Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

AGC semak hasil siasatan terbaru, dapati tindakan lanjut tidak perlu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

AGC semak hasil siasatan terbaru, dapati tindakan lanjut tidak perlu

Feb 06, 2024 | 06:22 PM



Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menyemak dapatan siasatan terbaru Pasukan Polis Singapura (SPF) mengenai dakwaan mendiang Sarjan Uvaraja Gopal dan menentukan “tiada tindakan lanjut diperlukan”.

Sebagai sebahagian daripada siasatan itu, saksi, termasuk pegawai dan anggota yang masih bersama SPF serta bekas pegawai telah ditemui untuk membantu dalam siasatan. 

Dokumentasi dan rekod lalu juga diteliti, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam, semasa Parlimen bersidang pada 6 Februari.

Siasatan polis mendapati, beberapa dakwaan yang dibuat Sarjan Uvaraja tentang pengalamannya sebagai anggota polis, adalah tidak benar.

Bagi dakwaan yang didapati mempunyai kebenarannya, siasatan lanjut telah pun dijalankan, dan tindakan diambil pada ketika itu juga, dengan pegawai terlibat dikenakan tindakan disiplin atau hukuman.

Sebagai menghormati mendiang dan mempertimbangkan perasaan keluarganya, Encik Shanmugam berkata, beliau tidak akan membincangkan dengan lanjut tentang butiran dapatan tersebut, tetapi adalah demi kepentingan awam dakwaan tersebut ditangani. 

Dalam catatan Facebook pada 21 Julai 2023, Sarjan Uvaraja, 35 tahun, mendakwa beliau dibuli di tempat kerja oleh pihak atasan dan berdepan dengan ucapan berbaur perkauman oleh rakan-rakan pasukannya, antara lain.

Beliau meninggal dunia di hospital pada hari yang sama setelah ditemui terbujur di kolong blok HDB di Yishun. 

Berikutan kematian Sarjan Uvaraja, Encik Shanmugam pada Julai 2023 telah meminta polis menyiasat semula beberapa dakwaan diskriminasi kaum dan buli di tempat kerja.

“Siasatan menyeluruh adalah penting. Jika berlaku salah laku, ia mesti ditangani dan pegawai yang ingkar mesti dikenakan tindakan.

“Jika kita tidak berbuat demikian, lama-kelamaan, orang ramai akan hilang kepercayaan kepada polis,” kata Encik Shanmugam ketika menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen.

“Namun, jika dakwaan itu tidak berasas, fakta mesti dinyatakan dan kita mesti mempertahankan polis secara terbuka dan teguh.

“Jika ini tidak dilakukan, dan kebenaran dibiarkan berleluasa, semangat dalam SPF akan merosot, dan kepercayaan orang ramai akan terhakis.”

Tiga aduan yang dibuat Sarjan Uvaraja tentang ejekan nama, borang cuti yang dikoyakkan serta penggunaan bahasa kesat oleh pihak atasan semuanya telah disiasat, menurut Encik Shanmugam.

Sekiranya aduan itu didapati benar, tindakan telah diambil apabila aduan dibuat, manakala bagi aduan yang tidak benar, Sarjan Uvaraja juga telah dimaklumkan tentang dapatan siasatan bagi aduannya. 

Namun begitu, beliau tidak meneruskan cadangan untuk membuat aduan rasmi.

Encik Shanmugam turut berkongsi dapatan daripada dakwaan cuba menutup salah laku pegawai lain yang merokok, disekat secara tidak adil serta pengasingan yang disebut oleh Sarjan Uvaraja dalam catatan Facebook beliau sebelum kematiannya.

Dalam menangani gangguan dan rungutan di tempat kerja, pasukan Home Team mempunyai rangka kerja yang tersendiri, kata Encik Shanmugam, sambil menegaskan tiada ruang untuk membiarkan sebarang bentuk diskriminasi.

Beliau berkata: “Tanggungjawab itu bermula di peringkat atasan, daripada saya, turun melalui pengurusan MHA (Kementerian Ehwal Dalam Negeri), hinggalah kepada kepimpinan agensi masing-masing, dan seterusnya ke bawah.”

Encik Shanmugam menambah, tonggak teras rangka kerja tersebut ialah latihan, dan kakitangan baru dilatih mengenai kod etika SPF, gangguan di tempat kerja dan tindakan yang perlu diambil jika mereka menjadi mangsa atau saksi.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata saluran laporan organisasi rasmi adalah perlu, walaupun ia tidak mencukupi. 

Beliau menegaskan, setiap pegawai memainkan peranan penting untuk memastikan tempat kerja kekal selamat untuk semua orang.

Para pegawai juga menghadiri program dan latihan agar dapat memperkasa diri mereka dengan kemahiran untuk mencegah dan mengesan gangguan di tempat kerja. 

Dr Faishal menambah beliau bersama Encik Shanmugam, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, serta pengurusan kanan Pasukan Home Team, kerap melibatkan pegawai dalam sesi-sesi dialog bagi memahami cabaran yang mereka hadapi.

“MHA mengambil pendirian tegas terhadap gangguan di tempat kerja dan diskriminasi kaum. Kami memandang serius semua dakwaan seperti ini dan melakukan siasatan dengan teliti,” tegas Dr Faishal. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >