Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara jalan kaki sasar kumpul $500,000 bantu golongan terpinggir

May 20, 2025 | 6:33 PM
 Ray of Hope, Dr Alicia Altorfer-Ong
Pengarah eksekutif pertubuhan kebajikan Ray of Hope, Dr Alicia Altorfer-Ong, di majlis pelancaran program ‘Walk for Hope’ pada 20 Mei, yang menyasarkan untuk mengumpul sekitar $500,000 untuk pelbagai golongan terpinggir. - Foto BT

Pertubuhan kebajikan Ray of Hope telah melancarkan program ‘Walk for Hope’ pada 20 Mei dengan sasaran mengumpul sekitar $500,000 untuk pelbagai golongan terpinggir.

Aktiviti berjalan kaki sejauh 6 kilometer merentasi pulau itu akan diadakan pada 26 Julai dan menyasarkan sekitar 2,000 peserta termasuk individu, kumpulan masyarakat pejalan kaki, sekolah, serta rakan korporat.

Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membantu pelbagai individu daripada golongan terpinggir seperti pekerja migran, pembantu rumah asing, serta keluarga dan individu berpendapatan rendah. 

‘Walk for Hope’ juga dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu sosial yang dihadapi golongan tersebut.

Dalam satu temu bual bersama The Business Times (BT), pengarah eksekutif Ray of Hope, Dr Alicia Altorfer-Ong, berkata badan kebajikan itu berkhidmat untuk golongan masyarakat yang mempunyai keperluan “belum dipenuhi”.

“(Skop perkhidmatan) itu agak luas, kerana kami sedar bahawa selagi ada dasar, pasti ada golongan yang terpinggir, sama ada mereka tidak mendapat cukup sokongan meskipun telah menerima sedikit bantuan. 

“Contohnya, pekerja migran yang menghadapi krisis perubatan secara tiba-tiba atau sebuah keluarga yang tiba-tiba mengalami kebakaran dan hilang segala-galanya,” jelas beliau.

Dr Ong menambah bahawa benefisiari Ray of Hope mempunyai keperluan sederhana hingga serius dan biasanya tidak menerima sebarang bentuk bantuan lain.

Bayaran pendaftaran untuk menyertai Walk for Hope adalah $60 setiap orang, namun Dr Ong menyedari bahawa jumlah itu sahaja tidak mencukupi untuk mencapai sasaran $500,000.

Justeru, beliau berharap peserta dapat mengajak lebih ramai kenalan – seperti rakan, ahli keluarga dan rakan sekerja – untuk turut serta dalam inisiatif tersebut.

Ray of Hope adalah satu-satunya badan kebajikan crowdfunding di Singapura yang mengesahkan setiap kes secara teliti dengan bantuan pekerja sosial.

 Crowdfunding ialah kaedah pembiayaan yang bergantung pada sumbangan awam.

Mereka akan menjalankan lawatan ke rumah, menilai keadaan bakal benefisiari dan menghubungi pihak berkaitan sebelum melancarkan kempen pengumpulan dana di platform dalam talian mereka, lapor BT.

“Berbeza dengan platform crowdfunding lain yang mengumpul keuntungan, kami memastikan 100 peratus sumbangan disalurkan kepada klien di platform kami. 

(Walk for Hope) ialah salah satu cara kami dapat mengumpul dana yang mencukupi bagi membiayai operasi kami,” kata Dr Ong.

Sejak ditubuhkan pada 2012, Ray of Hope telah mengumpul sekitar $21 juta dan membantu lebih 1,200 keluarga.

Mereka yang berminat untuk mendaftar bagi ‘Walk for Hope’ boleh melayari laman web: https://walk.rayofhope.sg/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg