Acara larian himpun belia, kumpul dana bantu kanak-kanak memerlukan sambut Raya
Acara larian himpun belia, kumpul dana bantu kanak-kanak memerlukan sambut Raya
‘Run4Good’ galak gaya hidup sihat, ajak belia dengan cabaran hidup sumbang kepada masyarakat
Golongan belia daripada pelbagai latar belakang bersatu hati menyertai acara larian lima kilometer, Run4Good, demi mengumpulkan lebih $400 untuk kanak-kanak memerlukan di ambang sambutan Aidilfitri.
Sesi larian berteraskan kemasyarakatan pada 14 Mac itu dianjurkan bersama gerakan sukarela belia, Play4Good, dengan kerjasama sekumpulan teman yang suka berlari, Happy Miles Run Club, dan badan amal tidak mengaut untung, Membina Community.
Acara itu diadakan bagi menggalak gaya hidup sihat sambil menyemai semangat sukarela dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.
Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada ‘Project Membina Kasi Balik’, sebuah program di bawah Membina Community, yang memberi tumpuan kepada sokongan pendidikan serta pembangunan holistik kanak-kanak daripada keluarga yang menetap di flat sewa.
Menurut wakil penganjur bersama, pendekatan larian santai sejauh lima kilometer dipilih kerana ia mudah diakses dan tidak memerlukan kemahiran khusus, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai orang menyertainya.
“Berlari adalah sesuatu yang semua orang boleh lakukan. Kami mahu orang ramai mula dengan sesuatu yang mudah, sambil membina gaya hidup sihat dan pada masa yang sama menyumbang kepada masyarakat,” kata Encik Jihad Suhaimi, pengasas bersama Membina Community.
Beliau menambah selain menggalakkan kesihatan fizikal, aktiviti seperti ini juga mampu memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental serta membina semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Bagi pihak Membina Community, kerjasama dengan Play4Good dan Happy Miles Run Club dilihat sebagai penting dalam memperluaskan impak dan jangkauan kepada penerima bantuan.
“Kami percaya membantu golongan memerlukan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Melalui kerjasama ini, kita dapat menggabungkan kekuatan dan kepakaran berbeza untuk menghasilkan impak lebih besar,” kata Encik Jihad.
Tambahnya, acara seperti ini juga memberi peluang kepada belia, termasuk mereka daripada latar belakang mencabar, untuk turut serta menyumbang kepada masyarakat.
“Malah, ada antara peserta yang hadir hari ini merupakan penerima bantuan program kami.
“Ini menunjukkan walaupun mereka berdepan dengan cabaran, mereka tetap mampu memberi kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Dari segi pelaksanaan, setiap rakan kerjasama memainkan peranan tersendiri dalam menjayakan acara tersebut.
Play4Good bertindak sebagai penggerak utama, manakala Happy Miles Run Club menyumbang kepakaran dalam penganjuran acara larian, termasuk aspek keselamatan dan pengurusan peserta.
Membina Community pula memastikan hasil kutipan dana disalurkan secara berkesan kepada golongan sasaran.
Walaupun berdepan cabaran dalam menyelaras pelbagai pihak, penganjur menyifatkan komunikasi dan matlamat bersama sebagai faktor utama kejayaan acara ini.
“Setiap pihak membawa kekuatan masing-masing. Peserta juga memainkan peranan penting sama ada melalui penyertaan, sokongan moral atau sumbangan dana,” kata Cik Eliya Fawzi, pengasas bersama Play4Good.
Selain itu, acara ini turut dilihat sebagai satu platform berkesan dalam mendekatkan golongan belia dengan kerja-kerja kemasyarakatan.
Dengan menggabungkan elemen sukan dan kesukarelawanan, ia menjadikan usaha memberi kembali lebih relevan dan dekat dengan gaya hidup mereka.
Dalam pada itu, penganjur berharap acara larian Play4Good Run dapat terus berkembang sebagai satu inisiatif mampan, yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh budaya saling membantu dalam masyarakat.
“Tidak semua sumbangan memerlukan wang. Masa, tenaga dan sokongan juga amat bermakna. Yang penting, kita sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada orang lain,” tambah Cik Hana Delfina, juga pengasas bersama Play4Good.
Pada akhirnaya, pesanan yang ingin disampaikan jelas, iaitu setiap individu mempunyai peranan dalam membina masyarakat lebih prihatin, dan langkah kecil seperti berlari bersama mampu membawa perubahan besar.

