Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masagos: Kepercayaan antara rakyat perisai S’pura lawan radikalisasi

Tanggungjawab bersama masyarakat tangani radikalisasi kerana ia tidak terhad pada satu agama, bangsa
Oct 27, 2024 | 4:04 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (baris depan, lima dari kanan), bersama sekitar 1,000 penduduk berhimpun di lelapang antara Blok 826 dan Blok 828 Tampines Street 81 pada 27 Oktober untuk memupuk keharmonian agama serta rasa hormat dalam masyarakat. Lokasi itu adalah tempat seorang remaja yang ditahan ISD merancang melakukan serangan pengganasan.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (baris depan, lima dari kanan), bersama sekitar 1,000 penduduk berhimpun di lelapang antara Blok 826 dan Blok 828 Tampines Street 81 pada 27 Oktober untuk memupuk keharmonian agama serta rasa hormat dalam masyarakat. Lokasi itu adalah tempat seorang remaja yang ditahan ISD merancang melakukan serangan pengganasan. - Foto ST

Kepercayaan antara rakyat adalah perisai Singapura terhadap ancaman radikalisasi, yang boleh memecahbelahkan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Merujuk kepada kes remaja yang ditahan baru-baru ini kerana merancang menyerang orang bukan Islam di Tampines, Encik Masagos berkata ancaman radikalisasi tidak terhad kepada satu agama atau bangsa sahaja.

Oleh itu, adalah tanggungjawab kolektif masyarakat Singapura untuk menanganinya.

Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, berkata demikian semasa berucap di acara ‘Tampines Unite Gathering’ (Pertemuan Tampines Bersatu) di Tampines pada 27 Oktober.

Acara di lelapang antara Blok 826 dan Blok 828 Tampines Street 81 itu menghimpunkan sekitar 1,000 penduduk, termasuk wakil daripada pelbagai pertubuhan keagamaan dan akar umbi, untuk memupuk keharmonian agama serta rasa hormat dalam masyarakat.

Lokasi perhimpunan tersebut ialah tempat remaja berusia 17 tahun itu merancang melakukan serangannya.

Remaja itu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Ogos 2024, hanya beberapa minggu sebelum serangan yang dirancangnya pada September.

Kes tersebut melibatkan seorang belia Muslim, tetapi ada juga kes sebelum ini yang melibatkan individu daripada kepercayaan lain, yang merancang menyerang masyarakat lain.

Pada 2020, seorang belia Kristian merancang menyerang orang Islam di dua masjid di sini, dan ditahan sebelum dia boleh melaksanakan serangan itu.

“Isu ini bukan terkait pada mana-mana kaum, bahasa, atau agama, tetapi bagaimana sesetengah individu telah diyakinkan dengan fahaman pelampau melalui media yang mereka gunakan, dan menjadi radikal sendiri,” ujar Encik Masagos, yang juga Menteri Kedua Kesihatan.

“Kita harus ingat bahawa pandangan segelintir yang telah dipengaruhi oleh ideologi ekstremis tidak mewakili pandangan kaum atau agama tersebut,” ujarnya.

Justeru adalah penting Singapura mengekalkan dan mengukuhkan kepercayaan terhadap satu sama lain, kata Encik Masagos lagi.

Beliau menekankan bahawa saling mempercayai adalah kunci untuk melawan dan mencegah pemikiran dan pemahaman radikalisme yang boleh memecahbelahkan sebuah masyarakat dan negara.

“Apabila kepercayaan dipupuk, ia mewujudkan perisai bagi masyarakat daripada kuasa yang cuba memecahbelahkan kita. Apabila kita memahami dan mempercayai masyarakat kita, kita menyedari bahawa pelampau sedemikian hanya ingin menyebabkan kemudaratan kepada orang lain,” kata Encik Masagos.

“Kepercayaan ini membolehkan kita berganding bahu sebagai satu masyarakat, tanpa mengira latar belakang kita, walaupun selepas kejadian sebegitu. Ia membantu kita kekal tabah menghadapi kesukaran,” tambahnya.

Dalam ucapannya, Encik Masagos menggalak penduduk mengenali satu sama lain dan menyertai kegiatan masyarakat.

Beliau juga mengingatkan agar jangan mudah terpedaya dan mempercayai kandungan media sosial yang menghasut kebencian terhadap agama dan masyarakat lain.

Encik Masagos turut menggesa masyarakat supaya sentiasa peka akan tanda-tanda seseorang di sekeliling mereka – seperti anggota keluarga dan rakan sendiri – yang mungkin menjadi radikal, dan menghubungi talian ISD jika mereka mengesyaki seseorang telah menjadi radikal.

“Di Singapura, saya percaya bahawa kita telah membina budaya saling mempercayai yang kukuh dalam dan antara komuniti yang berbeza. Kepercayaan ini memastikan kita selamat di Singapura, dan di Tampines,” ujar Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen GRC Tampines.

Acara tersebut menandakan kali pertama wakil daripada pertubuhan agama seperti Buddha, Kristian, Islam dan Tao berkumpul dan berdoa bagi kesejahteraan dan keamanan penduduk Tampines.

Turut hadir ialah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, Encik Desmond Choo; Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, yang kedua-duanya juga AP GRC Tampines; dan penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi GRC Tampines, Dr Charlene Chen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg