Bencana tsunami yang melanda Aceh 20 tahun lalu bak meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Indonesia bahawa negara itu berada dalam lingkaran api dan kejadian gempa bumi mampu berulang, kata Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo.
Encik Pratomo, yang ditemu ramah Berita Harian (BH) baru-baru ini sempena laporan khas memperingati dua dekad tsunami di Aceh, berkata peristiwa pahit yang melanda Aceh itu juga seolah-olah membawa berkat.
Antaranya kerana ia membantu menamatkan konflik antara kumpulan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), yang menuntut pemisahan wilayah tersebut, dengan pemerintah Indonesia apabila dua pihak itu bersetuju menandatangani perjanjian damai setahun selepas bencana itu, yakni pada 2005.
Gempa dasar laut Sumatera-Andaman pada 26 Disember 2004, berukuran antara 9.1 dengan 9.3 pada skala Richter, menggegarkan barat Sumatera.
Dengan sekelip mata, ia telah melanda 12 negara, selain Indonesia termasuk Malaysia, Thailand, Sri Lanka, India, Bangladesh, Myanmar, Seychelles dan Somalia.
Di Aceh, dianggarkan lebih 200,000 nyawa terkorban dan mengakibatkan 500,000 penduduk di Aceh kehilangan tempat tinggal.
“Tsunami di Aceh itu membangunkan kesedaran seluruh bangsa Indonesia bahawa negara itu berada dalam lingkaran api.
“Maka (terdapat) potensi bencana itu sentiasa berlaku mulai dari hujung barat hingga hujung timur negara itu.
“Selama ini, kita tahu Indonesia dalam lingkaran api – negara yang paling banyak dilanda bencana akibat ledakan gunung berapi, banjir dan tsunami.
“Sekarang orang ramai mula sedar dan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) kini bekerja lebih aktif (mengesan kejadian gempa),” katanya.
Indonesia melintasi ‘Lingkaran Api Pasifik’ – kawasan kegiatan seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik yang bertemu dan menyebabkan kegiatan gunung berapi serta seismik kerap berlaku.
Selain itu, Encik Pratomo menganggap hikmah di sebalik kejadian itu telah menjadikan Aceh bebas daripada keganasan menyusuli perdamaian antara GAM dengan pemerintah Indonesia.
Ini selepas pejuang GAM dan pihak pemerintah sendiri mengalami banyak korban jiwa.
“Tapi selepas (bencana) itu, mereka duduk semeja dan kemudian sepakat untuk berdamai.
“Dan sekarang Aceh menjadi sebahagian daripada Indonesia di mana tiada lagi keganasan, tiada lagi operasi ketenteraan dan Aceh kini mampu membangun.
“Dan sudah dua kali Aceh mampu adakan pilihan raya tanpa sebarang bantahan ganas,” jelas Encik Pratomo.
Menyingkap kembali kejadian tsunami itu, Encik Pratomo, yang merupakan bekas wartawan dan editor di beberapa akhbar serta saluran televisyen di Indonesia, berkata beliau telah ke Aceh sehari selepas bencana itu menimpa.
Namun ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian tersebut serta kesan skala kerosakan atau korban jiwa yang menimpa Aceh.
Menurutnya, sejurus berjaya masuk ke Aceh dengan menaiki pesawat Tentera Nasional Indonesia (TNI), beliau melihat kesan tsunami yang dahsyat di mana mayat bergelimpangan, termasuk yang sudah membengkak dan busuk, di merata tempat dalam Banda Aceh.
“Namun hari ketiga selepas berlakunya bencana itu, banyak pertubuhan yang tampil untuk hulurkan bantuan seperti menyediakan dapur awam, memasakkan makanan bagi mangsa.
“Meskipun agak kecoh, tapi ia membuat ramai yang lain tampil untuk hulurkan bantuan,” katanya.
Ini, kata Encik Pratomo, termasuk juga bantuan daripada luar seperti Singapura, Pakistan, India dan juga daripada Amerika Syarikat.
“...Bantuan dari banyak negara itu adalah sesuatu yang sangat dirasakan berharga bagi Indonesia, kerana kalau lihat, Indonesia Aceh itu ada di bahagian barat dan paling atas.
“Dan kerana Indonesia ada konflik dan operasi ketenteraan di Aceh ketika itu, tidak mudah untuk sampai ke Aceh.
“Apatah lagi kerana tsunami, jalan-jalan juga terputus sehingga satu-satunya cara memberikan bantuan adalah melalui udara,” ujar beliau.
Mengulas mengenai peranan Singapura pula semasa tsunami dua dekad lalu, Encik Pratomo menekankan ia menjadi asas kepada hubungan akrab antara kededua negara sehingga ke hari ini.
“Sampai sekarang, Indonesia selalu mengingati apa yang diberikan oleh Singapura untuk bencana tsunami Aceh 2004.
“Kerana sekali lagi, kondisi Indonesia saat itu sangat memprihatinkan. Indonesia kekurangan alat utama pertahanan yang mencukupi.
“Kerana Indonesia ketika itu, sejak 2003, dikenakan sekatan oleh negara-negara barat. Jadi helikopter (tentera) Indonesia itu tidak boleh beroperasi. Padahal itu satu-satunya cara untuk ke Aceh dan mengirimkan bantuan.
“Dan kerana itu sampai sekarang, Indonesia tidak pernah lupa bagaimana misalnya pemerintah Singapura mengirimkan helikopter Chinook sampai tiga buah, kalau tidak salah, yang boleh dipakai oleh pejabat Indonesia, pasukan kemanusiaan Indonesia untuk mengirimkan bantuan.
“Lantaran itu, saya melihat hubungan Indonesia-Singapura semakin erat. Dan saya berasakan, setelah menjadi Duta Besar di Singapura, hubungan Indonesia dengan Singapura sekarang dalam kondisi yang sangat baik.
“Ternyata bencana tsunami 20 tahun lalu memperkuat dan menjadi asas kerjasama lebih kukuh antara kedua-dua negara,” ujar Encik Pratomo.
Sementara itu, Ketua Badan Perencanaan Pembangunan Daerah Aceh, Dr Teuku Ahmad Dadek, berkata sekiranya berlaku gempa bumi atau tsunami sekali lagi, kemungkinan kehilangan harta benda dan korban jiwa dijangka berkurangan berbanding 20 tahun lalu.
Ini kerana masyarakat Aceh, kata Dr Ahmad, kini lebih sedar ke mana harus pergi sekiranya berlaku gempa bumi atau tsunami.
“Mereka tahu untuk larikan diri ke bangunan khas untuk evakuasi.
“Cuma waktu melakukan evakuasi itu, kemungkinan ramai yang akan melarikan atau membawa bersama kenderaan masing-masing.
“Padahal pada 2004 semasa tsunami melanda, ramai yang meninggal dunia kerana terperangkap dalam kenderaan mereka,” tambahnya.
Justeru beliau berharap lebih banyak kesedaran dapat dilakukan di Aceh dalam usaha mengingatkan orang ramai mengenai apa yang sebenarnya perlu dilakukan sekiranya dilanda tsunami sekali lagi.
Ini kerana beliau berasakan mereka yang lahir selepas berlakunya tsunami mungkin kurang sedar tentang kesan sebenar bencana tersebut.
“Kuncinya ialah simulasi (untuk selamatkan diri).
“Simulasi ini perlu dilakukan terus menerus dan secara besar-besaran,” katanya lagi, yang pernah menjadi ketua daerah kecil dalam kawasan Johan Pahlawan di Aceh semasa tusnami melanda.
“
“Dan kerana itu sampai sekarang, Indonesia tidak pernah lupa bagaimana misalnya pemerintah Singapura mengirimkan helikopter Chinook sampai tiga buah, kalau tidak salah, yang boleh dipakai oleh pejabat Indonesia, pasukan kemanusiaan Indonesia untuk mengirimkan bantuan. Lantaran itu, saya melihat hubungan Indonesia-Singapura semakin erat. Dan saya berasakan, setelah menjadi Duta Besar di Singapura, hubungan Indonesia dengan Singapura sekarang dalam kondisi yang sangat baik.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg