Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara Raya PPIS rai kepimpinan berasas iman, dialog antara agama

Apr 12, 2025 | 8:08 PM
Lebih 100 tetamu hadiri acara Harmony Raya dan dialog bertujuan memupuk persefahaman antara agama, membina jambatan antara komuniti, dan menyediakan ruang selamat bagi perbincangan tentang isu-isu berkaitan iman, kepimpinan dan keharmonian. 
Lebih 100 tetamu hadiri acara Harmony Raya dan dialog bertujuan memupuk persefahaman antara agama, membina jambatan antara komuniti, dan menyediakan ruang selamat bagi perbincangan tentang isu-isu berkaitan iman, kepimpinan dan keharmonian.  - Foto PPIS

Lebih daripada sekadar sambutan perayaan, acara Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Harmony Raya 2025 berperanan menjadi wadah yang bermakna bagi pemimpin wanita daripada pelbagai agama berhubung, bermuhasabah dan terlibat dalam perbincangan terbuka mengenai kepimpinan, nilai-nilai serta kemajuan masyarakat.  

Acara yang diadakan pada 12 April di Village Hotel Katong itu dihadiri tetamu terhormat, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam yang juga Penaung PPIS.

Berucap di majlis tersebut, beliau berkata:

“Saya sangat terdorong dengan usaha berterusan PPIS untuk mewujudkan ruang seperti ini — di mana kita boleh berkumpul, bukan sahaja untuk menyambut Hari Raya, tetapi juga untuk bercakap secara jujur ​​tentang kepercayaan, kepimpinan, dan bagaimana kita menyokong satu sama lain dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.”

Acara itu dihadiri lebih 100 peserta, termasuk pemimpin wanita daripada pelbagai agama.

Dalam ucapannya, Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum, menekankan matlamat utama acara tahunan tersebut, iaitu untuk memupuk persefahaman antara agama, membina jambatan antara komuniti, dan menyediakan ruang selamat bagi perbincangan tentang isu-isu berkaitan iman, kepimpinan dan keharmonian. 

“Sejak diperkenalkan pada 2017 oleh Jabatan Penyelidikan dan Pendekatan (RED) PPIS, Harmony Raya telah menghimpunkan lebih 300 wanita daripada pelbagai latar belakang, untuk meraikan bukan sahaja semangat Aidilfitri, tetapi juga nilai kemenangan, kesyukuran dan kemaafan yang disemai sepanjang Ramadan.

“Tema tahun ini (2025), ‘Berlandaskan Keimanan, Mencetuskan Perubahan’, menekankan peranan iman sebagai asas yang menggerakkan perubahan positif,” kata Dr Razwana.

Beliau menegaskan bahawa iman bukan sahaja membantu bertahan dalam menghadapi cabaran, malah mengilhamkan tindakan dan khidmat masyarakat – terutamanya dalam kalangan wanita yang aktif memimpin dan menyokong komuniti masing-masing.

Cik Rahayu memuji usaha berterusan PPIS dan turut menyatakan bahawa dalam saat-saat mencabar sebagai pemimpin, iman menjadi kompas moral yang mengingatkan seseorang itu untuk bertindak dengan ihsan, berani dan berintegriti.

“Menurut tinjauan yang dijalankan pada 2024 oleh Institut kajian Dasar (IPS) dan OnePeople.sg, keharmonian kaum dan agama Singapura bertambah baik secara berterusan dalam tempoh lima tahun yang lalu.

“Kira-kira 65 peratus daripada tinjauan responden menilai keharmonian negara sebagai tinggi atau sangat tinggi. Namun, di sana masih ada ruang untuk penambahbaikan,” kata beliau.  

Mengulas tentang cabaran keharmonian masa kini, termasuk penyebaran maklumat palsu dan perpecahan sosial, Dr Razwana menegaskan keperluan pendidikan dan dialog berterusan dalam memelihara perpaduan masyarakat. 

Di acara tersebut, PPIS turut memperkenal Ikrar Keharmonian — satu komitmen bersama untuk menegakkan keamanan, rasa hormat dan persefahaman dalam kehidupan seharian.

Melalui Harmony Raya 2025, PPIS terus memperkukuh komitmennya dalam membentuk kepimpinan inklusif dan mempromosikan solidariti yang berteraskan nilai-nilai bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg