Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Reach ingin dekati golongan berbeza, adakan perbincangan lebih mendalam

Kiat How: Masyarakat harus bersatu untuk fahami satu sama lain meskipun tidak setuju dengan pandangan yang diluahkan
Mar 29, 2025 | 2:30 PM
Pengerusi unit maklum balas pemerintah Reach, Encik Tan Kiat How, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), berkata setiap kumpulan dalam masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza, namun itu tidak harus memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, masyarakat harus bersatu untuk memahami satu sama lain meskipun jika mereka tidak setuju dengan pandangan yang diluahkan, dan berusaha mencapai persetujuan untuk menggerakkan negara ke hadapan.
Pengerusi unit maklum balas pemerintah Reach, Encik Tan Kiat How, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), berkata setiap kumpulan dalam masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza, namun itu tidak harus memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, masyarakat harus bersatu untuk memahami satu sama lain meskipun jika mereka tidak setuju dengan pandangan yang diluahkan, dan berusaha mencapai persetujuan untuk menggerakkan negara ke hadapan. - Foto ST

Perbezaan pandangan dalam kalangan rakyat Singapura kian meluas sedang masyarakat menjadi lebih rencam, namun pandangan berpolarisasi itu tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat.

Sebaliknya, masyarakat harus bersatu untuk memahami satu sama lain meskipun jika mereka tidak setuju dengan pandangan yang diluahkan, dan berusaha mencapai persetujuan untuk menggerakkan negara ke hadapan, kata pengerusi unit maklum balas pemerintah Reach, Encik Tan Kiat How, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara).

Dalam satu sesi wawancara dengan media pada 20 Mac sempena ulang tahun ke-40 Reach, beliau berkata masyarakat Singapura telah menjadi lebih pelbagai, dengan terdapat banyak kumpulan berbeza yang memiliki pandangan dan kepercayaan teguh dalam isu-isu dekat pada hati yang diperjuangkan.

Ini seperti kumpulan hijau yang prihatin akan isu kemampanan, kumpulan yang mengambil berat terhadap kebajikan haiwan, dan bahkan mereka yang terkesan dengan isu geopolitik.

Namun, sedang masyarakat menjadi lebih rencam dan mempunyai pandangan berbeza, Encik Tan berkata “pandangan berpolarisasi boleh menjadi kuasa sangat mengganggu yang memecahbelahkan masyarakat dalam pelbagai isu”.

Penggunaan media sosial dan platform digital yang kini berleluasa telah mengubah cara orang ramai mendapatkan maklumat, yang menimbulkan keprihatinan individu boleh terperangkap dalam fenomena yang dipanggil ‘echo chamber’.

‘Echo chamber’, atau ruang gema, adalah situasi dengan seseorang hanya menemui maklumat atau pendapat yang mencerminkan dan menguatkan pandangan mereka sendiri di wadah media sosial.

Meskipun terdapat perbezaan pandangan, Encik Tan berkata persoalannya bukan untuk memastikan semua orang mempunyai pandangan sama tentang setiap isu, tetapi melihat bagaimana kumpulan dan individu dengan pandangan yang berbeza ini dapat duduk berbincang bersama.

“Bukan dengan tujuan untuk setuju, dan bukan dengan tujuan bagi setuju untuk tidak setuju, tetapi dengan tujuan untuk mengatakan bahawa saya hargai pandangan anda, tetapi, terdapat persetujuan kita boleh menggerakkan negara ke hadapan, kerana kita mempunyai lebih banyak kepentingan dalam negara ini daripada apa yang kita rasa perlu ditegakkan secara individu,” kata beliau.

Dalam usaha memainkan peranannya dengan lebih berkesan, Encik Tan berkata Reach akan mendekati lebih banyak golongan yang berbeza, termasuk kumpulan lebih kecil yang jarang didekati.

Beberapa inisiatif telah pun dilakukan, dengan unit itu telah bertemu kumpulan seperti individu kurang upaya, pekerja seks, bekas pesalah di rumah peralihan, dan suri rumah.

“Kami mendekati kumpulan lebih kecil yang tidak begitu didekati pemerintah, dan untuk memastikan tiada suara yang terkubur, dan setiap suara didengari.

“Di mana terdapat tanda-tanda awal tentang isu yang mungkin timbul, kami bawanya kembali ke kementerian dan agensi pemerintah untuk menumpukan perhatian kepadanya, dan untuk melihat adakah kami terlepas sesuatu,” kata beliau.

Meskipun Reach mengadakan pelbagai tinjauan dan sesi dialog, Encik Tan berkata maklum balas yang diterima hanya menyentuh pada “permukaan” sahaja, dan lebih banyak boleh dilakukan untuk mengadakan perbincangan lebih mendalam demi lebih memahami situasi dan pandangan yang diluahkan oleh kumpulan yang berbeza.

Dalam hal ini, beliau berkata perlu mewujudkan ruang selamat bagi individu berkongsi pandangan mereka dengan lebih terbuka, dengan Reach bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk membuat eksperimen beberapa teknik dalam mengadakan perbincangan yang lebih mendalam.

Memberi contoh, Encik Tan malah berkata persekitaran dengan sesi dialog yang diadakan juga memainkan peranan penting, termasuk susunan tempat duduk, dengan kajian menunjukkan ia membuat perbezaan dalam memulakan perbincangan yang mendalam.

Reach juga akan memperkenalkan satu kit alat perpaduan sosial menjelang hujung 2025 atau awal 2026, yang akan memberikan panduan dan berkongsi amalan baik dalam mengemudi sesi dialog dan pendekatan dengan isu sensitif dan berpolarisasi.

Antara tinjauan dengan isu sensitif yang telah dijalankan Reach sebelum ini adalah berkenaan isu lesbian, gay, biseksual dan transjantina (LGBT) dan Seksyen 377A pada 2022, yang menerima lebih 30,000 maklum balas.

Reach juga telah menjalankan sesi pendekatan mengenai isu geopolitik, yang membincangkan tentang konflik Gaza-Israel, perang Russia-Ukraine dan lain-lain.

Encik Tan berkata belum diketahui apakah bentuk ataupun format kit alat itu buat masa ini, namun ia bertujuan berkongsi pengalaman Reach dan amalan baik bersama agensi pemerintah dan juga pertubuhan lain.

Memandang ke hadapan, Encik Tan berkata Reach akan terus menyokong fasa pembangunan negara yang seterusnya.

“Fasa Reach seterusnya adalah untuk menyokong fasa pembangunan negara selanjutnya, bagaimana pemerintah terus mendengar dan mendekati rakyat Singapura, dan mengundang semua rakyat menjadi sebahagian daripada perbincangan lebih luas tentang bagaimana kita membina Singapura untuk fasa seterusnya,” kata beliau.

“Bukan dengan tujuan untuk setuju, dan bukan dengan tujuan bagi setuju untuk tidak setuju, tetapi dengan tujuan untuk mengatakan bahawa saya hargai pandangan anda, tetapi, terdapat persetujuan kita boleh menggerakkan negara ke hadapan, kerana kita mempunyai lebih banyak kepentingan dalam negara ini daripada apa yang kita rasa perlu ditegakkan secara individu”
Ppengerusi unit maklum balas pemerintah Reach, Encik Tan Kiat How, yang juga Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg