Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Musang diselamatkan dari balkoni tingkat 14

Jan 7, 2025 | 2:50 PM
Dalam satu video disiarkan Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) di Instagram pada 5 Januari, beberapa pegawai kelihatan menyelamatkan seekor musang dari balkoni sebuah rumah di tingkat 14.
Dalam satu video disiarkan Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) di Instagram pada 5 Januari, beberapa pegawai kelihatan menyelamatkan seekor musang dari balkoni sebuah rumah di tingkat 14. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM ACRES

Walaupun musang atau ‘civet cat’ biasanya ditemui di hutan, taman atau bakau, kadangkala ia juga boleh ditemui di bumbung bangunan dalam kawasan bandar.

Ini dibuktikan dalam satu video yang disiarkan Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) di Instagram pada 5 Januari.

Video itu menunjukkan detik mendebarkan ketika pegawai Acres menyelamatkan seekor musang dari balkoni sebuah rumah di tingkat 14.

Menurut kapsyen video tersebut, haiwan liar itu memanjat ke balkoni, membuat pegawai Acres yang hadir di lokasi, risau.

“Pegawai risau tentang risiko haiwan itu jatuh dari ketinggian dan menggunakan apa sahaja peralatan yang tersedia untuk menghalang kemungkinan ia berlaku,” tulis Acres dalam hantaran tersebut.

Dalam video itu, beberapa pegawai dilihat menggunakan payung untuk menghalang musang daripada melompat keluar daripada balkoni tersebut.

Seorang pegawai pula menggunakan penyapu untuk memujuk musang itu turun, tetapi haiwan liar itu secara tiba-tiba melompat ke lantai balkoni.

Namun, salah seorang pegawai berjaya bertindak pantas dan mengarahkan musang tersebut masuk ke dalam rumah.

“Kami berjaya menyelamatkan haiwan itu dengan selamat dan melepaskannya di habitat yang sesuai,” tambah Acres.

Menurut laman Lembaga Taman Negara (NParks), musang ialah haiwan yang biasa ditemui di Singapura, termasuk di kawasan bandar.

Haiwan itu bersifat nokturnal atau aktif pada waktu malam, serta suka hinggap di pokok dan tempat tinggi.

NParks juga menyatakan di laman tersebut bahawa musang memainkan peranan penting dalam ekosistem dengan membantu penyebaran biji benih apabila memakan buah-buahan dan kemudian membuang air besar.

“Ini membantu memelihara kesihatan hutan di Singapura. Selain itu, musang juga bertindak sebagai kawalan perosak biologi, dengan memakan tikus dan serangga perosak, mengawal populasi mereka,” jelas NParks.

Namun begitu, NParks menasihatkan orang ramai agar tidak panik jika terserempak dengan musang.

“Seperti kebanyakan haiwan liar lain, musang bersikap pemalu dan biasanya akan mengelak orang.

“Pemerhatian dari jauh dibenarkan, tetapi orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengepung atau mengejar haiwan itu kerana ia mungkin bertindak agresif untuk melindungi diri sendiri,” nasihat NParks.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg