Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hargai erti kemanusiaan, nilai persahabatan tangani krisis bersama

Pasukan Mercy Relief ketika itu kenang semangat perpaduan manusia
Dec 21, 2024 | 5:00 AM
Mantan setiausaha Mercy Relief, Encik Satwant Singh, menggambarkan keadaan huru-hara serta ketabahan penduduk Aceh setelah wilayah mereka musnah akibat bencana paling dashyat yang pernah beliau lihat.
Mantan setiausaha Mercy Relief, Encik Satwant Singh, menggambarkan keadaan huru-hara serta ketabahan penduduk Aceh setelah wilayah mereka musnah akibat bencana paling dashyat yang pernah beliau lihat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Semasa pertama kali menjejakkan kakinya di Aceh selepas gelombang raksasa tsunami mengorbankan ratusan ribu jiwa, pengerusi badan bantuan kemanusiaan, Mercy Relief (MR), Encik Satwant Singh, membayangkan penduduk yang dicengkam kepiluan, jiwa kosong meratap kehilangan dan hampir putus harapan dengan kehidupan.

Namun, apa yang disaksikan beliau benar-benar menyentuh jiwa dan meninggalkan kesan mendalam sehingga hari ini.

“Saya membayangkan keadaan yang sungguh memilukan, dipenuhi orang-orang yang patah semangat... tetapi saya silap,” ujar Encik Satwant, yang ke Aceh beberapa minggu selepas bencana itu melanda.

“Antara penduduk pertama yang saya temui ialah seorang lelaki yang kehilangan segala-galanya.

“Keluarga, rumah, pakaian dan harta benda. Semua kepunyaannya yang beliau kasihi dan hargai hilang dalam sekelip mata.

“Saya ingat ketika itu terbenak di fikiran saya, mengapa Tuhan membiarkan perkara ini berlaku.

“Namun, saya tersentak kerana bagi beliau dan umumnya ramai penduduk Aceh yang saya temui, Tuhan dan agama itu yang memberi mereka kekuatan mengatasi gelora perasaan ketika itu.

“Apabila saya bertanya keadaan dan rancangan mereka untuk masa depan, saya terkesan kerana mereka semua mengatakan insya-Allah, iaitu dengan izin Allah, masa depan mereka akan terpelihara.

“Kekuatan dan keyakinan itu, bagi saya, sesuatu yang menakjubkan,” tambah beliau.

Encik Satwant merupakan antara pegawai dan relawan MR yang terlibat dalam bantuan kemanusiaan ke Aceh, yang diwawancara Berita Harian (BH) sempena laporan khas memperingati dua dekad tsunami di wilayah itu.

Pengarah Eksekutif MR ketika itu, Encik Hassan Ahmad, berkata pada awalnya, para pegawai MR termasuk dirinya telah dikerah ke Sri Lanka, satu lagi kawasan yang teruk terjejas oleh tsunami.

Ini kerana maklumat penuh mengenai kemusnahan di Aceh belum lagi diterima.

Namun, setelah beberapa hari di Sri Lanka, Encik Hassan dan beberapa rakan kerja daripada MR mengambil keputusan bahawa mereka perlu ke Aceh setelah keadaan sebenar di sana mula mendapat perhatian.

“Saya mendapatkan nasihat daripada Encik Abdullah Tarmugi, yang merupakan penasihat MR dan juga Speaker Parlimen ketika itu.

“Mesej beliau mudah, ‘lakukan apa yang perlu’. Jadi saya dan seorang lagi rakan daripada MR langsung membuat persiapan ke Aceh,” ujarnya.

Menceritakan detik-detik awal di Aceh, beliau berkata korban jiwa dan kemusnahan yang disaksikan adalah sesuatu di luar jangkaan dan imaginasi dirinya.

“Saya tiba hampir waktu maghrib, jadi keadaan agak gelap dan tidak dapat dilihat dengan begitu jelas.

“Tetapi yang pasti ialah bau jenazah yang mula mereput menusuk hidung dan sehingga hari ini, bau itu masih segar dalam deria saya.

“Kami bermalam di sebuah bangunan sekolah di Klieng Meuria, iaitu di ‘ground zero’ (tapak paling terjejas).

“Dan bila saya bangun pada waktu subuh keesokan paginya, saya begitu terkejut kerana saya berada di tengah-tengah lautan jenazah, yang terapung-apung dan bergelimpangan.

“Ia adalah pengalaman yang tidak akan dapat saya lupakan,” ujar Encik Hassan, yang kini Penasihat Khas (Kemanusiaan) kepada badan kemanusiaan silang agama setempat, Humanity Matters (HM).

Di tengah-tengah gelora emosi itu, Encik Hassan berkata beliau dan rakannya daripada MR sedar mereka perlu bertenang kerana mereka mempunyai tugas yang besar untuk digalas.

Namun, mereka berdepan dengan cabaran hebat.

“Kami mahu berhubung dengan pemerintah tempatan di Banda Aceh untuk sama-sama melakarkan rancangan seterusnya, namun malangnya mereka juga telah menjadi mangsa korban tsunami.

“Jadi keadaan amat kecoh, bukan kerana mereka tidak bersedia atau sebagainya, tetapi kecoh kerana tiada ketua, tiada sistem infrastruktur. Segalanya telah musnah, termasuk jalan raya dan jaringan internet dan perhubungan... semuanya musnah.

“Sejujurnya, kami benar-benar rasa tak berdaya. Walaupun dengan barang bantuan yang kami bawa masuk dari Singapura, ubat-ubatan dan juga makanan, susah hendak dibawa ke tempat yang perlu kami pergi,” ujar beliau.

Sekiranya keadaan di Banda Aceh mengejutkan Encik Hassan, keadaan di Meulaboh, sebuah wilayah terpencil sekitar 240 kilometer dari Banda Aceh, lebih menyayat hati.

“Kalau saya boleh katakan, ia seolah-olah gambaran kiamat.

“Kematian dan kemusnahan di mana saja mata kami melihat. Keadaan sugul dan gundah menyelubungi setiap pelosok wilayah ini.

“Masih terbayang di benak saya, ibu-ibu yang menggunakan tangan mereka untuk menggali tanah dan runtuhan, kemudian mereka menangis kerana menemui mayat kanak-kanak yang terbujur kaku, namun itu bukan mayat anak mereka.

“Dan mereka meletakkan mayat itu di satu tempat dan mencari kain atau apa sahaja untuk menutup mayat itu,” kata Encik Hassan penuh emosi.

Pengerusi MR ketika itu, Encik Zulkifli Baharudin, pula berkata selain kemusnahan dan korban jiwa, tsunami di Aceh juga memperlihatkan semangat perpaduan manusia, tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

“Pada waktu itu, seluruh dunia datang untuk memberi pertolongan. Singapura tidak terkecuali. Bukan hanya daripada pemerintah dan badan bukan pemerintah, tapi juga daripada rakyat biasa.

“Saya ditugaskan supaya menyiapkan satu sistem pentadbiran supaya segala bantuan masyarakat Singapura berikan dapat dihulurkan dengan baik.

“Saya lihat bagaimana setiap lapisan masyarakat Singapura, tak kira bangsa dan agama, semua datang untuk bertanya bagaimana mereka dapat menghulurkan pertolongan.

“Tidak berhenti-henti orang yang menghubungi saya untuk memberi bantuan waktu itu.

“Keadaan agak tertekan kerana saya juga bekerja sepenuh masa dan ada tugas sendiri, tapi saya tidak mahu menghampakan warga Singapura,” ujar beliau.

Encik Zulkifli menekankan semangat ihsan warga Singapura yang disaksikan beliau dengan matanya sendiri, memberinya keyakinan dan harapan bahawa nilai kemanusiaan masih lagi subur dan mekar.

“Singapura, sebagai satu negara yang lebih maju kalau dibandingkan dengan sesetengah jiran kita, kita mempunyai tanggungjawab kepada mereka yang memerlukan terutama apabila berdepan dengan kesusahan seperti bencana ini. 

“Ini adalah ciri jiwa kemanusiaan yang perlu kita miliki. Dan saya harap, usaha memperingati bencana tsunami ini menjadi peringatan juga kepada masyarakat Singapura, yang kita tidak boleh melupakan tanggungjawab kita,” tambah Encik Zulkifli lagi.

Meskipun demikian, Encik Zulkifli menekankan sedang para pegawai dan relawan serta masyarakat yang menyumbang tenaga dan wang telah memainkan peranan penting, namun wira sebenarnya adalah warga Aceh itu sendiri.

“Pengalaman terlibat dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan tsunami telah memberi kekuatan kepada saya dan memberi satu kesedaran tentang tanggungjawab saya sendiri.

“Walaupun saya telah menyumbang pada waktu itu, selepas 20 tahun, sumbangan dan pengorbanan itu merupakan sesuatu yang sangat kecil sekali.

“Malah, apa yang saya terima lebih banyak dan lebih besar.

“Pengalaman itu telah memperkayakan diri saya, meningkatkan keyakinan saya terhadap kemanusiaan dan memberi kesedaran yang akan saya pegang seumur hidup,” ujar beliau.

Setelah melihat segala kemusnahan dan korban jiwa secara dekat sepanjang tempoh beliau di Aceh, Encik Hassan akur ia telah menjejas dirinya, terutama pada bulan-bulan pertama selepas beliau pulang ke Singapura.

“Saya berasakan diri saya tidak terjejas, tetapi orang-orang yang saya sayang, yang dekat dengan saya, beritahu yang saya berubah.

“Bukan saya sahaja, tetapi ini berlaku kepada ramai lagi pegawai dan relawan yang meluangkan masa di Aceh. Kami mengambil masa untuk pulih.

“Namun, saya tidak kesal dan jika kita putarkan semula masa, saya akan melakukan perkara yang sama.

“Saya tidak teragak-agak untuk membantu kerana dengan saya membantu penduduk Aceh, sebenarnya saya banyak membantu diri sendiri.

“Semasa di Aceh, saya sedar penduduk di sana bukan jenis yang suka meminta. Mereka bukan jenis yang lemah. Terdapat ketabahan yang luar biasa.

“Mungkin kerana Aceh ketika itu merupakan wilayah yang bergelut dengan pelbagai krisis, ia menjadikan penduduknya kuat semangat dan benar-benar menghargai kehidupan.

“Saya cuba mencedok semangat mereka itu dalam kehidupan saya,” kata Encik Hassan.

Mengimbas kembali sumbangan MR dan Singapura secara umum kepada Aceh, Encik Satwant berkata beliau gembira banyak bantuan yang dihulurkan telah meninggalkan kesan jangka panjang.

Antaranya ialah projek membaik pulih Sekolah dan Rumah Anak Yatim Muhammadiyah.

Direka bentuk oleh arkitek tempatan, Encik Tay Kheng Soon, MR menyelaras pembinaan sekolah Muhammadiyah yang telah dibiayai oleh Yayasan Lien, dan rumah anak yatim yang pembinaannya ditampung oleh Tabung Bantuan Tsunami Palang Merah Singapura dan Commerzbank AG.

Kos membaiki dan membaik pulih rumah anak yatim bagi 60 lelaki dan perempuan berusia antara 13 dengan 18 tahun yang musnah sebahagiannya, dianggarkan berjumlah $480,000.

MR juga membantu membangunkan lebih 100 rumah kediaman bagi penduduk Aceh.

“Saya harap bencana seperti tsunami yang melanda Aceh, Sri Lanka, Thailand dan beberapa buah negara lain tidak akan berlaku lagi.

“Tapi pengalaman saya di Aceh menunjukkan seberapa besar bencana, kemusnahan dan korban jiwa, kehidupan tetap boleh dibina semula dan diteruskan.

“Semangat penduduk Aceh bangkit daripada tsunami 20 tahun lalu menunjukkan bahawa semangat kemanusiaan itu dapat mengatasi apa sahaja,” ujar Encik Satwant.

“Tapi pengalaman saya di Aceh menunjukkan seberapa besar bencana, kemusnahan dan korban jiwa, kehidupan tetap boleh dibina semula dan diteruskan.  Semangat penduduk Aceh bangkit daripada tsunami 20 tahun lalu menunjukkan bahawa semangat kemanusiaan itu dapat mengatasi apa sahaja.”
Encik Satwant Singh, pengerusi badan bantuan kemanusiaan, Mercy Relief.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg