Masyarakat dinasihatkan supaya berwaspada sambil membina ruang untuk perbualan terbuka, setelah seorang remaja perempuan 15 tahun dikenakan Arahan Sekatan (RO) kerana menjadi radikal sendiri.
Menekankan demikian, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dalam satu kenyataan yang dimuat naik di wadah LinkedIn pada 2 April menegaskan kepentingan menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan emosi wanita dan perempuan Singapura.
Ia turut mengutuk segala aspek ekstremis dan keganasan, yang menentang nilai kesejahteraan, keadilan dan belas kasihan.
PPIS juga menasihatkan wanita supaya sentiasa menyoal dan mengkritik maklumat dalam talian, dan mencari ilmu daripada sumber yang boleh dipercayai.
Remaja tersebut, seorang pelajar warga Singapura, merupakan penyokong kumpulan pengganas ISIS.
Dia telah bercita-cita untuk berkahwin dengan anggota ISIS di Syria.
“PPIS berasa bimbang atas penahanan perempuan remaja pertama yang menjadi radikal sendiri, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” kata kenyataan itu.
Melihat dari sudut wanita, PPIS telah menyuarakan kekhuatiran mereka terhadap situasi ini, terutama kesan kepada kaum wanita.
Remaja perempuan 15 tahun itu mula menjadi radikal pada Jun 2023, setelah melihat kandungan penyiaran ideologi ISIS dalam talian.
Dia percaya bahawa kumpulan ISIS merupakan sebuah kumpulan tentera yang mempertahankan masyarakat Islam di Iraq dan Syria.
Oleh itu, dia bercita-cita untuk pergi ke Syria untuk berkahwin dengan anggota ISIS.
Demi mencapai matlamatnya itu, dia telah melibatkan diri dalam beberapa hubungan cinta bersama penyokong ISIS di luar negera.
Selain remaja perempuan tersebut, seorang lelaki 17 tahun telah ditahan, kerana telah merancang untuk melakukan serangan senjata di masjid di Singapura.
Dia didapati bertukar kandungan ekstremis dan Islamofobia bersama Nick Lee Xing Qiu (Lee), yang telah ditahan di bawah ISA pada Disember 2024.
Remaja lelaki itu mula menjadi radikal pada 2022, setelah menemui kandungan Islamofobia dalam talian.
Dengan sikap perkaumannya, dia mula membenci orang Melayu/Islam, sehingga menghubungi sebuah pereka pistol dari Amerika Syarikat.
Dia berniat untuk membunuh diri setelah melaksanakan serangan yang dirancang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg