Percakapan dan berkomunikasi adalah suatu nikmat dan anugerah Allah swt buat manusia.
Ia membezakan manusia daripada makhluk lain, dan menjadi asas komunikasi, ilmu, dan penyampaian dakwah.
Firman Allah swt: “Dialah yang menciptakan manusia. Dia mengajarnya pandai berbicara.” (Surah Ar-Rahman, ayat 55: 3-4)
Dengan berinteraksi dan berkomunikasi serta menghubungkan persaudaraan akan mendatangkan banyak manfaat terhadap individu dan manusia secara keseluruhannya.
Dijelaskan juga di dalam surah Al-Hujurat, ayat 13, bahawa Dia (Allah) menciptakan lelaki dan perempuan, berbangsa dan bersuku-suku supaya mereka itu saling kenal-mengenal antara satu dengan yang lain.
Ini membuktikan komunikasi amatlah penting untuk berhubung sesama manusia dan meraih manfaat daripadanya.
Membicarakan tentang bercakap atau komunikasi, Allah swt bukan sahaja mengajar manusia supaya pandai berkata-kata, malah diajarnya adab bagaimana berbicara sesama manusia.
Disebabkan manusia yang pandai bercakap (berkomunikasi) tetapi tidak dengan adab dan kesopanan yang ditunjukkan Al-Quran dan sunah Nabi-Nya, maka rosaklah matlamat perbicaraan atau perbincangan dan tidak akan mudah dicapai sebarang kesepakatan, sebaliknya akan runtuhlah perhubungan sesama manusia.
Justeru, Allah mengajar manusia adab berkomunikasi. Antaranya:
Firman Allah: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (ahsanu), sesungguhnya syaitan menimbulkan perselisihan antara mereka...” (Surah Al-Isra’, ayat 17:53)
Maknanya, dalam komunikasi hendaklah menggunakan perkataan yang baik dan sesuai bagi pendengar bukan bahasa kesat dan kasar.
Rasulullah saw bersabda: “Setiap ucapan yang baik adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Firman Allah swt: “Maka berbicaralah kamu berdua (Musa dan Harun) kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia beringat atau takut.” (Surah Taha, ayat 20:44)
Hendaklah berbicara dengan perkataan yang baik dengan intonasi yang menyenangkan pendengar.
Nabi saw ditegur Allah swt kerana bermasam muka dengan orang yang buta.
Firman Allah: “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, (1) kerana telah datang seorang buta kepadanya.” (2) Surah Abasa (ayat 80:1 & 2). Islam mengajar agar sentiasa bermanis muka, dan wajah yang mesra sebelum berbicara.
Jika tiada apa yang hendak diucapkan dan tiada sebarang kepentingan, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kesimpulannya, berbicara adalah nikmat Allah swt yang perlu dijaga.
Pilihlah kata-kata yang lembut, walaupun kepada musuh kita, kerana lidah yang bijak, mampu menenangkan hati dan jiwa.
Jadikan setiap perbicaraan kita sebagai jambatan kebaikan, menabur kasih sayang, dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
Gunakan nikmat berbicara ini dengan bijak agar memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang di sekeliling kita.
Penulis merupakan Ketua Pembangunan Masyarakat di Masjid Alkaff Kampung Melayu.
SEKILAS:
1. Sumbangan boleh dilakukan di masjid atau hubungi talian 6242-7244 untuk perincian selanjutnya.
2. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg