Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aceh beri nilai, pengajaran berharga kepada dunia

Duta Besar Indonesia: Kisah dipapar rai kekuatan, kerjasama dalam pemulihan wilayah
Jan 2, 2025 | 8:30 PM
Sesi perbincangan ‘fireside chat’ turut diadakan dengan ahli panel yang terdiri daripada (dari kiri) pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh; mangsa tsunami yang terselamat, Encik Muhammad Iqbal; mantan kakitangan Mercy Relief, Cik Juliah Bee Abdul Latiff, serta wartawan Berita Harian, Cik Shiqin Ramadan. Perbincangan itu dikendalikan oleh Koresponden BH, Cik Siti Aisyah Nordin (kanan).
Sesi perbincangan ‘fireside chat’ turut diadakan dengan ahli panel yang terdiri daripada (dari kiri) pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh; mangsa tsunami yang terselamat, Encik Muhammad Iqbal; mantan kakitangan Mercy Relief, Cik Juliah Bee Abdul Latiff, serta wartawan Berita Harian, Cik Shiqin Ramadan. Perbincangan itu dikendalikan oleh Koresponden BH, Cik Siti Aisyah Nordin (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pengalaman Aceh berperanan sebagai peringatan tentang pentingnya kesiapsiagaan menghadapi bencana, sokongan masyarakat dan perpaduan antarabangsa.

Demikian ditegaskan oleh Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, semasa pelancaran dokumentari eksklusif Berita Harian (BH) bertajuk ‘Gelombang Perubahan: Aceh 20 Tahun Selepas Dibadai Tsunami’, pada 2 Januari.

Encik Pratomo menekankan bagaimana perubahan Aceh menawarkan nilai yang sangat berharga.

Ia memberi pengajaran kepada dunia bagaimana bertindak balas secara berkesan terhadap bencana masa hadapan, serta pentingnya sokongan masyarakat bagi mereka yang terjejas.

Berucap di pelancaran dokumentari tersebut di Wisma Geylang Serai, Encik Pratomo berkata:

“Hari ini, Aceh telah berubah.

“Meskipun kenangan kehilangan masih kekal, rantau ini telah membina semula infrastruktur, masyarakat dan kehidupannya.

“Aceh sekarang berdiri sebagai simbol ketahanan, menunjukkan bahawa melalui perpaduan dan keazaman, pemulihan dapat berlaku walaupun setelah melalui bencana yang dahsyat.”

Pelancaran itu turut dihadiri tetamu terhormat, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.

Aceh, khususnya, paling terjejas apabila bencana tsunami Lautan Hindi melanda 20 tahun lalu pada 26 Disember 2004, dengan anggaran lebih 200,000 nyawa terkorban dan 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Encik Pratomo berkata bahawa kisah yang dipaparkan dalam dokumentari sepanjang 22 minit itu “mengingatkan kita akan cabaran yang dihadapi ketika masa genting itu” dan “ia meraikan kekuatan dan kerjasama yang membawa kepada pemulihan Aceh”.

Menurutnya, Singapura telah memainkan peranan penting melalui pelbagai inisiatif, dan menyumbang kembali, baik dalam bentuk bantuan segera mahupun usaha pembinaan semula jangka panjang.

“Mobilisasi bantuan yang cepat oleh Singapura, serta kerjasamanya dengan badan antarabangsa, adalah penting dalam membantu pemulihan Aceh,” ujarnya, yang turut ditemu ramah BH pada Disember 2024 sempena laporan khas memperingati dua dekad tsunami di Aceh.

Bagi Encik Pratomo sendiri, yang telah ke Aceh sehari setelah bencana melanda pada 27 Disember 2004, beliau berkongsi pengalamannya melihat kesan tsunami dengan mayat bergelimpangan, termasuk yang sudah membengkak dan tidak dapat dikenali lagi, di merata tempat dalam Banda Aceh.

Ketika itu, beliau yang menggalas jawatan sebagai wartawan, menyingkap semula bagaimana badan bantuan luar seperti Singapura, Pakistan, India dan juga dari Amerika Syarikat telah tampil menghulurkan bantuan seperti menyediakan dapur awam serta memasak makanan bagi mangsa.

Perkongsian Encik Pratomo turut dimuatkan dalam dokumentari terbitan BH yang dirakam semasa pasukan BH melawat Banda Aceh dan Meulaboh dari 5 hingga 9 Disember 2024.

Selain itu, dokumentari tersebut memaparkan sembilan wawancara yang berlangsung di studio di bangunan SPH Media di Toa Payoh North sepanjang Disember 2024 – termasuk kisah daripada anggota badan kemanusiaan Mercy Relief seperti Cik Juliah Bee, Encik Satwant Singh dan Encik Hassan Ahmad; serta mantan anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Tan Chuan-Jin dan Encik Frank Yap.

Encik Pratomo menambah: “Bencana, malangnya, adalah sebahagian daripada kehidupan, namun cara kita bertindak balas kepadanya membuat perbezaan yang ketara.

“Saya harap acara malam ini akan memberi inspirasi agar kita terus berusaha ke arah masa hadapan yang mana rakyat bersedia menghadapi cabaran dan masyarakat sejagat boleh bergantung kepada satu sama lain semasa krisis.”

Hari ini, Aceh telah berubah. Meskipun kenangan kehilangan masih kekal, rantau ini telah membina semula infrastruktur, masyarakat dan kehidupannya. Aceh sekarang berdiri sebagai simbol ketahanan, menunjukkan bahawa melalui perpaduan dan keazaman, pemulihan dapat berlaku walaupun setelah melalui bencana yang dahsyat.
Encik Suryo Pratomo, Duta Besar Indonesia ke Singapura.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg