Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ihsan Ramadan PPIS pupuk masa depan lebih cerah bagi keluarga memerlukan

Mar 21, 2025 | 5:30 AM
Di pusat jagaan pelajar, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) berusaha menawarkan program dan kegiatan bermutu bagi anak-anak agar mereka berpeluang mencapai potensi penuh.
Di pusat jagaan pelajar, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) berusaha menawarkan program dan kegiatan bermutu bagi anak-anak agar mereka berpeluang mencapai potensi penuh. - Foto PERSATUAN PEMUDI ISLAM SINGAPURA (PPIS)

Pada 2023, suaminya dipenjarakan. Semenjak itu, Cik Triana (bukan nama sebenar), bekerja keras mencari nafkah demi menampung kehidupan enam anaknya.

Beliau berhempas-pulas menggalas sehingga dua pekerjaan semata-mata mahu memastikan keperluan anak-anaknya dipenuhi. Dedikasinya tidak berbelah bahagi.

Namun, di sebalik usahanya yang luar biasa, beban kerja dan tanggungjawab keluarga kian menjadi berat untuk dipikul seorang diri.

Oleh itu, Cik Triana berusaha mencari sistem sokongan demi mengurangkan sedikit tekanan.

Beliau kemudian mendaftarkan dua anaknya di Pusat Jagaan Pelajar 7oaks Jurong (SCCJ), kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS). 

Langkah ini bukan sahaja memberikan anak-anaknya persekitaran yang selamat bahkan memberikan Cik Triana bantuan yang amat diperlukan.

Ia turut memperkasakan beliau agar terus berusaha demi masa depan yang lebih cerah untuk keluarganya.

Penjagaan sebelum dan selepas sekolah yang disediakan oleh pusat jagaan 7oaks ini menawarkan manfaat yang tidak ternilai kepada anak-anaknya.

Cik Triana menarik nafas lega dengan penyeliaan tuisyen dan kerja sekolah yang disediakan setiap hari kerana ia meringankan bebannya memeriksa tugasan sekolah anak-anaknya selepas waktu bekerja yang panjang. 

Setelah lebih setahun mendaftarkan kedua-dua anaknya di SCCJ,  beliau memerhatikan bahawa tingkah laku mereka semakin berdisiplin dan berdikari di rumah, dan ini membantu kerana beliau juga mempunyai seorang lagi anak yang lebih kecil untuk dijaga.

Cik Triana berkongsi: “PPIS SCCJ telah mengubah kehidupan kami sebagai sebuah keluarga. Dengan sokongan berterusan, saya harap saya dapat membentuk anak-anak saya menjadi individu yang yakin dan bertanggungjawab.”

PPIS kini sedang giat mengumpul dana $500,000 untuk kempen Ihsan Ramadan PPIS.

Ia bertujuan mengekalkan dan meningkatkan program dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada benefisiari seperti Cik Triana. 

Bertema, ‘Sinari Impian’, PPIS berharap kempen ini dapat memperkasa individu untuk mencapai hasrat mereka, mengatasi cabaran dan kesukaran melalui program dan perkhidmatan yang berdedikasi.

TENTANG PPIS

Ditubuhkan pada 1952, PPIS merupakan pertubuhan perkhidmatan sosial yang memberi tumpuan kepada kaum wanita, keluarga dan kanak-kanak.

PPIS melaksanakan tiga teras perkhidmatan masyarakat: Perkhidmatan Keluarga, Penjagaan Pelajar, dan Kemudahan Kediaman.

Dengan 11 pusat di serata Singapura, perkhidmatan ini menyediakan sokongan yang bermutu dan holistik.

Program pembangunan untuk golongan wanita dan keluarga merentasi pelbagai fasa kehidupan.

PPIS membantu lebih 34,000 benefisiari pada 2024, melalui kerja kes (casework), kaunseling, terapi keluarga, asuhan dan keperluan pendidikan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau menghulurkan sumbangan, sila kunjungi laman web, www.ppis.sg/pir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg