Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ELD: Hukuman tidak kecualikan Pritam daripada bertanding dalam GE

Pritam sahkan mahu bertanding dalam GE akan datang
Feb 17, 2025 | 8:38 PM
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (tengah) bercakap dengan pihak media selepas hukuman dijatuhkan ke atasnya pada 17 Februari.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (tengah) bercakap dengan pihak media selepas hukuman dijatuhkan ke atasnya pada 17 Februari. - Foto CMG

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, yang didenda $7,000 bagi setiap dua tuduhan kerana berbohong kepada sebuah jawatankuasa parlimen, tidak akan kehilangan kerusi Parlimen atau hilang kelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 17 Februari.

Dalam satu kenyataan, ELD menyatakan kesalahan berasingan tidak boleh ditambah secara bersama bagi tujuan melucutkan kelayakan seseorang Anggota Parlimen (AP) kerana di bawah Artikel 45 (1) (e) Perlembagaan Singapura, pelucutan kelayakan bagi hukuman yang dikenakan adalah bagi satu kesalahan.

“Jika seseorang dikenakan pelbagai kesalahan dan hukuman yang dikenakan bagi setiap kesalahan itu tidak mencapai had kelayakan hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang daripada $10,000, mereka tidak disingkirkan daripada menjadi AP,” umum ELD.

Ini susulan Encik Pritam, juga Setiausaha Agung WP dan Ketua Pembangkang, didenda sebanyak $14,000 setelah didapati bersalah atas dua tuduhan berbohong secara bersumpah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Bercakap kepada media di luar mahkamah pada 17 Februari, Encik Pritam berkongsi bahawa beliau akan tetap bertanding bagi pilihan raya akan datang dan sudah tiba masanya bagi beliau bergerak ke hadapan, bukan mengundur diri.

“Saya telah dinasihatkan bahawa undang-undang itu agak jelas, pemahaman saya adalah bahawa ELD akan mengeluarkan sesuatu (kenyataan) nanti hari ini.

“Sejajar dengan nasihat yang saya terima dan yang telah diberikan kepada saya, saya akan bertanding dalam pilihan raya umum (akan datang),” kongsinya yang juga telah mengarahkan pasukan guamannya untuk menghantar notis rayuan dan menyemak keputusan bertulis yang dikenakan ke atasnya dengan lebih terperinci.

Encik Pritam juga mengesahkan bahawa semangat parti (WP) tidak terjejas, sambil menyatakan bahawa politik pembangkang adalah jalan yang sukar dan mencabar.

“Semangat parti, setakat apa yang saya faham, tidak terjejas.

“Jalan memilih politik pembangkang bukan bagi mereka yang lemah semangat, dan saya bersyukur serta berasa terhormat dapat berada bersama-sama ahli parti lain yang bekerja keras untuk memberi alternatif kepada rakyat Singapura, khususnya dalam memastikan sistem ‘semak dan imbang’ (kaedah memantau tindakan parti pemerintah di Parlimen),” tambahnya.

Dalam pada itu, AP GRC Aljunied, Cik Sylvia Lim, memaklumkan bahawa WP tidak akan mengulas tentang merit kes tersebut kerana undang-undang harus dijalankan.

“WP tidak asing daripada menghadapi cabaran dan kami akan bangkit menghadapi situasi ini, seperti yang telah kami lakukan banyak kali sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada semua yang telah berdiri bersama kami dalam masa senang dan susah, dan kami akan terus bekerja keras untuk memperoleh sokongan semua rakyat Singapura,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook WP pada 17 Februari.

Di mahkamah pada 17 Februari, apabila kes Encik Pritam bermula pada 9.30 pagi, kerusi di dalam bilik mahkamah dipenuhi pihak media dan orang awam.

Beberapa orang awam tiba lebih awal dengan seorang daripadanya beratur untuk mendapatkan tiket seawal sebelum 6 pagi.

Hanya 43 tiket dikeluarkan untuk memasuki bilik mahkamah tersebut.

Turut berada di dalam bilik mahkamah adalah AP WP seperti Encik Jamus Lim, Encik Gerald Giam dan Encik Dennis Tan. Mereka memakai kemeja lengan pendek dengan warna biru WP, yang turut dipakai Encik Pritam. 

Ayah Encik Pritam, Encik Amarjit Singh, dilihat berinteraksi bersama anaknya dan peguam pihak pembela Encik Pritam, Encik Andre Jumahbhoy dan Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang.

Encik Pritam kelihatan tenang ketika keputusan mahkamah dibacakan Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan di dalam bilik mahkamah.

“Sejajar dengan nasihat yang saya terima dan yang telah diberikan kepada saya, saya akan bertanding dalam pilihan raya umum (akan datang). “Semangat parti, setakat apa yang saya faham, tidak terjejas. “Jalan memilih politik pembangkang bukan bagi mereka yang lemah semangat, dan saya bersyukur serta berasa terhormat dapat berada bersama-sama ahli parti lain yang bekerja keras untuk memberi alternatif kepada rakyat Singapura, khususnya dalam memastikan sistem ‘semak dan imbang’.”
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg