Pengasas kumpulan antivaksin, Iris Koh, dan suaminya hadir di Mahkamah Tinggi pada 15 Julai selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon agar mereka diisytiharkan sebagai litigan yang menyusahkan.

Litigan yang menyusahkan ialah individu yang berulang kali memulakan prosiding undang-undang tanpa alasan munasabah, sama ada untuk mengganggu pihak lawan atau menyalahgunakan proses mahkamah.

AGC memohon supaya Koh, 50 tahun, pengasas Healing the Divide, dan suaminya Raymond Ng, 53 tahun, mendapatkan kebenaran mahkamah sebelum memulakan atau meneruskan tindakan sivil.

Di depan Hakim Hoo Sheau Peng pada 15 Julai, Peguam Negara Kanan, Encik Vincent Leow, berkata nampak jelas pasangan itu menjadikan litigasi sebagai jalan penyelesaian segera.

“Setiap kali mereka merasakan diri dizalimi, naluri mereka ialah menyaman,” katanya.

Encik Leow berkata mereka kerap menyaman pelbagai individu dan organisasi, selain mengumpul dana melalui crowdfunding (kempen mengumpul dana beramai-ramai dalam talian) bagi membiayai yuran guaman.

“Saya memohon Yang Arif supaya meneliti perkara ini secara menyeluruh. Mengumpul dana beramai-ramai dalam talian bagi satu kes tidak menjadikan seseorang litigan yang menyusahkan. Tetapi setiap kali mereka menyaman, ia dibuat tanpa asas,” jelasnya.

Beliau berkata apabila mahkamah mendapati mereka menyalahgunakan proses mahkamah, dana itu digunakan untuk membayar kos dan menambah baik sistem kecerdasan buatan (AI) mereka.

Ng sebelum ini mengumumkan beliau membangunkan sistem AI khusus untuk menyaman orang atas dakwaan fitnah.

Di laman webnya, beliau mendakwa sistem itu mampu menyaman ribuan orang tanpa peguam.

Encik Leow menyifatkan tindakan pasangan itu sebagai “model perniagaan berasaskan peperangan” dan berhujah bahawa menggunakan litigasi untuk menakut-nakutkan orang serta mengumpul dana merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau turut membangkitkan beberapa prosiding sivil, termasuk permohonan semakan kehakiman terhadap Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berhubung penggunaan selebriti untuk memasarkan vaksin Covid-19.

Dalam kes itu, Koh dan Ng didapati menyalahgunakan proses mahkamah dan diperintahkan membayar kos $12,000.

Encik Leow turut merujuk laporan koroner mengenai kematian Geno Ong Kay Yong, 46 tahun, akibat bunuh diri pada September 2024 selepas menghadapi tekanan kewangan, sebahagiannya akibat dua saman fitnah oleh Ng.

Laporan itu menyatakan Ong menulis dalam nota dan hantaran Facebook bahawa kos guaman yang meningkat kepada antara S$55,000 hingga S$65,000 menjadi antara punca tindakannya.

Ng diwakili Daniel Koh daripada Eldan Law, manakala Koh diwakili Nicholas Jeyaraj Narayanan daripada Nicholas & Tan Partnership.

Peguam Ng membantah permohonan AGC dengan berhujah bahawa anak guamnya berhak memulakan tindakan undang-undang apabila ada alasan sah.

Beliau berkata Ng sering menjadi sasaran serangan media sosial dan sebenarnya ialah mangsa, selain bakal menghadapi kelewatan jika perlu mendapatkan kebenaran mahkamah bagi setiap tindakan.

Perbicaraan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian untuk hakim membuat keputusan.