Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) mengumumkan pada 27 Disember bahawa tender bagi ruang seni Kampong Java diberikan kepada 19SixtyFive.
Cadangan perancangan agensi kreatif itu mengatasi empat pembida lain dalam tender untuk ruang seni dengan keluasan tapak 2,659 meter persegi itu.
Rancangannya bagi lima rumah warisan dipulihkan, yang akan siap secara berperingkat mulai 2025, termasuk mengadakan acara berkaitan seni setiap tahun untuk para penggiat membuat persembahan, menjalankan gerai seni serta mengikuti ceramah industri.
Ia juga akan menawarkan studio baru serta studio yang mengandungi kemudahan untuk penyewa menjalani proses kreatif mereka, dengan kadar yang lebih rendah untuk para artis baru dan pelajar.
Penyewa akan membayar kadar yang berbeza, bergantung kepada tempoh penggunaan.
Hab seni baru itu, yang pertama kali diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pada 2021, disifatkan sebagai “ruang inovasi dan penciptaan seni”.
Hab itu juga mempunyai pejabat untuk berkolaboratif serta restoran atau kafe.
Agensi kreatif 19SixtyFive pernah menganjurkan festival muzik indie, St Jerome’s Laneway Festival di Singapura dan acara muzik alternatif, The Alex Blake Charlie Sessions, yang menampilkan barisan konsert, hiburan malam, tayangan filem, gerai ‘pop-up’ buku dan pameran seni.
NAC dan SLA sebelum ini berkata bahawa pihak pengendali yang menang akan berfungsi bukan sahaja sebagai pentadbir, malah berkemungkinan pengarah artistik keseluruhan hab itu dengan identiti tersendiri, serta mempunyai kebolehan menarik lebih ramai untuk terlibat bersama kegiatan yang dijalankan.
Model “diterajui industri” seperti ini membenarkan kumpulan seni beroperasi secara bebas.
Sewa juga dijangka lebih rendah daripada kadar komersial semasa, tetapi lebih tinggi daripada ruang NAC, yang mendapat subsidi sehingga 90 peratus.
Di bawah tender yang diberikan, 19SixtyFive akan mengusahakan ruang seni itu selama lima tahun dengan pilihan untuk memperbarui bagi tempoh empat tahun lagi, “bergantung kepada prestasi mereka dalam menjalankan kegiatan di ruang tersebut mengikut objektif yang telah ditetapkan NAC dan SLA”.
Bidaan 19SixtyFive adalah kedua tertinggi di antara empat pembida yang lain, dengan nilai $18,000.
Ini bermakna kriteria penilaian lebih menekankan pada kualiti cadangan (70 peratus) berbanding harga (30 peratus).
Pembida tertinggi ialah iGym Fitness, pada $23,018.
Kumpulan seni sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan bahawa bilik yang disediakan terlalu kecil dan tidak mempunyai kalis bunyi dengan baik.
Isu lain yang ditimbulkan juga termasuk kos dan kebebasan untuk berseni.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg