Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada membuat dakwaan tidak berasas terhadap badan kehakiman selepas Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh didenda kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen.
Dalam satu kenyataan pada 17 Februari, AGC berkata bahawa menerbitkan dengan sengaja sebarang komen yang mengandungi dakwaan tidak berasas dan membuat cadangan berat sebelah terhadap badan kehakiman boleh membawa kepada penghinaan mahkamah di bawah Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016.
Kenyataan itu dibuat selepas AGC mendapati komen dalam talian berikutan keputusan mahkamah dalam kes Encik Pritam.
Ketua Pembangkang itu didapati bersalah atas dua pertuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) apabila ia bersidang pada November 2021 dan dikenakan denda $14,000.
“Walaupun kami menghormati hak orang ramai untuk mengulas mengenai keputusan mahkamah, orang ramai harus mengelak daripada membuat tuntutan tidak berasas terhadap badan kehakiman atau pendakwaan,” kata AGC dalam kenyataannya.
Ia menambah terdapat beberapa kes sebelum ini di mana tokoh politik terkenal telah didakwa termasuk kes baru-baru ini melibatkan bekas menteri.
“Pihak pendakwaan mengambil serius misinya untuk menegakkan undang-undang tanpa mengira status atau kedudukan seseorang tertuduh,” ujar AGC.
AGC menggesa orang ramai untuk terlibat dalam “perbincangan yang membina” sambil menghormati proses undang-undang dan prinsip keadilan yang menyokong negara.
Denda yang dikenakan ke atas Encik Pritam itu adalah jumlah maksimum yang diminta pihak pendakwa, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pendakwa Raya (DCP) Wong Woon Kwong.
Jumlah denda yang diminta pendakwa telah disangkal oleh peguam belanya, Encik Andre Jumabhoy, yang berhujah bahawa jumlah denda bagi setiap tuduhan tidak seharusnya melebihi $4,000.
Encik Pritam merupakan individu pertama sejak kemerdekaan negara pada 1965 yang didakwa dan didapati bersalah di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) atau PPIPA.
Di bawah PPIPA, adalah menjadi satu kesalahan untuk berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Parlimen atau jawatankuasanya.
Kesalahan di bawah seksyen itu adalah denda hingga $7,000 atau dipenjara hingga tiga tahun, atau kededuanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg