Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Agensi bantu mangsa hadapi bahaya dalam talian bakal ditubuh

Agensi boleh arah pelaku henti tindakan dalam kes seperti buli siber atau sebar gambar intim
Oct 1, 2024 | 9:00 PM
Satu agensi pemerintah baru bakal ditubuhkan untuk menyokong mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian mendapatkan bantuan dalam tempoh sewajarnya. Agensi itu akan diberikan kuasa penguatkuasaan melalui rang undang-undang baru yang akan diperkenalkan pada 2025.
Satu agensi pemerintah baru bakal ditubuhkan untuk menyokong mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian mendapatkan bantuan dalam tempoh sewajarnya. Agensi itu akan diberikan kuasa penguatkuasaan melalui rang undang-undang baru yang akan diperkenalkan pada 2025. - Foto PIXABAY

Sebuah agensi pemerintah yang baru bakal ditubuhkan untuk menyokong mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian, seperti pembulian siber dan gangguan, mendapatkan bantuan undang-undang.

Penubuhan agensi ini merupakan sebahagian daripada tonggak ‘Kepercayaan’ bagi wawasan Negara Bijak 2.0, yang antara lain bertujuan mengukuhkan usaha Singapura menangani kegiatan dalam talian yang berbahaya.

Penubuhan agensi ini diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu majlis pelancaran Negara Bijak 2.0 di Daerah Digital Punggol pada 1 Oktober.

Encik Wong berkata pemerintah akan menyokong mangsa dengan bantuan lebih pantas dan berkesan.

“Mereka (mangsa) harus dapat beralih kepada sumber sokongan yang pantas dan adil, yang boleh bertindak bagi pihak mereka untuk mengarahkan pelaku dan penyedia perkhidmatan bagi menghentikan bahaya,” ujar Encik Wong.

Susulan majlis itu, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam satu kenyataan pada 1 Oktober berkata agensi itu akan diberikan kuasa penguatkuasaan melalui rang undang-undang baru yang akan diperkenalkan pada 2025.

MDDI menambah ia sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Undang-Undang (MinLaw) untuk memperhalusi butiran operasi agensi ini dan maklumat lanjut bakal diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.

Penubuhan agensi ini menjadikan Singapura antara negara pertama di dunia yang mempunyai agensi pemerintah khusus sedemikian, kata MDDI.

“Kami ingin memperkenalkan rang undang-undang baru untuk membolehkan mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian seperti pembulian siber dan salah guna penyebaran gambar intim mengambil tindakan sivil terhadap pelaku.

“Agensi baru ini juga akan ditubuhkan untuk menyokong mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian mendapatkan bantuan dalam tempoh sewajarnya daripada bahaya dalam talian tertentu dan mempromosikan tingkah laku dalam talian secara bertanggungjawab,” tambah MDDI.

Di bawah mekanisme pelaporan, MDDI menjelaskan mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian tertentu boleh menghantar permohonan kepada agensi baru ini untuk mendapatkan tebus rugi.

Agensi tersebut akan bertindak bagi pihak mangsa untuk mengarahkan pelaku dan penyedia perkhidmatan dalam talian seperti pihak media sosial agar memberhentikan atau menurunkan bahan yang didapati mengandungi unsur bahaya dalam talian terhadap si mangsa, ujar MDDI.

“Hal ini memberikan jaminan tambahan, di samping fungsi pengawalseliaan sedia ada dan proses mahkamah yang tersedia hari ini serta meningkatkan keselamatan dalam talian untuk pengguna di Singapura,” kata MDDI.

Pendekatan agensi baru ini, tambah MDDI, serupa dengan agensi eSafety Commissioner atau Pesuruhjaya eKeselamatan di Australia – yang ditubuhkan pada 2015 bagi menyiasat pembulian siber terhadap kanak-kanak, salah guna siber dalam kalangan dewasa, salah guna penyebaran gambar dan penyebaran kandungan haram atau dilarang.

Bagi melengkapkan usaha agensi tersebut menyokong mangsa yang menghadapi bahaya dalam talian, ia akan turut mempergiatkan usaha pendidikan awam, termasuk meningkatkan kesedaran terhadap risiko bahaya dalam talian, antara lain.

Penubuhan agensi ini dipacu hasil tinjauan SG Her Empowerment (SHE) pada 2023, yang mendapati hampir 2 daripada 5 (38 peratus) responden mengalami bahaya dalam talian secara peribadi.

Tinjauan itu dijalankan ke atas 1,056 warga Singapura untuk memahami kelaziman dan kesan bahaya dalam talian terhadap penduduk Singapura dan bagaimana kesan ini mungkin berbeza merentas segmen penduduk, antara lain.

Ini selain tinjauan MDDI pada 2024, yang mendapati dalam kalangan mereka yang melaporkan kandungan bahaya kepada media sosial, seramai lapan daripada 10 responden mengalami isu dengan proses laporan – bahan bahaya dalam talian ini boleh tular secara mudah dan memberi kesan meluas kepada mangsa.

Oleh itu, kepantasan respons terhadap bahan sedemikian menjadi semakin penting, tambah MDDI.

Singapura mempunyai beberapa undang-undang sedia ada bagi menangani bahaya dalam talian.

Antaranya ialah Akta Keselamatan Dalam Talian (Pelbagai Pindaan), yang berkuatkuasa pada Februari 2023.

Akta ini membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada wadah media sosial supaya menghapuskan kandungan berbahaya, termasuk kiriman media sosial yang menggalak perbuatan bunuh diri, eksploitasi seksual kanak-kanak dan pengganasan.

Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) yang diperkenalkan pada 2019 pula adalah bagi menangani isu-isu kepalsuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg