinan yang tersusun itu, yang turut dicerminkan dalam keseluruhan Kabinet, adalah petanda baik bagi kesinambungan dan kestabilan, kata pengamat politik, Profesor Madya Walid Jumblatt Abdullah; dan peguam, Encik Ahmad Nizam Abbas.
Dr Walid merupakan Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), sementara Encik Nizam pula Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC.
Mereka berkongsi pandangan tersebut dalam podcast berita dan hal ehwal semasa Berita Harian, NoTapis BHerbual, baru-baru ini susulan pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Encik Ahmad Nizam berkata keputusan untuk memberi Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad, jawatan sebagai Pengerusi Mendaki, sementara Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dilantik Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menunjukkan adanya kesinambungan serta kestabilan.
Encik Zaqy sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi Mendaki.
Kebiasaannya, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam juga merupakan Pengerusi Mendaki.
“Ini semacam satu kerjasama... Dr Faishal sebagai menteri keseluruhan tetapi Encik Zaqy teruskan tugas beliau dengan Mendaki.
“Saya rasa ia boleh berjaya. Bahkan, perkongsian tugas ini, bagi saya, adalah penting kerana semua orang memainkan peranan yang besar, dan bukan semuanya diletakkan ke atas bahu satu orang sahaja,” kata Encik Nizam.
Menyifatkan perkara itu sebagai “perkembangan yang sihat”, Dr Walid berkata:
“Sebelum ini, semua perkara dalam masyarakat Melayu, berlaku melalui satu orang. Sebenarnya (perubahan) ini adalah perkembangan yang sihat kalau ada pembahagian tugas, dan saya rasa kita perlu sambut baik.”
Menyentuh mengenai tiga POH Melayu/Islam – Encik Zhulkarnain, Dr Syed Harun dan Cik Rahayu – Dr Walid dan Encik Nizam berkata mereka semua mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat.
“Cik Rahayu, kita dah kenal beliau... Encik Zhulkarnain dahulu merupakan Pengerusi AMP, jadi beliau memang dah biasa dengan masyarakat... Dr Harun semua kenal beliau sebagai Presiden LBKM (Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud).
“Rangkaian mereka dengan masyarakat Melayu adalah sangat kuat, jadi kita patut manfaatkan itu dengan sebaik mungkin,” ujar Encik Nizam.
Dr Walid pula menambah ketiga-tiga individu tersebut “datang dari akar umbi Melayu”.
“Saya rasa ini perkara yang sangat penting. Ia merupakan kekuatan dan aset yang patut dimanfaatkan,” kata beliau.
Sementara itu, beliau menyatakan meskipun dengan berundurnya Encik Masagos daripada jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam serta persaraan seorang lagi tokoh pemimpin Melayu – Dr Maliki – daripada politik, kepimpinan Melayu/Islam barisan kedua kini kekal utuh.
“Kalau kita lihat sekarang, memang sudah ada ciri-ciri... Encik Zhulkarnain, Dr (Syed) Harun, Cik Rahayu... mereka masih berpotensi menjadi menteri, mungkin Encik Zaqy juga, kita tak tahu apa yang bakal berlaku dalam tempoh empat tahun mendatang.
“Tapi saya rasa kepimpinan tahap kedua dalam masyarakat Islam agak kuat berbanding dahulu.
“Bagi Encik Wong, bukan sahaja bagi jawatan berkaitan Melayu, bahkan seluruh Kabinet, saya fikir beliau sudah memikirkan tentang 5G (kepimpinan generasi kelima), dan ini perkara yang baik.
“Kalau kita lihat AP baru yang menjadi POH, mereka agak rencam dan sangat bertauliah,” ujar Dr Walid.
Sedang Dr Syed Harun baru menyertai politik dalam Pilhan Raya Umum 2025 (GE2025), Cik Rahayu merupakan AP dari kohort 2015, Encik Zhulkarnain pula 2020 dan Encik Zaqy pula menyertai politik pada 2006.
Dr Walid bagaimanapun melahirkan harapan akan ada sekurang-kurangnya dua menteri penuh Melayu dalam masa terdekat.
Buat masa ini terdapat seorang sahaja menteri Melayu iaitu Encik Masagos yang memegang jawatan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Dr Faishal pula memegang jawatan selaku Pemangku Menteri bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Ini seakan satu langkah ke belakang kerana sebelum ini kita ada dua menteri Melayu.
“Saya harap dalam satu atau dua tahun ini kita akan lihat sekurang-kurangnya dua menteri dan saya rasa juga mungkin sudah masanya bagi menteri-menteri Melayu/Islam mendapat kementerian yang... lebih penting.
“Ini akan merupakan tahap selanjutnya dalam evolusi masyarakat kita. Ia bukan tentang ‘token’ Melayu dapat jawatan itu, tetapi ia merupakan ‘signal’ juga.
“Kita pun tak mahu orang diletakkan dalam jawatan tersebut semata-mata untuk mengisi ruang, tetapi kita mahukan individu-individu yang berkaliber dan saya rasa kita sudah ada individu sedemikian,” jelas Dr Walid.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg