Masjid Ar-Raudhah telah mengadakan acara berbuka puasa bersama pemimpin akar umbi dan rakan strategik pada Sabtu, 15 Mac 2025.
Acara ini turut dihadiri oleh Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat Abdul Rahman, selaku tetamu terhormat. Majlis ini juga menjemput pemimpin antara agama yang bekerjasama erat dengan pihak masjid.
Antara badan yang hadir ialah pemimpin daripada Kelab Masyarakat (CC) Bukit Batok, Hillview CC, Hong Kah North CC, Bukit Batok East CC, serta wakil rumah orang-orang tua Ren Ci Nursing Home, Bukit Batok Home for the Aged (BBHA), Club Heal, dan individu lain.
Acara ini bertujuan menjalin hubungan baik dengan masyarakat luar serta menghargai sokongan pelbagai pihak.
Menariknya, tetamu bukan Islam turut serta dalam acara iftar penuh rahmah ini. Secara keseluruhan, lebih daripada 100 tetamu menghadiri majlis ini.
Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, menyatakan bahawa pihak masjid amat menyanjung tinggi segala bentuk kerjasama yang telah terjalin.
Pada Ahad, 16 Mac 2025, Masjid Ar-Raudhah turut terlibat dalam acara Majlis Berbuka Puasa Harmoni dan Mission Ihsan yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Bukit Batok East serta disokong oleh Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) dan Vision 21 Welfare Society.
Tetamu terhormat yang menyerikan acara ini ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Majlis ini turut dihadiri oleh keluarga penerima zakat dari Bukit Batok East CC dan Masjid Ar-Raudhah. Selain berbuka puasa bersama, Vision 21 Welfare Society menaja barangan runcit yang diagihkan kepada keluarga yang memerlukan. Seramai 270 hadirin memeriahkan acara ini.
Sukarelawan daripada Bukit Batok East CC serta kakitangan dan sukarelawan Masjid Ar-Raudhah turut berganding bahu dalam persiapan majlis tersebut. Kerjasama erat ini mencerminkan semangat gotong-royong dan kepedulian terhadap masyarakat setempat.
“Saya amat berbesar hati melihat semangat kerjasama dan nilai ihsan yang begitu terserlah dalam kalangan penduduk, sukarelawan kelab masyarakat, serta relawan masjid yang berganding bahu menjayakan dua majlis ini. Walaupun sibuk dengan urusan pada bulan Ramadan, keikhlasan dan dedikasi yang ditunjukkan benar-benar menyentuh hati.
“Semoga semangat kebersamaan dan kasih sayang ini terus mekar dalam jiwa kita, menjadi pemangkin untuk kita terus membantu mereka yang memerlukan. Dengan kesatuan dan komitmen yang utuh, kita mampu menghadapi segala cabaran hidup dengan lebih yakin dan berdaya saing.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah menyumbangkan tenaga, masa, dan usaha dalam menjayakan majlis ini. Semoga segala kebaikan yang ditaburkan mendapat ganjaran berlipat ganda,” tambah Ustaz Mohamed Ali.
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2.Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah, dan dikirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Ave 2, Singapura 659919.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg