Masjid Alkaff Kampung Melayu dengan kerjasama kumpulan, Yalla Run, daripada Masjid Al-Istighfar dan kumpulan senaman, Teraweights, akan menganjurkan Larian Komuniti buat julung-julung kalinya pada 9 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan Singapura.
Lebih daripada sekadar kegiatan riadah, program itu menekankan kesihatan, perpaduan dan sokongan terhadap institusi masjid.
Menurut Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman, acara larian sempena Hari Kebangsaan itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat, malah turut mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif.
Melalui penyertaan dalam kegiatan fizikal seperti larian, para peserta didorong agar menjaga kesihatan serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama anggota masyarakat.
Ia juga mencerminkan usaha masjid dalam mendekati masyarakat menerusi program yang bersifat terangkum, mesra keluarga dan berteraskan nilai murni.
“Larian ini satu kegiatan santai untuk semua; tidak kira sama ada anda pelari tegar, baru mula berlari, ataupun sekadar mahu berjalan bersama keluarga.
“Ia diadakan sempena Hari Kebangsaan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Singapura.
“Program ini dianjurkan oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu, dengan kerjasama kumpulan, Yalla Run, daripada Masjid Al-Istighfar dan kumpulan senaman dan jurulatih profesional daripada Teraweights.
“Ia terbuka kepada semua. Lelaki, kaum Hawa, muda, berusia, individu atau keluarga. Tiada bayaran dikenakan, tiada pendaftaran, cuma hadir dan ikut serta acara tersebut,” jelas Ustazah Nursakina.
Beliau turut menambah bahawa dalam program itu, Masjid Al-Istighfar berasa amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Bukan sahaja dalam mempromosikan gaya hidup sihat, bahkan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat Islam tentang Projek Naik Taraf Masjid (MUP) Masjid Alkaff Kampung Melayu.
“Kami tidak bersaing, tetapi saling menyokong. Apabila dua masjid bergabung dalam satu program, kita dapat mencapai dua matlamat sekali gus. Mengekalkan semangat aktif sambil mengetengahkan projek pembinaan semula masjid kami yang perlukan sokongan masyarakat.
“Di samping itu, kami juga mampu memupuk gaya hidup sihat dan semangat kebersamaan. Daya usaha ini juga diharap dapat buka mata peserta terhadap perkembangan Projek Naik Taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Ustazah Nursakina menambah: “Ramai yang masih belum menyedari bahawa sebahagian besar kawasan Masjid Alkaff Kampung Melayu kini sedang rancak dinaik taraf.
“Namun, masjid tetap dibuka kepada umum dan kami terus aktif dalam menjalankan kegiatan harian seperti biasa.
“Melalui program seperti ini, kami ingin menunjukkan bahawa walaupun dalam fasa perubahan, peranan masjid sebagai pusat masyarakat tetap diteruskan dengan semangat.”
Program yang disediakan bermula dengan pengisian rohani. Bermula pada Sabtu, 9 Ogos 2025:
* 4.30 pagi – Qiamullail berjemaah
* Solat subuh dan tazkirah ringkas
* 6.45 pagi: Pemanasan badan bersama Teraweights
* Larian atau jalan santai di kawasan taman Bedok Reservoir
* Diakhiri dengan jamuan ringan (diadakan di Masjid Alkaff Kampung Melayu)
“Pemilihan tarikh 9 Ogos bukanlah satu kebetulan. Ia merupakan hari bagi kita meraikan perpaduan, dan apa cara yang lebih baik selain bersama berjemaah, berzikir, dan berlari pada pagi Hari Kebangsaan.
“Dalam Islam, kita digalakkan agar hidup sihat, menyemai kasih sayang sesama insan, dan mencintai tanah air. Perpaduan, kesihatan dan semangat kenegaraan adalah nilai-nilai murni yang seiring dengan ajaran Islam. Maka, program ini bukan sekadar kegiatan fizikal, bahkan satu usaha membina jiwa dan masyarakat yang kuat, sihat dan bersatu.
“Kami harap ini menjadi permulaan kepada siri kegiatan bulanan bertemakan kesihatan. Lebih daripada itu, kami mahu jemaah melihat bahawa masjid bukan sekadar tempat solat, malah tempat mereka membina hubungan, mengukuhkan kesihatan, dan menyumbang untuk masa depan,” ujar Ustazah Nursakina dengan penuh harapan.
Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap program ini menjadi titik permulaan kepada rangkaian kegiatan bulanan yang bertemakan kesihatan, sekali gus mengukuhkan lagi peranan masjid sebagai pusat masyarakat yang dinamik dan menyeluruh, bukan sekadar tempat ibadah semata-mata.
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg