Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Alkaff teruskan misi masyarakat berdaya saing dengan Forum Ibu Bapa & AI

Daya usaha memperkasa keluarga hadapi cabaran teknologi
Aug 15, 2025 | 5:30 AM
Bersama penganjur dan peserta Larian Komuniti Hayya Bersama: Yalla Run & Teraweights berlangsung pada 9 Ogos lalu, dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan.  
Bersama penganjur dan peserta Larian Komuniti Hayya Bersama: Yalla Run & Teraweights berlangsung pada 9 Ogos lalu, dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan.   - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Kejayaan program Larian Komuniti Hayya Bersama: Yalla Run & Teraweights, yang menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai peringkat usia, telah membangkitkan semangat kekitaan yang jelas terpancar sepanjang acara. Larian ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kecergasan fizikal, malah turut mempererat hubungan antara pihak masjid dan kumpulan kecergasan dengan para peserta.

Daripada semangat komuniti inilah lahirnya iltizam bagi Masjid Alkaff Kampung Melayu supaya terus memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat. Kali ini, melalui aspek yang lebih mikro iaitu kekeluargaan.

Dalam dunia yang berkembang pesat, generasi muda kini membesar dengan teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Mereka bakal menjadi pemimpin masa hadapan, dan ibu bapa serta penjaga perlu diperkasa dengan ilmu dan kemahiran menggunakan teknologi ini, demi membimbing anak-anak dengan bijaksana.

Sehubungan itu, program perbincangan Parents in the Age of AI: Where is Our Voice, atau Ibu Bapa pada Zaman AI: Di Mana Pengaruh Kita, yang diilhamkan oleh Eksekutif Acara & Penyelidikan di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Muhamad Irwan Saian turut dirancang.

Perbincangan ini akan diadakan pada Sabtu, 23 Ogos, bermula pada 7.30 malam hingga 9.30 malam, bertempat di masjid tersebut. Tiada bayaran pendaftaran dikenakan.

“Kami melihat perkembangan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), telah membawa perubahan yang besar kepada cara anak-anak kita belajar, berfikir dan berinteraksi. Tajuk ini dipilih kerana kami ingin mengajak ibu bapa kembali menjadi suara utama dalam membimbing anak-anak di tengah arus teknologi, bukan sekadar pemerhati dari jauh.

“Program ini juga boleh menjadi platform bagi ibu bapa dan penjaga membincangkan cabaran, peluang serta peranan mereka dalam era teknologi ini,” ujar Ustaz Muhamad Irwan.

Menurutnya lagi, isu keibubapaan dan AI perlu dibincangkan secara terbuka kerana AI bukan lagi teknologi masa depan, ia sudah berada di dalam bilik darjah, media sosial, permainan dan aplikasi harian anak-anak.

“Jika perbincangan ini tidak diadakan, jurang kefahaman antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi semakin besar. Malah, peluang membentuk mereka dengan nilai dan prinsip yang betul akan terlepas.

“Mesej utama forum ini jelas. Teknologi boleh menjadi alat bermanfaat jika digunakan dengan bijak dan berpandukan nilai murni. Namun, peranan ibu bapa tidak boleh diganti, mereka mesti menjadi suara, contoh dan pelindung anak-anak dalam dunia digital,” katanya dengan kesungguhan.

Realiti kehidupan anak-anak dalam era AI

Beliau menambah, anak-anak hari ini membesar dengan maklumat tanpa sempadan, rakan maya dari seluruh dunia, dan algoritma yang mempengaruhi minat, emosi dan pemikiran mereka. AI bukan sekadar membantu, ia membentuk cara mereka melihat dunia, membuat keputusan dan membina identiti.

“Cabaran terbesar yang dihadapi ibu bapa pada abad ini ialah mengawal pendedahan anak-anak kepada teknologi. Pada masa yang sama, mereka perlu memastikan anak-anak tidak ketinggalan agar mereka dapat membezakan fakta daripada palsu di tengah limpahan maklumat, serta menanamkan nilai murni walaupun teknologi sering mempromosikan budaya pantas dan hiburan tanpa batas.

“Suara ibu bapa mesti menjadi penapis, panduan dan penentu arah. Kita perlu hadir dalam kehidupan digital anak-anak, bukan sekadar memberi peraturan, malah terlibat secara aktif seperti berbual, memahami dan membimbing mereka dalam membuat pilihan yang tepat,” tegas Ustaz Irwan.

Ahli panel forum

Pemilihan ahli panel forum ini dibuat dengan teliti, menggabungkan ilmu agama, pengalaman keibubapaan dan kefahaman teknologi:

1. Ustaz Mizi Wahid – Membawa perspektif nilai dan etika Islam dalam membimbing keluarga dalam era moden.

2. Didicazli – Artis, pendidik dan bapa yang memahami cabaran anak muda dalam era digital.

3. Nura J – Moderator bagi sesi kali ini ialah seorang selebriti, usahawan yang juga seorang ibu, berkongsi pengalaman peribadi dan pandangan masyarakat.

Forum ini akan menggabungkan wacana ilmiah, perkongsian pengalaman dan sesi soal jawab interaktif. Peserta boleh membawa soalan atau isu sebenar yang mereka hadapi di rumah.

Sesi soal jawab (Q&A) pada akhir program memberi peluang peserta bertanya secara langsung kepada ahli panel.

Harapan dan impak kepada masyarakat

Forum ini selari dengan visi Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk membina masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak, serta mampu menghadapi cabaran moden tanpa meninggalkan nilai Islam.

Selepas forum ini, pihak penganjur merancang menerbitkan ringkasan perbincangan dan panduan ringkas untuk ibu bapa. Jika sambutan menggalakkan, siri lanjutan dengan tajuk khusus seperti keselamatan siber dan kawalan masa skrin akan dianjurkan.

Forum ini dibuka kepada semua golongan, ibu bapa, guru, remaja, datuk nenek, malah mereka yang ingin mengeratkan semula hubungan kekeluargaan setelah lama terpisah.

“Jika anda pernah tertanya-tanya bagaimana teknologi mempengaruhi anak-anak atau bagaimana untuk menjadi pembimbing terbaik buat mereka, inilah peluangnya. Datanglah, beramai-ramai, dengar, bertanya, dan pulang dengan panduan yang boleh terus diamalkan di rumah,” tambah Ustaz Muhamad Irwan.

SEKILAS:

Derma kepada dana peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu melalui:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.

* Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg