Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara ‘Raudhah’s Raya Serumpun’ gabung majlis selamat datang, salam perpisahan

Majlis Syawal Masjid Ar-Raudhah penuh emosi dan erti
May 9, 2025 | 5:30 AM
 Ar-Raudhah, Raya
Gambar kenangan bersama petugas dan sukarelawan yang menghadiri Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri Ar-Raudhah, ‘Raudhah’s Raya Serumpun’, yang diadakan di Anggun On Stevens, pada 26 April 2025. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

‘Raudhah’s Raya Serumpun’ – begitulah tema dan ungkapan kata pada Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Masjid Ar-Raudhah.

Majlis itu berlangsung pada Ahad, 26 April 2025. Bertempat di Anggun On Stevens, dan ia dihadiri 150 tetamu yang terdiri daripada warga kerja, kakitangan pentadbiran, sukarelawan dan rakan rangkaian Masjid Ar-Raudhah.

Selain sambutan Hari Raya, majlis tersebut juga merupakan sesi perkenalan serta mengalu-alukan kehadiran Encik Zuraimi Abdul Basheer, Pengerusi Eksekutif, Masjid Ar-Raudhah, yang baru kepada tetamu.

Encik Zuraimi mula berkhidmat di Masjid Ar-Raudhah pada 1 Mei 2025.

Beliau juga merupakan Pengerusi Masjid Al-Mukminin, mengambil alih tugas daripada Ustaz Mohamed Ali Atan, mantan Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah, yang kini berkhidmat di sebuah masjid di Daerah Selatan Singapura.

Dalam ucapan spontan mengalu-alukan Encik Zuraimi, Ustaz Mohamed Ali berkata:

“Saya berharap semua warga kerja, ahli pentadbir dan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah memberi sokongan padu dan kerjasama yang padu kepada Encik Zuraimi.”

Encik Zuraimi turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat menjalin kerjasama erat, berlandaskan rasa tanggungjawab dan saling menghormati, demi memastikan kelancaran setiap urusan serta memperkukuh ukhuwah dan semangat perpaduan yang teguh.

“Saya bersyukur atas amanah yang telah diberikan kepada saya dan mohon doa serta sokongan daripada semua ahli Lembaga Pentadbir Masjid, warga kerja, sukarelawan dan jemaah.

“Dengan rendah hati, saya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Ali atas semua sumbangan beliau dan insya-Allah saya akan teruskan usaha memakmurkan masjid ini bersama.

“Marilah kita bersama-sama kukuhkan ukhuwah, dan suburkan nilai Islam dalam masyarakat,” jelas Encik Zuraimi.

Masjid Ar-Raudhah juga telah melahirkan ucapan terima kasih atas jasa dan pengorbanan Ustaz Mohamed Ali yang telah memangku jawatan Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah dari 1 Julai 2020 hingga 30 April 2025.

Pengurus Kanan, Masjid Ar-Raudhah, Cik Maszita Mohammad, telah menyampaikan kata-kata penghargaan kepada Ustaz Mohamed Ali.

“Terima kasih atas ilmu yang Ustaz Ali curahkan. Ilmu yang membentuk akhlak dan pemikiran kami. Terima kasih atas kesabaran dan keikhlasan Ustaz Ali.

“Walaupun kami sering lalai dan membuat kesilapan, Ustaz Ali tidak pernah jemu membimbing kami. Semoga Allah swt senantiasa merahmati Ustaz Ali, melimpahkan rezeki dan kesihatan yang baik serta mengurniakan kebahagiaan dalam setiap langkah kehidupan Ustaz Ali,” kata Cik Maszita.

Turut menyampaikan penghargaan terhadap Ustaz Mohamed Ali ialah Encik Mostakim Mahmood, mantan ahli pentadbir Masjid Ar-Raudhah, yang kini sukarelawan masjid serta bertindak sebagai Ketua Kanan Masjid.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Ali yang telah memimpin dengan begitu cekap dan baik, seolah-olah Masjid Ar-Raudhah ini sebuah sekolah, dan beliau pula bertindak sebagai pengetuanya,” katanya.

Selain menikmati juadah lazat, tetamu berpeluang menyertai acara meneka kuih dalam majlis Raya tersebut.

Masjid Ar-Raudhah turut menyampaikan penghargaan atas jasa sukarelawan yang telah banyak membantu dalam mengendalikan program sepanjang Ramadan.

Sebagai tanda penghargaan, setiap sukarelawan dihadiahkan segulung kek tapak kuda dua hari sebelum Aidilfitri.

Masjid Ar-Raudhah bakal menjalani projek naik taraf dan kini dalam proses mendapatkan tender kontraktor. Kerja naik taraf itu dijangka bermula pada akhir 2025.

Semoga dengan sokongan dan sumbangan dana daripada masyarakat, projek menaik taraf dan pembangunan masjid itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Sejauh ini, Masjid Ar-Raudhah berjaya mengumpulkan dana $7 juta. Namun, ia masih memerlukan $3 juta lagi untuk melaksanakan projek naik taraf dengan jaya.

SEKILAS:

Cara menmberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan diposkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg