Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendamping Ar-Raudhah bawa sinar harapan kepada golongan rentan

Komited santuni dengan penuh kasih sayang terutama mereka yang perlu perhatian khusus
Apr 18, 2025 | 5:30 AM
Sukarelawan Masjid Ar-Raudhah membantu menyediakan sajian sempena acara Jendela Ramadan bagi jemaah yang hadir. Sajian itu juga untuk diagihkan kepada penerima zakat di bawah naungan masjid ini.
Sukarelawan Masjid Ar-Raudhah membantu menyediakan sajian sempena acara Jendela Ramadan bagi jemaah yang hadir. Sajian itu juga untuk diagihkan kepada penerima zakat di bawah naungan masjid ini. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Peranan seorang pendamping, atau lebih dikenali sebagai ‘befriender’, di bawah naungan Masjid Ar-Raudhah, bukanlah satu tugas yang mudah. Meskipun hanya sebagai relawan masjid, tersirat komitmen mendalam untuk menyantuni masyarakat terutamanya mereka yang memerlukan perhatian khusus.

Menurut Eksekutif Kanan Unit Pembangunan Sosial Masjid Ar-Raudhah, Cik Hafidzah Farof, para pendamping ini bukan sahaja menjalankan lawatan rutin, malah turut menjadi nadi kepada pelbagai program sosial yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat, khususnya penerima zakat.

Ziarahi lebih 100 rumah

Pada 2024, pasukan pendamping telah mengadakan lebih 139 lawatan rumah kepada klien jangka panjang, termasuk warga emas, pesakit kronik, pesakit buah pinggang, serta mereka yang mengalami penyakit fizikal dan mental. Lawatan ini bertujuan memahami keadaan semasa mereka dan menawarkan sokongan emosi dan sosial yang diperlukan.

“Setiap rumah yang kami kunjungi menyimpan kisah tersendiri – ada yang sunyi tanpa teman, ada yang bertarung dengan penyakit, dan ada juga yang hanya memerlukan seseorang untuk mendengar.

“Lawatan pendamping ini lebih daripada sekadar berziarah. Ia adalah ruang memahami dan membawa sinar harapan kepada mereka, yang sering merasakan diri mereka tersisih,” ujar Cik Hafidzah.

Peningkatan kapasiti dan kepimpinan

Bagi memperkasa perkhidmatan, seramai 15 pendamping telah menerima latihan khas dalam Pencegahan Bunuh Diri oleh pertubuhan Caring For Life. Latihan ini penting dalam membolehkan mereka menangani kes-kes sensitif dan memerlukan pendekatan lebih terperinci serta intervensi, atau campur tangan, menguruskan kemelut.

“Kami sedar bahawa cabaran mental dalam kalangan penerima zakat dan klien kami semakin kompleks.

“Maka, latihan seperti ini bukan sahaja membantu dari segi pengurusan kes, bahkan memberi keyakinan kepada pendamping agar bertindak dengan lebih berhemah.

“Tambahan pula, seramai lapan pendamping telah dinaikkan pangkat sebagai Pendamping Kanan manakala tahun 2025 menyaksikan kemasukan seramai 16 ahli baru serta pelantikan pasukan Exco baru bagi memperkukuh struktur masjid,” ” jelas Cik Hafidzah.

Menyokong lebih daripada lawatan

Selain lawatan rutin ke rumah, para pendamping juga giat terlibat dalam pelbagai program Unit Pembangunan Sosial yang menyasarkan penerima zakat.

Antaranya termasuk pengagihan barangan runcit dan bekalan asas yang dijalankan dengan kerjasama rakan kongsi seperti pelajar Ilham, Nature View’s Resident Network, serta Kelab Masyarakat Bukit Batok East dan Hillview. Antara program utama lain yang dijalankan ialah:

1. Jendela Ramadan – Sebuah program istimewa sempena Ramadan yang membantu keluarga penerima zakat membuat persiapan menyambut bulan mulia ini.

Program ini turut menampilkan penceramah jemputan, Ustazah Nur Hidayah Azman, serta penceramah daripada Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Muhammad Mustaffa.

2. Sambutan Raya – Dirai bersama warga Bukit Batok Home for the Aged (BBHA) dan bersama warga lanjut usia dan kurang upaya di pusat jagaan Renci.

Program ini mengeratkan hubungan antara generasi dan menghidupkan semangat perayaan dalam kalangan warga emas.

3. Eid Together – Program khas untuk keluarga penerima zakat yang aktif dalam pembelajaran Islam serta kegiatan kesukarelawanan.

4. Salam Neighbours – Daya usaha ‘outreach’, atau mendekati masyarakat, untuk mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat prihatin satu sama lain.

Di sebalik cabaran dan kekangan, para pendamping tetap teguh menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.

Mereka bukan sekadar sukarelawan – mereka adalah cahaya yang menyinari kehidupan insan-insan yang memerlukan.

Dengan pendekatan yang menyeluruh dan penuh kasih sayang, Masjid Ar-Raudhah terus membuktikan bahawa kekuatan sebuah masyarakat bukan terletak pada fizikal mereka, malah pada nilai empati dan kepedulian yang diamalkan bersama.

SEKILAS:

Cara menghulur sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp kepada talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg